- Lain-lain
Rahsia China Tarik Kemasukan Modal Asing ke Sektor R&D
Rebut peluang semasa, jamin masa hadapan; barangkali inilah strategi yang mendorong aliran modal ke pasaran yang lebih berpotensi, seperti yang dilihat akhir-akhir ini.
Sejak awal tahun, terdapat trend yang jelas dalam perkembangan pelaburan asing di China, iaitu semakin banyak syarikat multinasional menambah perbelanjaan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di samping menyegerakan penubuhan pusat-pusat R&D. Statistik menunjukkan bahawa setakat September, terdapat 631 pusat R&D biayaan modal asing di Shanghai, manakala Beijing mempunyai 221 pusat seumpama setakat Januari.
Baru-baru ini, Kumpulan Bosch Jerman menandatangani satu perjanjian dengan Taman Perindustrian Suzhou di provinsi Jiangsu, timur China, untuk melaburkan 10 bilion yuan dalam masa lima tahun akan datang sebagai modal projek inovasi kawalan pemanduan pintar. Inisiatif itu akan memfokuskan R&D berkaitan penyelesaian pemanduan berbantu teknologi pintar tindanan penuh, serta perkakasan dan perisian kokpit pintar.
Di Jiaxing, provinsi Zhejiang pula, gergasi perindustrian Denmark, Danfoss mengumumkan modal tambahan 2.7 bilion yuan untuk membina taman perindustrian kedua di China – sebuah prasarana karbon sifar maju yang mengintegrasikan fungsi-fungsi R&D, ujian, pengeluaran dan pameran. Ini merupakan kali kesepuluh syarikat itu menambah modal di China dalam masa dua dekad.
Trend ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan syarikat asing terhadap iklim pelaburan di China, bahkan pengiktirafan mereka akan ekosistem inovasi negara ini yang cukup dinamik.
China bukan sahaja sebuah pasaran pengguna yang besar, tetapi juga antara yang paling dinamik di dunia. Banyak trend dan permintaan baharu terlebih dahulu muncul di China. Dengan menceburi pasaran China, syarikat asing dapat merebut peluang baharu di tengah-tengah dunia yang sedang berubah, justeru menjamin ruang yang lebih luas untuk pertumbuhan sendiri.
Gergasi sektor kesihatan dan perniagaan tani Jerman, Bayer boleh diambil sebagai contoh. Sehingga 2023, usaha inovasi di China mewakili 15 peratus portfolio inovasi global Bayer Consumer Health, syer paling tinggi bagi mana-mana pasaran tunggal.
Memandangkan China mendahului pasaran dalam banyak sektor teknologi canggih, melabur di China kini bukan lagi sekadar strategi penyetempatan, sebaliknya ia langkah bersifat global yang memandang ke hadapan. Bagi banyak syarikat multinasional yang ingin mengekalkan mahupun meningkatkan daya saing, “R&D di China dan berkhidmat kepada dunia” telah menjadi pilihan strategik yang lazim.
Dengan adanya sistem perindustrian yang komprehensif dan senario penggunaan yang pelbagai, peranan China sebagai “kilang dunia” tetap kukuh, manakala kedudukannya dalam rantaian inovasi global kian signifikan. Perbelanjaan China dalam bidang R&D kini melebihi purata Kesatuan Eropah, dan negara ini di tangga ke-10 global dari segi inovasi, dengan 24 kelompok inovasi tergolong dalam 100 teratas di dunia.
Tambahan pula, bilangan tenaga kerja berpotensi yang amat banyak dan rantaian perindustrian yang lengkap menyediakan sokongan mantap yang menjamin kecekapan R&D, sementara sikap masyarakat yang mahukan inovasi turut mewujudkan persekitaran yang sesuai.
Daripada agensi kerajaan dan syarikat kepada pengguna, penerimaan meluas inovasi telah melahirkan sebuah kitaran positif antara teknologi dan pasaran. Sama ada membabitkan pemanduan berautonomi, Internet perindustrian, penjagaan kesihatan, ataupun tenaga hijau, pasaran China menawarkan wahana yang cukup lengkap untuk teknologi dan produk baru, daripada fasa bukti konsep sampailah aplikasi komersial.
Evolusi yang bermula dengan pembukaan kilang, membawa kepada peningkatan jualan dan jaringan perkhidmatan, dan kemudiannya penubuhan pusat-pusat R&D, bukan sekadar satu peralihan dalam pengeluaran tetapi suatu penyusunan semula sumber inovasi di peringkat global – jelasnya transformasi strategik yang berorientasikan masa depan.
Daya tarikan China tidak dapat dipisahkan daripada keterbukaannya yang bertahap tinggi. Daripada memberikan layanan setara syarikat domestik kepada syarikat asing dalam aspek pemerolehan kerajaan, hinggalah langkah memperkukuh mekanisme perlindungan hak harta intelek syarikat asing, usaha China untuk terus-menerus mengoptimumkan iklim perniagaan telah menjana momentum secara serentak antara pertambahan pelaburan asing dan peningkatan tahap keterbukaan.
Sidang Pleno ke-4 Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China menyarankan pembaharuan dan pembangunan dipertingkatkan dengan membuka pintu lebih luas, agar berkongsi peluang dan mencapai pembangunan bersama dengan seluruh dunia.
China yang komited kepada keterbukaan bertahap tinggi akan berada di kedudukan yang lebih baik untuk mengintegrasikan sumber inovasi sedunia dan bekerjasama dengan semua negara untuk membina sebuah masa depan yang lebih cerah dan inklusif.
 
				 
			




