China Promosi Model Penjagaan Warga Emas Inovatif

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 15 Ogos 2025

Seorang pakar perubatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas seorang warga emas di Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba di Provinsi Yunnan, barat daya China. (Foto ihsan akaun WeChat rasmi Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba)

Seorang pakar perubatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas seorang warga emas di Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba di Provinsi Yunnan, barat daya China. (Foto ihsan akaun WeChat rasmi Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba)

Pada satu tengah hari baru-baru ini, sekumpulan warga emas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changshui Kunming, Provinsi Yunnan di barat daya China untuk memulakan program ‘melancong dan inap’ selama lapan hari dari Kunming ke kaunti Jianshui di bahagian tenggara provinsi itu.

“Jadual perjalanan ini telah dirangka pada Oktober tahun lalu. Kami menyemaknya lebih daripada 12 kali dan mencuba sendiri laluan itu sebanyak dua kali,” ujar Gao Yin, ketua program ‘melancong dan inap’ Kumpulan Penjagaan Warga Emas dan Kesihatan Beijing.

“Berikutan faktor pergerakan berkaitan umur, kami cuba untuk mengelakkan daripada dakian curam dan perjalanan yang lama bagi meminimumkan ketegangan fizikal,” ujarnya lagi. Sebagai contoh, lawatan berjalan lima kilometer standard di Gua Jiuxiang telah diubah suai untuk menggabungkan laluan bot, sekali gus mengurangkan jarak perjalanan kepada hanya sekadar dua kilometer sahaja.

Bagi seorang penduduk Beijing, Jia Yuanxiang, 68, dia berkata bahawa kelajuan memainkan peranan utama.

“Kelajuan yang tidak terburu-buru dengan rehat seketika pada tengah hari adalah sangat bersesuaian buat warga emas,” katanya. Berkesempatan untuk menerokai China secara meluas pasca persaraan, Jia berpendapat bahawa lawatan berkumpulan konvensional semakin memenatkan, dan model lawatan-penduduk yang bersepadu tersebut telah mengubah pengalamannya.

Menurut Gao, umur purata dalam kumpulan itu adalah 68 tahun, dan pihaknya menyediakan pengiring peribadi dan kakitangan peribadi sepenuh masa sebagai sokongan komprehensif untuk sepanjang perjalanan.

Warga emas sedang bermain dram di sebuah fasiliti penjagaan warga emas, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Foto ihsan akaun WeChat Rasmi Penjagaan Warga Emas Pengyang)

Warga emas sedang bermain dram di sebuah fasiliti penjagaan warga emas, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Foto ihsan akaun WeChat Rasmi Penjagaan Warga Emas Pengyang)

Seiring dengan umur populasi China yang semakin menua, pelancongan kediaman semakin menjadi pilihan bagi ramai warga emas. Di serata China, wilayah-wilayah sedang membangunkan program waktu senggang dan kesihatan yang disesuaikan sambil membina destinasi menarik untuk kunjungan jangka panjang warga emas.

Di Taman Penjagaan Warga Emas Sheng’ai di Kunming, Peng Bijun, 89, tinggal di pangsapuri yang disinari cahaya matahari dengan perabot moden berwarna krim dan penutup dinding botani. Dia yang berasal dari Beijing itu telah menetap di situ selama hampir setahun, dan menghargai kulinari yang disediakan.

“Kami dihidangkan makanan lima kali sehari, dengan lauk yang pelbagai dan tidak berulang. Pada hari cuti, terdapat hidangan ekstra,” kongsinya.

Sementara itu, di Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba di daerah Jinning, Kunming, warga emas berusia 70 tahun, Zhou Yi berkongsi pangsapuri dua bilik dengan adik lelakinya.

“Dengan membayar sekitar RMB3,000 (AS$417.35) seorang untuk setiap bulan, dengan makanan, penginapan dan hiburan turut termasuk,” katanya. Dia secara khusus menghargai program kebudayaan yang merangkumi lebih daripada 20 kelab untuk koir, kaligrafi, opera Peking, muzik rakyat dan tai chi.

Persekitaran kehidupan yang boleh akses, selesa dan selamat pula kekal menjadi keutamaan bagi kualiti kehidupan warga emas. Di Rumah Penjagaan Warga Emas Pengyang di Kaiyuan, Provinsi Yunnan, bilik airnya dilengkapi dengan bangku mandian, tikar anti-jatuh, dan besi pemegang, sementara ruang tamu mempunyai selusur, manakala tinggi katil pula hanya 60 sentimeter bagi akses yang mudah.

