Industri Lada Sichuan Berkembang Maju di Yunnan (5)

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 12 Ogos 2025
Industri Lada Sichuan Berkembang Maju di Yunnan
Seorang petani menunjukkan lada biji Sichuan yang dituai segar di bandar Zhaotong, Provinsi Yunnan, barat daya China. (People’s Daily Online/Wang Xian)

Bandar Zhaotong di Provinsi Yunnan, barat daya China, kini sedang merancakkan satu laluan ke arah kebangkitan semula luar bandar, dengan membangunkan industri lada Sichuan yang berkembang maju, sekali gus mengimbangi antara perlindungan ekologi dengan pertumbuhan ekonomi, dan menggabungkan antara tradisi dengan teknologi termaju.

Menjelang 2024, kawasan penanaman lada Sichuan Zhaotong telah direkodkan mencecah 1.6 juta mu (sekitar 106,666.7 hektar), iaitu 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan di provinsi itu.

Pada tahun lalu, bandar itu menghasilkan 81,300 tan lada biji Sichuan yang kering, menjana nilai output keseluruhan sebanyak RMB15 bilion (kira-kira AS$2.08 bilion), dan memberi manfaat buat 600,000 individu yang terdiri daripada 160,000 keluarga. Kesemua kejayaan itu telah menjadikan Zhaotong sebagai pengeluar lada Sichuan terbesar di Yunnan.

Terkenal dengan kualitinya yang premium, lada biji Sichuan hijau dari Zhaotong dilimpahi kelebihan geografinya yang unik dan tradisi penanaman yang kaya. Justeru, penggunaan teknologi maju telah mendorong lagi industri lada Sichuan.

Institut Botani Kunming di Akademi Sains China telah memetakan kod genetik lada Sichuan, seterusnya membuka jalan buat varieti yang ditambah baik seperti ‘Luqing No. 1’, yang mampu meningkatkan hasil sehingga 30 peratus.

Menerusi kolaborasi dalam kalangan institusi penyelidikan, universiti, perusahaan, koperasi dan pakar-pakar tempatan, Zhaotong telah mengiktiraf tujuh varieti yang bermutu lebih baik untuk promosi di seluruh bandar.

Di kaunti Ludian, Ruan Zhongshan yang merupakan ketua sebuah koperasi lada Sichuan tempatan telah meluangkan masa selama 15 tahun untuk mengubah sebuah gunung yang dahulunya tandus, menjadi hutan yang tebal dengan pokok lada Sichuan seluas 1,200 mu. Koperasinya menerapkan empat amalan standard iaitu pengenalan varieti berkualiti tinggi dari Akademi Sains Pertanian Yunnan yang bersepadu; pengurusan dan pemangkasan yang bersepadu, pemerolehan berpusat, dan jualan secara pukal kepada pelanggan utama termasuk rangkaian hotpot China iaitu Haidilao dan pembuat sos cili terkemuka, Lao Gan Ma.

Model tersebut telah menaikkan harga menjadi 20 peratus lebih tinggi berbanding sekiranya petani menjual secara individu. Pada 2024, koperasi itu telah menuai 180 tan lada biji Sichuan bernilai lebih RMB6.5 juta, yang membantu lebih daripada 200 keluarga untuk meningkatkan pendapatan purata masing-masing sebanyak RMB30,000 setiap keluarga.

Di kaunti Qiaojia, Zhang Dengguo, ketua sebuah koperasi penanaman berkata bahawa, dengan menyepadukan sistem pengairan titis air-baja dengan pengawasan penyakit dan perosak berasaskan dron, ia telah meningkatkan hasil per-mu daripada 30 kilogram kepada 150 kilogram.

Di bengkel pengeringan pintar milik koperasi tersebut, enam pengering pam panas memproses lada biji Sichuan yang dituai segar, secara tidak langsung memberikan hasil yang lebih berkualiti berbanding menggunakan teknik pengeringan tradisional iaitu menerusi matahari, dan mampu dijual sehingga RMB16 sekilogram. Pada 2024, koperasi dengan 700 mu pokok lada Sichuan telah menjana lebih RMB5 juta dalam hasil bersih, membantu 49 keluarga petani untuk meningkatkan pendapatan purata sebanyak RMB100,000 sekeluarga.

Zhao Kongfa, pengurus besar Syarikat Zhaotong Dacheng Agricultural Development, sebuah perusahaan teknologi tinggi kebangsaan berkata syarikatnya mengekstrak minyak pati dengan ketulenan sehingga 99.8 peratus daripada lada Sichuan – yang 500 mililiternya sama nilai dengan satu tan lada biji mentah.

Syarikat itu telah membangunkan 28 produk dalam tiga kategori iaitu perencah (seperti pati sup hotpot dan minyak lada Sichuan), penjagaan peribadi (syampu anti rambut gugur dan pesanitasi tangan anti bakteria yang mengandungi 5 peratus minyak pati), dan biofarmaseutikal (ekstrak amida lada). Pada 2024, ia melantik 5,000 keluarga petani, dengan nilai tambah produk yang diproses mencapai jualan sebanyak 65 peratus.

Di perbandaran Ciyuan, kaunti Ludian, taman industri Lada Sichuan – yang terbesar di barat daya China, berfungsi sebagai hab perdagangan lada biji Sichuan hijau yang utama di China.

Menurut Chen Zhibing, pengurus besar Syarikat Yunnan Yanchi Mountain Agricultural Development, volum perdagangan harian taman itu telah mencapai 100,000 kilogram. Angka itu dijangka melangkaui 250,000 kilogram menjelang pertengahan Ogos. Satu perjanjian jangka panjang dengan Haidilao untuk 800 tan setiap tahun, digabung dengan sistem logistik rantai sejuk telah menjamin lada biji Sichuan beralih dari pokok ke atas meja makan dalam tempoh 48 jam sahaja. Pada 2024, transaksi taman itu melepasi angka RMB4 bilion.

Tambahan lagi, pokok lada Sichuan membantu dalam melindungi tanah dan air di Zhaotong, khususnya dalam lembah panas-keringnya.

Di kampung Hongshiyan, perbandaran Baogunao, kaunti Qiaojia, kesan kemusnahan gempa bumi ibarat satu hikmah apabila ia membuka laluan buat hutan lada Sichuan untuk menyubur. Ketua Parti kampung itu, Liu Ming berkata bahawa stesen pam air fotovolta bernilai RMB20 juta untuk pengairan itu kini mengairi 2,000 mu dusun setiap hari, menggunakan tenaga solar dan air tasik penghadang.

Stesen itu bukan sahaja menyelesaikan isu kemarau, malah turut menggandakan hasil sehingga 30 peratus. Malah, lebih jelas kelihatan adalah tasik penghadang yang dahulunya satu halangan terhadap usaha-usaha menyelamat, telah diubah menjadi satu ‘permata hidraulik’ menerusi usaha pemulihan ekologi, secara tidak langsung menawarkan model baharu untuk pengurusan tasik halangan global.

Pada 2024, nilai output biji lada Sichuan di kampung itu direkodkan melebihi RMB30 juta, dengan pendapatan keluarga purata mencapai RMB68,000.

Video

Berita Berkaitan