Xi Buat Panggilan Video dengan Putin

(CRI)Khamis 05 Februari 2026

Presiden China Xi Jinping mengadakan panggilan video dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin pada Rabu.

Dalam panggilan video tersebut, Xi berkata tahun 2026 merupakan permulaan kepada Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 China, dan negara ini akan lebih proaktif dan memperluas keterbukaan bertaraf tinggi, serta berkongsi peluang pembangunan baharu dengan negara-negara di seluruh dunia termasuk Rusia.

Xi menyatakan, tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan perkongsian kerjasama strategik untuk koordinasi China-Rusia, ulang tahun ke-25 pemeteraian Perjanjian Kerjasama Persahabatan dan Kejiranan Baik China-Rusia, serta tahun permulaan Tahun Pendidikan China-Rusia.

Beliau menekankan kedua-dua pihak perlu mengambil peluang bersejarah tersebut, meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, dan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menurut Xi, China dan Rusia harus meningkatkan kerjasama strategik yang lebih mendalam serta memainkan peranan yang lebih aktif dan bertanggungjawab sebagai kuasa besar bagi memastikan hubungan dua hala terus berkembang di landasan yang betul dan stabil.

Sementara itu Putin menyatakan bahawa kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perdagangan, tenaga, sains dan teknologi dan pertanian terus berkembang secara mantap, manakala pertukaran rakyat ke rakyat juga semakin erat.

Beliau turut memuji kejayaan Tahun Kebudayaan Rusia-China, serta menyifatkan dasar pengecualian visa sebagai banyak memudahkan pertukaran lawatan rakyat kedua-dua negara.

Menghadapi situasi antarabangsa yang kompleks dan berubah-ubah, Rusia bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan China dalam platform multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Shanghai, BRICS dan sebagainya, serta menyuntik tenaga positif ke dalam hal ehwal antarabangsa.

Video

Berita Berkaitan