- Lain-lain
Seramik Dehua Tambat Pelanggan Tetap Dari Seluruh Dunia
Seorang kanak-kanak mendekati seni porselin yang dipamerkan di kaunti Dehua, Provinsi Fujian, tenggara China pada 20 Ogos 2025. (Xinhua/Xiao Xiao)
Kaunti Dehua yang terletak di bandar Quanzhou, Provinsi Fujian, tenggara China, merupakan salah satu hab pengeluaran dan eksport kraftangan seramik terbesar di China. Ia bukan sekadar memelihara tradisinya sahaja, tetapi juga menyuntik momentum yang berterusan kepada industri seramik.
Menempatkan lebih daripada 4,500 syarikat seramik, Dehua mengeksport produk seramik kepada lebih 190 negara dan wilayah, yang menjana nilai output tahunan sebanyak RMB66 bilion.
Dipanggil sebagai ‘Blanc de Chine’ yang bermaksud Putih dari China oleh warga Perancis, porselin Dehua sangat popular sejak sekian lama di serata dunia berikutan teksturnya seperti jed, kilauan bak cermin, serta ketukangan yang menakjubkan, sekali gus menjadi satu kad nama bagi kaunti itu.
Hari ini, porselin Dehua berkilauan lebih menyinar dengan adanya daya hidup dan tarikan unik baharu, yang juga hasil daripada usaha firma seramik tempatan untuk terus menginovasi dan mempelbagaikan barisan produk.
Banyak syarikat telah menghidupkan semula porselin dalam pelbagai cara yang inovatif, dan sebahagian daripadanya telah memikat pengguna global dalam bentuk perhiasan kecil dengan rekaan yang tidak mengikut kelaziman, dengan Dehua membekalkan 80 peratus daripada output keseluruhan global.
Dengan kemampuan kapasiti yang kuat untuk menterjemah satu lakaran mudah atau idea kepada produk siap untuk dipasarkan, syarikat seramik di Dehua semakin menarik tempahan dari serata dunia.
Produk yang direka sendiri khususnya seramik yang menggabungkan elemen budaya China turut menyaksikan peningkatan populariti dalam kalangan pengguna antarabangsa.
Masa demi masa, firma di Dehua tidak lagi mengikut trend, sebaliknya telah menjadi penetap trend. Berbanding hanya mengeluarkan produk mengikut panduan daripada pelanggan Jerman, sebuah syarikat tempatan telah membekalkan rakan kongsinya dengan pelbagai produk yang dibangunkan secara kendiri pada tahun ini seperti hiasan yang boleh berfungsi sebagai lampu.
Mengikut syarikat itu, produk tersebut akan memasuki pasaran Jerman pada Oktober dan dijangka untuk menjadi sangat popular dalam kalangan pengguna.
Dengan inovasi yang berterusan, banyak syarikat seramik tempatan telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil dan menerima permintaan yang rancak, meski dalam situasi kegoyahan perdagangan antarabangsa.
“Apabila tarif dinaikkan, kami bertanya dengan pelanggan sama ada mereka mahu membatalkan permintaan, dan mereka lantas menjawab tentunya tidak,” ujar Lin Liangbi, eksekutif di sebuah syarikat seramik tempatan.
Untuk rekod, syarikat tersebut telah menghabiskan masa selama lebih sedekad untuk hanya menghasilkan hiasan seramik dalam bentuk pokok, selain membangunkan lebih daripada 4,000 variasi dan meningkatkan jualan sebanyak lapan kali ganda.
Menerusi inovasi yang berterusan, jualan syarikat itu melonjak naik daripada 500,000 unit pada 2012 kepada lebih 4 juta unit pada hari ini, dengan lebih daripada 4,000 varieti yang dibangunkan dan lebih 50 juta unit dieksport secara keseluruhannya.
“Apabila produk anda sangat baik sehingga pembeli luar negara sanggup memilih untuk membeli produk anda berbanding makan, anda tidak perlu lagi risau akan kehilangan pelanggan. Bagaimanapun, pasaran yang berubah-ubah mungkin (akan menjejaskannya),” kata Lin.
Kualiti yang tinggi menjadi titik jualan utama bagi seramik Dehua. Secara tradisinya, pinggan mangkuk meja porselin mudah pecah, tetapi terdapat syarikat Dehua yang kini menawarkan jaminan selama lima tahun terhadap produk seramik kegunaan harian.
Sebuah syarikat seramik turut mengambil inisiatif dengan meletakkan label pada kesemua produknya dengan tarikh ia dikeluarkan dan pekerjanya juga melalukan ujian jatuh secara berulang kali di dalam kedai untuk menunjukkan daya tahannya.
“Mangkuk ini boleh bertahan daripada jatuh kecil tanpa pecah. Jika digunakan secara biasa, ia boleh digunakan selama 5,000 kali atau lima tahun, sambil mengekalkan kilauan aslinya,” ujar Xiao Chunlian, pengurus pembangunan dan operasi syarikat itu.
Keyakinan syarikat tersebut terhadap produknya berakar umbi daripada penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan selama lima tahun, di samping usaha signifikan dalam pengurusan kualiti.
Syarikat itu telah membangunkan formula tanah liat yang unik untuk porselin anti-berkecai, mewujudkan barisan pengeluaran automatik, dan membawa masuk peralatan pemeriksaan kualiti dikuasakan AI.
Inovasi dalam industri seramik Dehua juga telah meliputi barangan hiasan yang lebih kecil.
Sebuah syarikat tempatan telah menggunakan sinaran ultraungu untuk mengeringkan dan membekukan dakwat dengan segera, sekali gus menggantikan cat manual dengan pewarnaan automatik sepenuhnya dan meningkatkan kecekapan sehingga 10 kali ganda.
Kini, syarikat itu menghasilkan sehingga 100,000 porselin magnet peti sejuk setiap hari.
Dengan teknologi salinan 3D yang dibangunkan secara kendiri, ia telah mencipta rekaan yang seakan-akan hidup, secara tidak langsung mendapat tempat dalam pasaran pelancongan budaya.
- China Pinda Undang-undang Perdagangan Luar
- Prestasi Perdagangan China Kekal Mantap Lapan Bulan Pertama 2025
- Pempelbagaian Pasaran Perkukuh Daya Tahan Perdagangan Asing China
- China, Tiga Rakan Dagang Terbesar bagi 157 Negara dan Wilayah
- China, Tiga Rakan Dagang Terbesar bagi 157 Negara dan Wilayah
- Perdagangan Luar China Naik 3.5% Tujuh Bulan Pertama 2025
- Dagangan Luar Xinjiang Naik 27.3 Peratus Tujuh Bulan Pertama 2025
- Perdagangan Barangan China Catat Pertumbuhan Stabil dalam Tujuh Bulan Pertama 2025
- Perdagangan Perkhidmatan China Meningkat 13 Peratus pada Separuh Pertama 2025
- Dagangan Luar China Terus Berkembang Stabil