Xi Terima Kunjungan Raja Tonga di Beijing

(CRI)Selasa 25 November 2025

Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Raja Tonga, Tupou VI di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Selasa.

Dalam pertemuan tersebut Xi berkata, tidak kira apa pun situasi antarabangsa, China merupakan rakan yang boleh dipercayai dan akan sentiasa menyokong usaha Tonga memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut Xi berkata China bersedia mempertingkat penyelarasan strategi pembangunan, memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian, perikanan, infrastruktur, tenaga bersih, perubatan, kesihatan, pelancongan dan perubahan iklim dengan Tonga.

Selain itu, China menyatakan komitmen untuk meningkatkan pertukaran dalam bidang pendidikan, sukan, belia, media dan tempatan, serta memberi bantuan kepada pembangunan ekonomi dan sosial Tonga, dalam kerangka kerjasama Selatan-Selatan.

Xi berkata, empat inisiatif global yang dicadangkan China adalah bertujuan untuk mendorong pelbagai negara bersama-sama membincangkan mengenai pembangunan dan berkongsi keamanan.

"China bersedia bersama Tonga merealisasikan empat inisiatif tersebut, mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat kedua-dua negara, membina komuniti berkongsi nasib China-Negara-negara Kepulauan Pasifik, dan mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan" ujar Xi.

Selepas sesi pertemuan tersebut, Xi dan Raja Tupou VI menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama yang melibatkan ekonomi, perdagangan, perubatan, pendidikan dan pembangunan antara kedua-dua negara.

Video

Berita Berkaitan