Bagi pengembara warga emas yang tidak ditemani anggota keluarga, infrastruktur sokongan kecemasan 24/7 terbukti penting. Kata Liu Qingchuan, penduduk di Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba yang telah tinggal di situ selama tujuh tahun bersama-sama isterinya berkata bahawa pengiring peribadi akan memberi respons dengan serta-merta terhadap panggilan mereka pada bila-bila masa.

Setiap unit mengintegrasikan butang kecemasan di dalam bilik tidur, ruang tamu dan bilik mandi.

Warga emas dari daerah Xicheng, Beijing berlepas ke Beihai di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di selatan China, sekali gus menandakan pelancaran program pelancongan penginapan lama ‘penghijrahan’ yang pertama daerah itu pada 21 Mac 2024. (Foto ihsan akaun WeChat rasmi pejabat hal ehwal awam daerah Xicheng, Beijing)

Warga emas dari daerah Xicheng, Beijing berlepas ke Beihai di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di selatan China, sekali gus menandakan pelancaran program pelancongan penginapan lama ‘penghijrahan’ yang pertama daerah itu pada 21 Mac 2024. (Foto ihsan akaun WeChat rasmi pejabat hal ehwal awam daerah Xicheng, Beijing)

“Bantuan akan tiba secepat mungkin selepas (panggilan kecemasan) diaktifkan,” jelas Liu.

Bagi mengatasi isu tanggungjawab penjagaan antara generasi, Taman Penjagaan Warga Emas Dian Purba telah menubuhkan tadika yang ketika ini menampung lebih daripada 200 kanak-kanak. Model bersepadu tersebut membolehkan atuk dan nenek yang memerlukan sokongan anak masing-masing untuk menyertai dalam program pelancongan penginapan.

“Selain daripada perkhidmatan sehenti penjagaan warga emas, kami juga menyediakan program yang disesuaikan,” kata Yuan Chungang, pengerusi Syarikat Yunnan Shengjing Tourism & Elderly Care Development.

Pengurusan penyakit kronik juga mencerminkan komponen kritikal dalam infrastruktur penjagaan warga emas. Di Taman Penjagaan Warga Emas Sheng’ai, pengarahnya iaitu Mou Lin telah memperincikan pendekatan komprehensif di fasiliti itu.

“Kami mempunyai perubatan dalaman dan perkhidmatan perubatan Cina tradisional di tapak, yang membolehkan rawatan rutin dilakukan tanpa perlu keluar dari lokasi. Bagi kecemasan pula, kami mengekalkan protokol triaj bertangga dengan keupayaan pindah hospital, yang membolehkan capaian waktu respons sepantas enam minit sahaja,” kongsi beliau.

Ini dipermudahkan melalui perkongsian dengan tiga hospital tertiari yang berdekatan dengan kemudahan itu. Setiap penduduk mendapat manfaat daripada rekod kesihatan elektronik individu, pemantauan penting harian, liputan kejururawatan 24/7, dan lawatan doktor yang berjadual.

Di sebalik kemajuan ini, ramai warga emas kekurangan maklumat yang diperlukan untuk memilih kemudahan yang tepat. Sewaktu menginap, mereka juga mungkin menghadapi perkhidmatan yang tidak terkawal atau langkah keselamatan yang tidak mencukupi.

Untuk meningkatkan ketelusan, Persatuan Industri Penjagaan Warga Emas Beijing melancarkan platform perkhidmatan khusus pada November lalu.

Mulai 10 Mac, platform itu menyenaraikan maklumat mengenai 144 institusi penjagaan warga emas di Tianjin, Hebei, Mongolia Dalam, Jilin, Heilongjiang dan wilayah lain, termasuk lokasi, ketersediaan katil dan yuran. Antara muka yang disediakan membolehkan warga emas membandingkan pilihan dengan cekap, membuat pertanyaan dan menempah tempahan sejajar dengan keperluan peribadi.

“Platform ini mengubah pengawasan daripada pemantauan reaktif kepada tadbir urus proaktif dengan menghubungkan terus penyedia perkhidmatan dengan pengguna,” kata Wang Dingxue, ketua bahagian bagi promosi perkhidmatan warga tua di jabatan hal ehwal awam Yunnan.

Jelasnya, sekiranya perkhidmatan sesebuah institusi gagal, ia akan dikeluarkan daripada platform, sekali gus menjamin hak dan kepentingan warga emas dilindungi dengan baik.

Video

Berita Berkaitan