Gencatan Senjata Mesti Diutamakan di Timur Tengah - Presiden China

(CRI)Jumaat 20 Jun 2025

Pelaksanaan gencatan senjata mesti diutamakan di Timur Tengah. 

Demikian kata Presiden China, Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin pada Khamis.

Semasa pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Timur Tengah, Xi membentangkan prinsip dan pendirian China dengan berkata bahawa situasi amat kritikal di Timur Tengah pada masa ini dan ia sekali lagi membuktikan, dunia sedang berada dalam tempoh pergolakan dan transformasi yang baharu.

Xi berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam konflik, terutamanya Israel, perlu menghentikan operasi ketenteraan secepat mungkin untuk mengelakkan ketegangan situasi semakin meruncing dan mengawal kesan limpahan akibat peperangan.

“Usaha memastikan keselamatan penduduk awam mesti diutamakan. Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik perlu mematuhi undang-undang antarabangsa, mengelakkan kematian dan kecederaan di kalangan penduduk awam yang tidak berdosa, dan memberi syarat bagi memudahkan rakyat dari negara pihak ketiga keluar dari lokasi berkonflik.

“Dialog dan rundingan merupakan penyelesaian tuntas. Pelbagai pihak perlu berpegang kepada penyelesaian isu nuklear Iran secara politik, dan mendorong isu itu kembali ke landasan penyelesaian politik melalui dialog dan rundingan.

“Usaha masyarakat antarabangsa dalam menggalakkan rundingan damai amat diperlukan, Masyarakat antarabangsa, terutamanya negara berkuasa besar yang berpengaruh terhadap pihak-pihak yang berkonflik perlu berusaha untuk meredakan ketegangan situasi serantau. Majlis Keselamatan PBB juga perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelesaian masalah ini,” kata beliau.

Xi menegaskan bahawa China bersedia menambahkan komunikasi dan koordinasi dengan pelbagai pihak, menegakkan keadilan dan kesatupaduan, dan memainkan peranan yang bersifat membina untuk memulihkan keamanan di Timur Tengah.

Video

Berita Berkaitan