Warisan Budaya Tidak Ketara Beri Nafas Baharu Buat Kampung Tradisional di Turpan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 07 Ogos 2025

Kaunti Shanshan di bandar Turpan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China mempunyai lapan daripada keseluruhan kampung tradisional yang rasmi di China.

Pada tahun-tahun mutakhir ini, kaunti tersebut telah menyepadukan sumber pelancongan dan membangunkan zon pengalaman sejarah dan budaya yang berfokuskan kampung-kampung tersebut, yang menjadikannya sebagai tarikan pelancong.

Walhasil, Shanshan telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam industri pelancongan dan kebudayaan, seiring dengan peningkatan rancak dalam kunjungan pelancong dan hasil pelancongan.

Terletak di timur pusat bandar Turpan, kampung Tuyugou merupakan salah satu daripada kampung tradisional yang perakui secara rasmi di kaunti Shanshan, yang terkenal dengan seni bina diperbuat daripada tanah yang terpelihara baik.

Imej ini menunjukkan pintu sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah di kampung Tuyugou di kaunti Shanshan, bandar Turpan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (Foto oleh Zhang Weiguo)

Imej ini menunjukkan pintu sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah di kampung Tuyugou di kaunti Shanshan, bandar Turpan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (Foto oleh Zhang Weiguo)

Ji Xiang, ketua pusat perkhidmatan pembangunan bandar-desa di bawah biro pembangunan bandar-desa dan perumahan kaunti berkata bahawa, rumah-rumah telah dibina menggunakan tanah liat atau dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang diproses bumi, dan seterusnya disusun di sepanjang cenuram gunung dan lengkungan sungai. Lorong-lorong di kampung itu silang-menyilang dari semua arah, dengan setiap rumah saling terhubung, sambil masih mengekalkan ruang privasi masing-masing.

“Di situ terdapat 73 halaman dan 84 buah rumah yang boleh digunakan – rumah yang berada dalam keadaan baik telah dibuka kepada pengunjung, manakala yang rapuh pula sedang menunggu masa untuk dipulihkan semula,” ujarnya.

Menurut Yin Zhixin, pengarah biro pembangunan bandar-desa dan perumahan kaunti Shanshan, kesemua lapan kampung tradisional kaunti itu mempunyai sejumlah 952 buah rumah diperbuat daripada tanah yang terpelihara baik. Dengan ketebalan dinding sehingga 40 ke 50 sentimeter, kesemua struktur itu mempunyai penebatan semula jadi, iaitu kekal hangat ketika musim sejuk dan dingin pada musim panas.

Pekan Lukqun suatu ketika dahulu merupakan hab kebudayaan dan ekonomi bagi Lembangan Turpan. Hari ini, ia menempatkan tujuh kampung tradisional, termasuk kampung Sangeqiao.

Selepas sarapan, seorang penduduk kampung, Shata’er Simayi akan menuju ke pusat kraf tradisional berjarak sekitar satu kilometer untuk bersiap-siaga bagi sesi pengalaman membuat kertas kulit mulberi hari tersebut untuk pelancong.

Kertas kulit mulberi dahulunya pernah hilang daripada kehidupan seharian penduduk tempatan. Tetapi, dengan kebangkitan pelancongan, kraf purba ini telah dihidupkan semula dan kini menjadi pengalaman amali yang popular bagi pelancong.

Para pelakon membuat persembahan di pusat warisan Muqam di pekan Lukqun, kaunti Shanshan, bandar Turpan di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (Foto ihsan jabatan publisiti jawatankuasa PKC kaunti Shanshan)

Para pelakon membuat persembahan di pusat warisan Muqam di pekan Lukqun, kaunti Shanshan, bandar Turpan di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (Foto ihsan jabatan publisiti jawatankuasa PKC kaunti Shanshan)

Jelas Shata’er, sehelai kertas kulit mulberi bersaiz A3 dijual pada harga sekitar RMB30 (kira-kira AS$4.18). Di pusat tersebut, terdapat pelancong yang membeli kertas dengan nilai beberapa ribu RMB. Dengan popularitinya yang kian meningkat, kertas itu menjadi sumber pendapatan bagi penduduk tempatan. Dia yang dahulunya miskin, berjaya mengatasi masalah tersebut menerusi kraf tradisional tersebut.

Pada 2006, kraf pembuatan kertas kulit mulberi Uygur telah disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara peringkat kebangsaan.

Di pusat warisan Muqam di pekan Lukqun, Ili Muhmet, ketua pusat itu, turut sama menyertai penghibur lain untuk naik ke pentas dan mempersembahkan Muqam. Seni Muqam Uygur Xinjiang China diiktiraf oleh UNESCO sebagai ‘Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity’ dan disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara negara di China.

Turpan Muqam, genre Muqam Uygur Xinjiang, menampilkan irama yang meriah, ceria dan kandungan yang kaya dan pelbagai. Liriknya sering diilhamkan oleh lagu-lagu rakyat dan puisi, menjelmakan generasi pengalaman hidup dan ekspresi artistik.

Foto memperlihatkan kampung Tuyugou di kaki Gunung Flaming di kaunti Shanshan, bandar Turpan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (People’s Daily/Li Yanan)

Foto memperlihatkan kampung Tuyugou di kaki Gunung Flaming di kaunti Shanshan, bandar Turpan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China. (People’s Daily/Li Yanan)

“Mendakap inovasi sambil mewarisi Muqam Turpan adalah sebab ia masih kekal hidup,” ujar Ili. Dengan menggabungkan muzik klasik dengan interpretasi segar, seni Muqam Turpan telah dihidupkan semula dengan tenaga baharu.

“Ketika ini, kami mempunyai lebih 40 pewaris pada pelbagai peringkat dan persembahan pula berlangsung sekali atau dua kali seminggu,” ujarnya lagi.

Ahmet Yiming, pengarah biro pelancongan dan kebudayaan kaunti Shanshan berkata bahawa pada 2024, kaunti itu telah menerima sejumlah 13.01 juta pelancong, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 24.6 peratus. Jumlah perbelanjaan oleh pelancong pula direkodkan mencapai RMB6.8 bilion, meningkat sebanyak 28.47 peratus berbanding tahun terdahulu.

Video

Berita Berkaitan