Kereta Api Perlahan Muncul Sebagai Trend Baharu di China

Foto ini memperlihatkan restoran di dalam kereta api pelancong yang bertemakan panda di Stesen Kereta Api Anjing di Chengdu, Provinsi Sichuan di barat daya China pada 10 November 2024. (Xinhua/Liu Kun)

Foto ini memperlihatkan restoran di dalam kereta api pelancong yang bertemakan panda di Stesen Kereta Api Anjing di Chengdu, Provinsi Sichuan di barat daya China pada 10 November 2024. (Xinhua/Liu Kun)

Kereta api pelancong kini menjadi trend baharu dalam penyepaduan budaya dan pelancongan di China, sekali gus mengubah perjalanan biasa menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan menerusi fasiliti yang dinaik taraf, perkhidmatan yang penuh perhatian dan aktiviti-aktiviti istimewa.

Pada tahun ini, China telah mengoperasikan lebih 600 kereta api pelancong, secara tidak langsung menandakan kenaikan dari tahun ke tahun sebanyak 20 peratus.

Satu majlis hari jadi kolektif di dalam kereta api pelancong yang bertemakan Sungai Kuning dan dilancarkan oleh China Railway Zhengzhou Group, iaitu yang pertama seumpanya di Provinsi Henan, tengah China, telah diadakan buat para penumpangnya, seterusnya menyentuh hati penumpang yang berumur 67 tahun, Dong Weiping.

Pada 20 April, kereta api itu berlepas dari Zhengzhou, ibu kota Henan, memulakan perjalanan menuju ke Provinsi Guizhou dan Yunnan di barat daya China.

Menurut Ma Tachuan, pengurus kereta api tersebut, bahagian luar kereta api memfokuskan kepada elemen Sungai Kuning, termasuk pola berombak yang diinspirasikan oleh tembikar purba yang dicat.

Di dalam kereta api tersebut, para penumpang boleh mengalami pengalaman yang mengasyikkan tentang warisan budaya tidak ketara seperti persembahan opera Henan dan aktiviti membuat patung kecil doh tradisional. Kereta api itu juga menitikberatkan keselesaan dan kemudahan buat pengembara warga emas.

“Kami telah mengubah gerabak menjadi bilik seperti hotel, dengan setiap satunya memiliki ciri-ciri yang berbeza,” ujar Ma. Setiap petak menampilkan dua katil yang selari standard dan tempat pengecas USB pada bahagian kepala, selain bilik air dengan pembahagi kering-basah.

Jelas beliau, kereta api itu juga menampilkan tingkap yang lebih besar bagi pemandangan yang lebih baik. Ia juga mempunyai ambang pintu yang diturunkan, permaidani tidak licin, pegangan tangan bercahaya pendarfluor dan sistem panggilan kecemasan SOS, selain mempunyai bekalan dan doktor kecemasan.

“Kereta api itu luas dan selesa, seperti sebuah hotel. Kami juga boleh belajar tentang warisan budaya tidak ketara dan membuat kawan baharu,” kata Dong.

“Mengambil berat tentang pilihan penumpang yang semakin berevolusi, kami telah mengalihkan reka bentuk produk kami daripada pelancongan persiaran ke perjalanan masa lapang,” kata Han Zhiwei, timbalan pengurus besar Henan Zhongyuan Railway Tourism Group.

Difahamkan, kereta api itu menekankan jadual perjalanan yang perlahan sambil menyepadukan ciri budaya serantau yang pelbagai.

Kereta api itu kini mengendalikan tiga laluan pelancong. Semasa Pesta Perahu Naga dan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa baru-baru ini, kereta api itu melancarkan pakej pelancongan keluarga tiga hari yang popular. Laluan pelancongan tujuh hari bertemakan Provinsi Shanxi di utara China akan dilancarkan pada kereta api pelancong itu.

Di Provinsi Hainan, selatan China, kereta api pelancong menampilkan kemudahan pintar di samping hiasan dalaman yang bergaya. Mesin kopi dan teh layan diri, dispenser bir dan sistem pengambilan gambar kecerdasan buatan telah terbukti popular dalam kalangan penumpang, manakala sistem pengecasan tanpa wayar dan sistem interaktif pintar yang menyediakan panduan perjalanan telah mendapat pujian.

Kereta api tersebut merupakan salah satu daripada kereta api pelancong dari bandar Sanya ke Kaunti Autonomi Li Ledong di Hainan, menghubungkan beberapa tarikan terkenal. Ia memiliki rekaan lukisan yang diinspirasikan daripada elemen tropika tempatan dan mercu tanda Sanya.

Ia juga menggabungkan elemen visual untuk tarikan kontemporari sambil memanfaatkan penggunaan ruang untuk mempromosi sumber pelancongan.

Bekerjasama dengan Muzium Kesenian Sanya, kereta api itu menampilkan hiasan broked Li, serta mengundang artisan untuk menyerlahkan teknik tekstil Li tradisional iaitu memintal, mewarna, menenun dan menyulam, sekali gus menghasilkan apa yang disebut sebagai, ‘muzium warisan budaya tidak ketara bergerak’.

Antara lain yang ditawarkan oleh kereta api itu adalah aktiviti inovatif termasuk fotografi perkahwinan, lawatan pendidikan dan menyediakan diskaun tiket selari dengan tarikan pelancong, sekali gus memenuhi keperluan penumpang yang pelbagai.

Untuk rekod, sejak pelancarannya, kereta api pelancong Sanya-Ledong telah mengendalikan sejumlah 414,000 perjalanan penumpang.

“Kami akan terus mengembangkan senario-senario baharu, dan menerokai pendekatan inovatif bagi mempromosi industri pelancongan dan mentransformasi kereta api bertema kepada venue kebudayaan bergerak yang membolehkan penumpang menikmati pengalaman yang menggamit hati dan perjalanan yang selesa,” ujar Meng Jiwei, pengurus besar Sanya Railway Investment and Construction.

Di Stesen Kereta Api Kunming yang terletak di Provinsi Yunnan, barat daya China, sebuah kereta api dengan hiasan kebudayaan bunga-bunga yang unik dan pelancongan mewakili provinsi itu telah berlepas ke Beijing.

Ia menandakan kereta api bertema bunga pertama di China, yang dibangunkan secara bersama oleh China Railway Kunming Group serta jabatan pelancongan dan kebudayaan Yunnan. Kereta api itu menampilkan bunga segar pada setiap hari sepanjang perjalanan.

Gerabak-gerabak kereta api turut dihiasi dengan tujuh jenis bunga yang sinonim dengan di Yunnan seperti bungan Gesang dan kamelia, dengan setiap satu gerabak mempunyai tema yang berbeza.

Penumpang juga boleh menikmati pengalaman kebudayaan yang kaya di dalam kereta api.

“Mereka boleh mencuba pelbagai hidangan yang diperbuat daripada bunga Yunnan termasuk pastri dan kek bunga. Kereta api itu juga menampilkan ruang gubahan bunga, membolehkan penumpang menggubah bunga mengikut cita rasa sendiri,” jelas Zhang Jun, konduktor kereta api jabatan pengangkutan penumpang Kunming di bawah China Railway Kunming Group.

Video

Berita Berkaitan