- Lain-lain
China, AS Capai Konsensus Asas dalam Rundingan Ekonomi dan Perdagangan di Malaysia

Delegasi China dan Amerika Syarikat (AS) telah mencapai konsensus asas mengenai aturan bagi menyelesaikan kebimbangan masing-masing, dalam rundingan ekonomi dan perdagangan yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Sabtu hingga Ahad.
Delegasi China diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng, manakala pihak AS diketuai Setiausaha Perbendarahaan AS Scott Bessent dan Perunding Perdagangan AS Jamieson Greer.
He Lifeng berkata inti pati hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS adalah sama menang dan saling menguntungkan.
“Kerjasama akan membawakan keuntungan, manakala konfrontasi akan memberikan kerugian kepada kedua-dua negara.
“Memastikan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS berkembang mantap bukan sahaja sesuai dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara, tetapi juga sejajar dengan harapan masyarakat antarabangsa,” ujar He.
Beliau menyatakan bahawa China dan AS harus merunding secara sama rata untuk mencapai kaedah demi menyelesaikan kebimbangan masing-masing berdasarkan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai dan kerjasama sama menang.
“Bukanlah mudah bagi China dan AS untuk mencapai hasil dalam rundingan ekonomi dan perdagangan dan ia harus dijaga baik oleh kedua-dua pihak.
“AS diharap berjalan sehaluan dengan China, bersama-sama melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara menerusi panggilan telefon pada tahun ini serta hasil rundingan pelbagai pusingan terdahulu, meningkatkan rasa saling percaya, mengawal perselisihan pendapat, di samping meluaskan sektor kerjasama agar melonjakkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala ke tahap lebih tinggi,” ujar He Lifeng.
Sementara itu, pihak AS menyatakan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan antara AS dan China ialah hubungan dua hala yang paling berpengaruh di dunia. Pihak AS bersedia merungkai isu ekonomi dan perdagangan dengan China secara sama rata dan saling menghormati, di samping meningkatkan kerjasama demi mewujudkan pembangunan bersama.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memanfaatkan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan, mengekalkan komunikasi rapat dan berusaha mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS berkembang secara sihat, stabil dan mampan, agar memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada kemakmuran dunia.
- China, AS Boleh Temui Cara Tangani Kebimbangan Masing-masing
- Wang Yi Temui Delegasi Dewan Perwakilan AS
- Menteri Pertahanan China Terima Kunjungan Delegasi Dewan Perwakilan AS
- Naib PM China Terima Kunjungan Delegasi Dewan Perwakilan AS
- Xi, Trump Bincang Kerjasama dan Hubungan Bilateral menerusi Telefon
- China, AS Adakan Mesyuara Ekonomi di Sepanyol
- China, AS Dijadual Adakan Rundingan Perdagangan di Sepanyol
- Perunding Perdagangan Antarabangsa China Melawat AS
- China, AS Umum Penangguhan Kenaikan Tarif Selama 90 Hari
- Rundingan Ekonomi dan Perdagangan China-AS Berlangsung di Stockholm




