Xi Mahu Usaha Dipergiat Bina Pasaran Domestik yang Bersatu

(CRI)Rabu 02 Julai 2025

Usaha perlu dipergiat bagi mendorong pembinaan pasaran domestik yang bersatu dan memacu pembangunan ekonomi marin secara berkualiti tinggi.

Penekanan itu dibuat oleh Presiden China Xi Jinping semasa mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Kewangan dan Ekonomi (CCFEA) yang berlangsung pada Selasa.

Xi berkata pembinaan pasaran domestik yang bersatu merupakan keperluan bagi membentuk paradigma pembangunan baharu dan mendorong pembangunan berkualiti tinggi, sambil menambah koordinasi dan kerjasama hendaklah diperkasa untuk merealisasikan usaha berkenaan.

Sementara itu katanya, pembangunan ekonomi marin secara berkualiti tinggi adalah penting untuk menggerakkan modenisasi, dan perlunya menempuh jalan bercirikan China dalam mengoptimumkan sumber marin demi pembangunan negara.

Menurut mesyuarat itu, keperluan asas bagi membina pasaran domestik yang bersatu adalah penyeragaman dari segi sistem pasaran asas, infrastruktur pasaran, tatalaku kerajaan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang serta pasaran faktor pengeluaran dan sumber, di samping terus memperluas keterbukaan.

Berhubung pembangunan ekonomi marin secara berkualiti tinggi, mesyuarat itu menegaskan tumpuan perlu diberi kepada pertumbuhan dipacu inovasi, koordinasi yang cekap, pembaharuan perindustrian, keharmonian antara manusia dan laut serta kerjasama saling untung.

Video

Berita Berkaitan