- Lain-lain
China Temu Teks Terawal Tentang Kuda dari Zaman Negeri-Negeri Berperang

Imej menunjukkan gambaran slip buluh berusia lebih 2,000 tahun dari Zaman Negeri-Negeri Berperang (475 BC-221SM), disusun oleh Pusat Penyelidikan dan Konservasi Teks yang Digali di Universiti Tsinghua, Beijing, ibu negara China. (Universiti Tsinghua/Disiarkan menerusi Xinhua)
Penyelidik China telah menemui penulisan terawal tentang kuda pada slip buluh berusia lebih 2,000 tahun dari Zaman Negeri-Negeri Berperang (475 BC-221SM). Penemuan ini diumumkan pada satu sidang media di Universiti Tsinghua di Beijing, Isnin lalu.
Pusat Penyelidikan dan Konservasi Teks yang Digali di Universiti Tsinghua baru-baru ini menyusun lima teks buluh yang berkaitan dengan kuda. Menurut penyelidik, bahan-bahan tersebut ialah teks sistematik paling awal yang ditemui di China pada masa ini melibatkan penilaian kuda, rawatan veterinar, serta latihan dan bimbingan.
Shi Xiaoli, seorang profesor madya di pusat tersebut, menyatakan bahawa Zaman Negeri-negeri Berperang merupakan kemuncak perang rata pada zaman China purba. Ketika itu, kemahiran menunggang kuda dan memandu rata dianggap sesuatu yang perlu bagi orang bangsawan. Namun begitu, butir-butir praktikal tentang teknik seumpama sebelum ini sedikit sahaja direkodkan dalam teks purba yang terselamat.
“Pendedahan salah satu daripada teks berkenaan, yang memperincikan cara membimbing kuda, mengisi kekosongan dalam kepustakaan tentang teknik menunggang kuda dari Zaman Negeri-negeri Berperang malahan sejarah China purba secara amnya, sekali gus menawarkan nilai dokumentari yang penting untuk mengkaji kemahiran menunggang kuda zaman purba,” kata Shi.
“Kuda diberikan nilai status yang amat tinggi pada zaman purba,” ujar Huang Dekuan, pengarah pusat tersebut. Huang menjelaskan bahawa kemajuan-kemajuan dalam pembelajinakan, pembiakan, penggembalaan dan latihan kuda secara langsungnya menaikkan taraf pengangkutan dan keupayaan ketenteraan pada zaman purba, mempengaruhi pertukaran budaya dan perkembangan tamadun, bahkan mencerminkan kekuatan tentera dan daya produktif sesebuah negara – semuanya menyimpan makna signifikan dari segi politik dan budaya.
“Koleksi yang baru ditemui ini penting nilainya kepada penyelidikan mengenai penilaian kuda, sejarah penternakan haiwan, zooarkeologi dan sejarah veterinar pada Zaman Negeri-negeri Berperang,” tambah Huang lagi.
- Lapan Kuda Bawa Keajaiban TBC ke Singapura
- Barisan Kepimpinan Negara Hadir Gala Opera Tahun Baharu 2026
- TBC 2025: Industri Penerbangan Awam China Rekod 18.24 Juta Penumpang
- Menghayati Warisan Budaya Tidak Ketara Jadi Tumpuan Pelancong Semasa Perayaan TBC 2025
- Adat Resam Rakyat Tradisional TBC: Membuat Tauhu
- Pelancongan China Gamit Minat Pengunjung Global
- Adat Resam Rakyat Tradisional TBC: Membersih Rumah
- Warisan Budaya Tidak Ketara Semasa TBC - Adat Rakyat dari Pelbagai Tempat
- ‘Gala Kampung’ Di Dalam Gerabak Kereta Api di Guizhou, Alu-alu Kedatangan TBC 2025
- TBC: Prajualan Tayangan Filem Bermula




