- Lain-lain
Perjalanan Mesra Haiwan Peliharaan Tingkat Mendadak di China
![]() |
Seekor anjing dijaga rapi di ruang menunggu haiwan peliharaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an Shenzhen di Provinsi Guangdong, selatan China pada 8 Mei 2024. (Foto/Xinhua) |
Para pemilik haiwan peliharaan di China semakin memilih untuk membawa si comel masing-masing bersama-sama ketika bercuti, sekali gus menyaksikan ledakan dalam pelancongan mesra haiwan peliharaan di serata negara.
Destinasi pelancongan tidak berlengah untuk mengadaptasi trend tersebut dengan melancarkan perkhidmatan pelancongan haiwan peliharaan eksklusif bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat itu.
Perubahan tersebut secara tidak langsung menyaksikan terciptanya satu enjin pertumbuhan baharu untuk sektor pelancongan budaya China.
Di Qinhuangdao, Provinsi Hebei, utara China, kawasan peranginan tepi pantai Aranya mutakhir ini menganjurkan acara hari berlayar untuk anjing, iaitu sebahagian daripada tawaran pelancongan mesra haiwan peliharaan yang diperkenalkan pada musim panas ini.
Hotel-hotel tempatan turut memberikan tindak balas, dengan memperkenalkan zon bermain dan bilik haiwan peliharaan khusus, selain menawarkan perkhidmatan membersihkan haiwan serta pekerja rencam haiwan peliharaan bagi memastikan keselesaan penginapan buat kedua-dua haiwan dan pemiliknya.
Sejak bermulanya musim panas, Qinhuangdao telah mengalu-alukan lebih daripada 1,500 kumpulan pelanggan yang memiliki haiwan peliharaan, seterusnya menjana hasil pelancongan sebanyak lebih daripada RMB20 juta (AS$2.79 juta).
“Secara asasnya kami sudah penuh ditempah. Bagi melayani pelanggan dengan haiwan peliharaan secara lebih baik, kami merancang untuk menganjurkan aktiviti bertema dan membuat lebih banyak senario waktu senggang mesra haiwan peliharaan,” ujar Zhao Ning, pengurus sebuah hotel tempatan.
Shanghai pada baru-baru ini melancarkan laluan bas khusus mesra haiwan peliharaan yang pertamanya, menghubungkan mercu tanda utama dan menawarkan tempat duduk tersuai untuk haiwan peliharaan. Bagi para pemilik, mereka dikehendaki untuk mengemukakan lesen haiwan peliharaan sebelum menaiki bas, sementara pelatih haiwan peliharaan profesional bertindak sebagai pegawai keselamatan pada setiap trip.
Li Yuan'ang, yang menyelia operasi laluan itu berkata bahawa kadar penggunaan laluan bas itu telah melebihi 70 peratus, manakala rancangan sedang dilaksanakan untuk melancarkan platform dalam talian bagi menghubungkan semua acara berkaitan haiwan peliharaan di seluruh Shanghai melalui laluan khusus ini.
Memetik statistik daripada Qunar, iaitu platform pelancongan dalam talian China, ia menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak tiga kali ganda dalam carian untuk kata kunci seperti ‘mesra haiwan peliharaan’ dan ‘haiwan peliharaan dibenarkan’.
Tempahan untuk hotel mesra haiwan peliharaan meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun, dan jualan tiket untuk tarikan pelancong yang menawarkan perkhidmatan haiwan peliharaan telah meningkat lebih daripada 150 peratus.
Menurut Kertas Putih Industri Haiwan Kesayangan China 2025 (Laporan Penggunaan), jumlah kucing dan anjing peliharaan di kawasan bandar China melebihi 120 juta pada 2024, iaitu peningkatan 2.1 peratus tahun ke tahun.
Lapor kertas putih itu lagi, pasaran penggunaan haiwan peliharaan keseluruhan negara meningkat sebanyak 7.5 peratus pada tahun lalu, iaitu mencecah RMB300.2 bilion.
