- Lain-lain
Teknologi Digital Majukan Industri Beri Biru di Yunnan
Di sebuah pusat demonstrasi pertanian ekologi di bandar Chengjiang, provinsi Yunnan, barat daya China, para pekerja sedang sibuk memetik dan mengisih buah beri biru yang akan dihantar ke Shanghai.

Foto menunjukkan beri biru yang sudah diisih di sebuah gudang simpanan sejuk di bandar Chengjiang, provinsi Yunnan, barat daya China. (People's Daily Online/Liu Yi)
Terletak di ketinggian antara 1,700 dan 2,800 meter, Chengjiang mempunyai suhu purata tahunan 16.5 darjah Celsius, lebih daripada 2,000 jam sinar matahari setahun, serta perbezaan ketara antara suhu waktu siang dan malam. Pada 2004, bandar ini mula mengusahakan penanaman beri biru berkat keadaan setempat yang cukup sesuai untuk menanam spesies-spesies berharuman bunga.
Guo Jie, seorang juruteknik di pusat tersebut, membuka sebuah aplikasi yang memaparkan data berkaitan suhu, kelembapan dan cahaya dalam masa nyata di rumah hijau terlibat. Dengan sekali ketik pada telefonnya, atap rumah hijau beransur-ansur dibuka.
“Dulu, kami bergantung pada pengalaman. Sekarang, kami bergantung pada data. Telefon pintar dapat menyediakan panduan tepat tentang pengairan dan penggunaan baja,” kata Guo.

Foto menunjukkan rumah hijau moden di sebuah pusat penanaman beri biru di bandar Chengjiang, provinsi Yunnan, barat daya China. (People's Daily Online/Liu Yi)
Guo juga menerangkan sistem kitar semula yang mengumpulkan air dan baja lebihan daripada rumah hijau itu. “Ini menjimatkan air, mengurangkan penggunaan baja kimia, dan baik untuk alam sekitar,” katanya.

Foto menunjukkan beri biru di sebuah pusat penanaman di bandar Chengjiang, provinsi Yunnan, barat daya China. (People's Daily Online/Liu Yi)
Amalan sedemikian mencerminkan komitmen bandar Chengjiang untuk melindungi Tasik Fuxian, iaitu tasik air tawar dalam terbesar di China. Untuk melindungi persekitaran ekologi tasik berkenaan, bandar itu telah menyesuaikan struktur pertaniannya, menaiktarafkan spesies beri biru, melaksanakan penanaman terpiawai, dan mengguna pakai kaedah pengurusan digital. Menjelang 2025, sistem kitar semula terbabit telah diperkenalkan di kesemua pusat penanaman beri biru di Chengjiang.
Kini, “Beri Biru Chengjiang” diiktiraf sebagai satu produk indikasi geografi. Penanamannya meliputi 28,000 mu atau 1,866 hektar, menghasilkan 24,000 tan output setahun dengan nilai keseluruhan 2.3 bilion yuan.
- Tuaian Lumayan Gong Cai Tambah Rezeki Penduduk di Yunnan
- Wanita Hidupkan Kembali Kraf Ikat Celup di Yunnan
- Bunga Ceri Mekar Penuh, Tarik Pengunjung ke Kunming
- Taman Tanah Basah Laishihai: Lokasi Lindung Penting Burung Hijrah
- Suasana di Pasar Tani Zhuanxin Daguan, Kunming
- Lewat Musim, Petani di Yunnan Sibuk Tuai Kopi
- Burung Janjang Ubah Wajah Tasik Lashi, Yunnan
- Panjat Tiang Pisau, Redah Laut Api, Pelancong Terpegun Lihat Festival Kuoshi
- Ceri Musim Sejuk Mekar Menghiasi Gunung Wuliang
- Yunnan Bina Industri Bunga Moden, Majukan Kawasan Desa




