Perkongsian Ekonomi Rancak, Pengerat Hubungan China-Vietnam

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 21 April 2026

Foto udara yang diambil pada 3 Ogos 2025 ini menunjukkan sebuah kereta api persiaran di jambatan tujuh lengkung Rel Yunnan-Vietnam di bandar Kaiyuan, provinsi Yunnan, barat daya China. (Li Yunsheng/Xinhua)

Foto udara yang diambil pada 3 Ogos 2025 ini menunjukkan sebuah kereta api persiaran di jambatan tujuh lengkung Rel Yunnan-Vietnam di bandar Kaiyuan, provinsi Yunnan, barat daya China. (Li Yunsheng/Xinhua)

Bagi ramai orang muda di Hanoi, menaiki laluan metro Cat Linh-Ha Dong untuk mengambil gambar latar langit malahan potret perkahwinan telah menjadi fesyen.

Laluan metro tersebut, yang mengatasi masalah kesesakan kota dengan perjalanan 23 minit, kini menjadi simbol kehidupan bandar di ibu negara Vietnam, dimungkinkan oleh perkongsian ekonomi praktik yang semakin mendalam antara China dan negara Asia Tenggara itu.

Di tengah-tengah ekonomi global yang lembap, dua jiran dekat ini telah memanfaatkan kedudukan geografi yang rapat, rasa saling memerlukan serta diplomasi yang stabil untuk melahirkan salah satu hubungan ekonomi bilateral yang paling dinamik di dunia, dengan kerjasama yang meliputi infrastruktur, perdagangan, interaksi orang ke orang, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau.

Mendorong keterlibatan melalui infrastuktur

Infrastruktur telah sekian lama menjadi tulang belakang integrasi ekonomi China-Vietnam. Di bandar Nanning, selatan China, tren T8701 menuju ke Hanoi setiap hari, sementara T8702 dari Stesen Gia Lan di Hanoi bertolak pulang ke China setiap malam. Perkhidmatan rel penumpang rentas sempadan harian ini turut menjadi perapat ikatan kedua-dua negara.

Mekanisme kerjasama kereta api China-Vietnam dilancarkan pada 2025. Pada masa ini, tiga projek rel tolok standard di utara Vietnam berjalan lancar menerusi usaha kedua-dua pihak.

Ketersambungan fizikal yang makin ketara telah merancakkan pertukaran antara rakyat. Pada 2025, warga China mendahului senarai ketibaan antarabangsa di Vietnam, iaitu 5.28 juta atau 25 peratus daripada keseluruhan pelawat asing ke negara itu, naik 41 peratus berbanding setahun sebelum.

Jarak yang dekat, budaya yang dikongsi, dan kemudahan perjalanan menjadikan Vietnam destinasi pilihan. Pelancaran tahun kerjasama pelancongan China-Vietnam 2026-2027, yang diumumkan semasa pertemuan dua pemimpin pada Rabu, turut memperkasakan interaksi yang semakin rancak ini.

Kenderaan menuju ke Vietnam selesai pelepasan kastam di Pelabuhan Youyiguan di bandar Pingxiang, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, 28 Januari 2026. (Lu Boan/Xinhua)

Kenderaan menuju ke Vietnam selesai pelepasan kastam di Pelabuhan Youyiguan di bandar Pingxiang, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, 28 Januari 2026. (Lu Boan/Xinhua)

Pasaran raksasa yang dikongsi bersama

Hubungan ekonomi yang kukuh ini juga dapat dilihat dalam perdagangan apabila China telah dua dekad kekal sebagai rakan dagang utama Vietnam. Pada 2025, perdagangan bilateral melonjak melepasi 290 bilion dolar AS, iaitu tertinggi dalam sejarah. Vietnam pula terus menjadi rakan dagang terbesar China di ASEAN dan keempat terbesar di peringkat global.

Hubungan tersebut saling menguntungkan dan berkait rapat dengan rakyat biasa, terutamanya petani. Pada 2025, eksport buah dan sayur Vietnam ke China melebihi 5 bilion dolar, lebih daripada 64 peratus keseluruhan eksport buah dan sayur negara itu. Durian dan kelapa segar dari Vietnam amat laris di China.

China juga pasaran eksport yang berkembang pantas bagi produk akuatik Vietnam seperti ikan dan udang. Pada 2025, eksport produk seumpama mencecah 2.45 bilion dolar, naik 29 peratus tahun ke tahun.

China dan Vietnam melancarkan perkhidmatan bayaran dua hala menggunakan kod QR di Hanoi, Vietnam, 2 Disember 2025. (Vu Trung Kien/Xinhua)

China dan Vietnam melancarkan perkhidmatan bayaran dua hala menggunakan kod QR di Hanoi, Vietnam, 2 Disember 2025. (Vu Trung Kien/Xinhua)

Bidang-bidang baharu

Semasa lawatan To Lam, kedua-dua negara telah menandatangani dokumen kerjasama melibatkan beberapa bidang termasuk pertukaran antara pihak, keselamatan awam, kerjasama kehakiman, ekonomi, kerjasama rantaian perindustrian dan bekalan, dan sebagainya.

Vietnam telah meletakkan sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital sebagai keutamaan strategik dan penggerak utama bagi pembangunan yang pesat dan mampan. Manakala, Pelan Lima Tahun ke-15 China (2026-2030) sama menitikberatkan pembangunan berkualiti, kemandirian teknologi, transformasi hijau serta keterbukaan pada tahap yang lebih tinggi.

Usaha Vietnam ke arah ekonomi pintar, digital dan hijau telah membuka pintu kepada kepakaran yang dimiliki China. Projek-projek tenaga boleh baharu yang diusahakan oleh China ­– seperti ladang solar, kemudahan kuasa angin, loji sisa-kepada-tenaga – telah membentuk sebuah kluster tenaga bersih berskala besar, sekali gus menyokong peralihan tenaga dan membantu menangani masalah kekurangan bekalan tenaga yang telah lama menghambat perkembangan sektor perindustrian Vietnam.

Dalam AI, wilayah Guangxi China telah menjadi pelopor dengan pembinaan sebuah pusat inovasi bersama Vietnam untuk membangunkan model bahasa besar Vietnam dan melatih pekerja teknikal. Pada 2025 sahaja, lima sesi latihan AI telah dijalankan, melibatkan lebih daripada 200 peserta dari Vietnam.

Semasa pertemuan dengan To Lam, Xi menggesa kedua-dua pihak supaya memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, dan Internet benda (IoT).

Video

Berita Berkaitan