Di sebalik laluan perjalanan dan penginapan yang disesuaikan, antara lain yang turut sama muncul di seluruh negara adalah taman tema dan zon komersial mesra haiwan kesayangan, sekali gus membentuk semula cara seseorang individu mengembara, membeli-belah dan bersosial dengan haiwan peliharaan masing-masing.
Baru-baru ini, taman persiaran haiwan peliharaan tertutup yang pertama dibuka di Shanghai, menarik kunjungan ramai orang. Sebagai sebahagian daripada kempen promosi penggunaan yang lebih luas, Shanghai telah mempercepatkan pembangunan pusat membeli-belah mesra haiwan kesayangan yang menggabungkan beli-belah, hiburan dan interaksi sosial pada tahun ini.
“Trafik kedatangan orang ramai dan jualan kami meningkat 10 hingga 15 peratus berbanding tahun lepas,” kata Shen Bei, yang menguruskan operasi berkaitan haiwan peliharaan di sebuah pusat beli-belah di Shanghai.
Bandar lain, termasuk Nanchang di Provinsi Jiangxi di timur China dan Foshan di Provinsi Guangdong di selatan China juga menerima tempias ekonomi haiwan peliharaan. Difahamkan, masing-masing sedang giat membina zon komersial mesra haiwan kesayangan yang menawarkan kemudahan seperti stesen air haiwan kesayangan, penggelek lin dan kemudahan lain untuk menempatkan haiwan peliharaan dan pemiliknya.
Sementara itu, taman hiburan bertema turut menyediakan perkhidmatan sehenti, termasuk asrama haiwan peliharaan, penjagaan harian, latihan dan dandanan, menarik pengunjung dari dekat dan jauh.
“Taman saya telah menyaksikan untung tahunan sebanyak RMB4 juta hingga RMB5 juta, iaitu 80 peratus lebih daripada kedai dandanan haiwan peliharaan saya yang terdahulu di kawasan bandar,” kata Zhang Shun, yang mengusahakan taman bertema haiwan peliharaan di Luzhou, Provinsi Sichuan, di barat daya China.
Dengan pengembangan senario penggunaan khusus untuk haiwan peliharaan, satu lagi pekerjaan baharu sedang mendapat perhatian iaitu perunding acara haiwan peliharaan.
Di Nanchang, seorang pemilik kedai haiwan peliharaan, Li Chengliang telah berjaya beralih kepada kerjaya baharu muncul tersebut. Kedainya kini kerap menganjurkan acara bertemakan haiwan peliharaan.
Menurut Li, setiap kali dia memuat naik hantaran mengenai sesebuah acara, slot akan penuh hampir secara serta-merta. Dia memberitahu bahawa hasil jualan bulanannya kedainya kini melebihi RMB150,000, dengan jualan perkhidmatan pakej meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun.
Dia yang menjual bekalan haiwan peliharaan empat tahun lalu berkongsikan bahawa dengan mendekati lebih ramai pelanggan, dia mendapati terdapat minat yang semakin meningkat dalam sosialisasi haiwan peliharaan dan gaya hidup mereka, sekali gus memberi inspirasi kepadanya untuk mengubah haluan perniagaan kepada penganjuran aktiviti berasaskan haiwan peliharaan.
- Ruang Menunggu untuk Haiwan Peliharaan di Lapangan Terbang Beri Ketenangan Buat Pemilik
- Haiwan Terima Perpisahan Terakhir Penuh Tanda Hormat
- Fu Zai, Anjing Polis Corgi Pertama China
- Haiwan Peliharaan Comel Kumpul di Ekspo Nanjing
- Hari Hidupan Liar Sedunia
- Hotel Haiwan Peliharaan Terima Sambutan Hangat Pada Musim Cuti
- Ikan Paus Terdampar di Sanya Selamat
- Festival Haiwan Peliharaan Asia ke-25 Diadakan di Shanghai
- Teman Berkaki Empat “Hulur Tangan” Bantu Manusia
- Cari Haiwan Peliharaan Hilang, Pekerjaan Baharu