Keindahan Musim: Embun Sejuk

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 08 Oktober 2025

Hi, semua! Saya Sisi, penggemar kembara. Apabila embun pagi membawa petanda sejuk dan daun pada dahan pokok mapel berubah menjadi merah lembayung, kita mengalu-alukan kedatangan Hanlu, atau Embun Sejuk, iaitu penggal kelima musim luruh dalam kalendar ’24 Musim’.

Ketika ini, saya berada di bandar Huangshan, Provinsi Anhui di timur China. Ayuh kita sama-sama menikmati ketenangan yang disulami keindahan penuh warna musim ini, apabila ‘embun menjadi sejuk, hampir bersedia untuk membeku’.

Dengan ketibaan ‘Han’ (sejuk), jejak terakhir musim panas telah hilang dan penggal Embun Sejuk memberikan isyarat jelas terhadap peralihan musim ke arah hari-hari yang lebih sejuk. Menurut pemerhatian China purba kala, tempoh Embun Sejuk dibahagikan kepada ‘tiga fasa’: Pertama, angsa liar akan tiba sebagai tetamu kehormat – kawanan terakhir melengkapkan penghijrahan ke arah selatan, seolah-olah seperti mempunyai janji temu; kedua, burung pipit menghilang, yang dibayangkan oleh masyarakat purba sebagai berubah menjadi kerang ditanam di dalam tanah – yakni cara puitis untuk menterjemahkan alam semula jadi; dan ketiga, bunga kekwa berubah menjadi keemas-emasan, satu pemandangan yang penuh mempesonakan sepanjang musim.

Di Pergunungan Huangshan, Embun Sejuk melahirkan satu suasana yang mempesonakan. Tatkala fajar menyinsing, lautan awan menyulami di puncak gunung, dahan-dahan pain bersinar dengan titisan embun sejuk yang kelihatan seperti kristal, dan daun mapel yang merah menyala terserlah berlatarbelakangkan cenuram batu berwarna kelabu.

Di kampung-kampung yang terletak di kaki gunung, jagung keemas-emasan dan cili nan merah tersidai kering dari cucur atap, manakala haruman bunga kekwa berpadu dengan asap dari perdiangan kampung – sekali gus menghangatkan udara musim luruh.

Jauh dari China, musim luruh turut membawa keunikannya. Di bahagian desa Perancis, musim menuai pokok berangan telah tiba, dengan penduduk kampung mengendong bakul anyaman untuk mengumpul buah berangan yang gugur. Di Kanada, musim labu semakin menghampiri, kebun-kebun akan mengumpul labu meninggi bak bukit kecil, di mana orang ramai memilih kesukaan masing-masing untuk mengukir menjadi tanglung atau membuat pai, seterusnya memenuhi ruang udara di jalanan dengan aroma yang menenangkan dan manis.

Embun Sejuk merangkumi kedalaman musim luruh, mencermin keagungan alam semula jadi dan kehangatan kehidupan seharian. Bagaimanakah keadaan Embun Sejuk di tempat anda? Adakah aroma ubi keledek panggang di jalanan atau dedaunan yang berguguran di hadapan tingkap anda? Kongsikan cerita Embun Sejuk anda dengan kami!

Video

Berita Berkaitan