China Jadi "Rujukan" Industri Automotif Global?

(CRI)Rabu 29 April 2026

Pengecasan pantas lima minit mampu menambah jarak perjalanan sejauh 400 kilometer, sistem keselamatan pintar yang memperlahankan kenderaan secara automatik apabila mengesan halangan, tingkap kereta berubah menjadi skrin sentuh dalam sekelip mata, kenderaan tanpa stereng dengan keupayaan pemanduan autonomi dan banyak lagi.

Segala teknologi dan inovasi hebat ini boleh disaksikan pada Pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2026 (Auto China 2026) yang menampilkan pelbagai teknologi futuristik yang memperluas imaginasi terhadap masa depan industri automotif, sekaligus memperkukuhkan kedudukan China sebagai hab inovasi global.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Kumpulan Volkswagen Jerman, Herbert Diess berkata, syarikatnya membawa 10 model, termasuk 4 model yang membuat penampilan sulung global, dengan "semuanya penyelidikan dan pembangunan diketuai oleh kepakarannya di China".

Pada tahun ini, lebih 2,000 syarikat rantaian bekalan dan teknologi dari 21 negara dan wilayah hadir sebagai pempamer dalam Auto China 2026, merangkumi semua kategori, bidang, dan lapisan.

Sebanyak 1,451 kenderaan dipamerkan, termasuk 181 model baharu dan 71 model konsep.

Jenama China turut melancarkan 42 teknologi teras, mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Dua bidang utama yang mencuri tumpuan pada pameran kali ini iaitu teknologi bateri yang meningkatkan jarak perjalanan serta kecekapan pengecasan, dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan kenderaan lebih pintar.

Ketua Setiausaha Persatuan Maklumat Pasaran Kenderaan Penumpang China, Cui Dongshu berkata kelebihan utama China terletak pada "inovasi sistematik" yang merangkumi keseluruhan rantaian industri, daripada bahan mentah hingga pengeluaran kenderaan lengkap.

Menurut beliau, kemajuan dalam bateri, pemanduan autonomi dan kokpit pintar menjadikan China sebagai sumber inovasi utama industri automotif dunia.

China juga mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar dan penjual kenderaan terbesar dunia selama 17 tahun berturut-turut.

Pada suku pertama tahun ini, eksport kereta China meningkat 56.7 peratus dari tahun sebelumnya, antaranya eksport kenderaan elektrik bateri (BEV) melonjak lebih dua kali ganda.

Syarikat automotif China kini beralih daripada sekadar mengeksport produk kepada membangunkan ekosistem global melalui pelaburan kilang, pusat penyelidikan dan pembangunan serta penubuhan usaha sama di luar negara.

Pameran tersebut mencerminkan keterbukaan China dalam memperkukuh kerjasama global, selain menukar daya tarikan pasaran domestik kepada keupayaan inovasi yang memberi manfaat kepada industri automotif dunia.

Video

Berita Berkaitan