- Lain-lain
Jambatan Huajiang China Diiktiraf Tertinggi di Dunia

Foto dron yang diambil pada 28 September 2025 ini menunjukkan pemandangan Jambatan Ngarai Besar Huajiang di provinsi Guizhou, barat daya China. (Xinhua/Yang Wenbin)
Jambatan Ngarai Besar Huajiang yang terletak di provinsi Guizhou, barat daya China, telah diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai jambatan tertinggi dunia, dengan ketinggian rasmi 626.01 meter.
Selepas beberapa kali mengukur dan mengesahkan, keputusan yang diumumkan pada Selasa mencatat rekod dunia baharu bagi ketinggian jambatan, mengatasi Jambatan Beipanjiang yang tingginya 565.4 meter. Jambatan Beipanjiang letaknya antara Guizhou dan provinsi Yunnan yang berjiran, diperakui oleh GWR pada 2018.
“Ketinggian akhir Jambatan Ngarai Besar Huajiang disahkan 626.01 meter, memecahkan rekod dunia sebelumnya iaitu 565.4 meter. Cabaran ini berakhir dengan jaya,” kata Luo Qiong, pengadil rasmi GWR, pada upacara berkenaan.
Terletak di rupa bumi bergunung-ganang di barat daya China, jambatan gantung kekuda besi ini merupakan komponen penting Lebuh Raya Liuzhi-Anlong di Guizhou. Ia dibuka kepada lalu lintas pada 28 September 2025.
Sebelum mendapat perakuan Guinness, jambatan tersebut telah pun menarik perhatian pemain industri kerana jarak rentang dan ketinggiannya. Ia digambarkan oleh sesetengah pakar jambatan sebagai projek yang mencatat rekod baik dalam dimensi mendatar mahupun menegak.
Jambatan itu juga telah dibangunkan sebagai satu tarikan pelancongan. Sejak pembukaannya, lif persiaran, kemudahan terjun lelabah (bungee jumping) altitud tinggi dan pertunjukan cahaya tirai air telah menggamit begitu ramai pengunjung pada cuti umum utama, termasuk cuti Hari Kebangsaan tahun lalu dan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Data ketinggian yang digunakan untuk perakuan Guinness disokong oleh teknologi tinjauan dan pemetaan China. Dibangunkan secara domestik, peralatan penentududukan BeiDou yang digunakan kali ini pernah membantu pendaki gunung China semasa di Qomolangma, puncak tertinggi dunia.
Seorang wakil syarikat pembina jambatan itu, Guizhou Communications Investment Group berkata, perakuan ini menjadi pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan kejuruteraan dan tinjauan China.
- Azalea Mekar di Bijie, Guizhou
- Xiuwen Kini Masuk Musim Menuai Buah Kiwi
- Industri Matcha Tongren Harum di Pentas Global
- Guizhou Beri Nafas Baharu Untuk Warisan Tunpu
- Jambatan Tertinggi Dunia Lonjakkan Pelancongan Tempatan
- Seteguk, Secawan, Jiwai Vitaliti Guiyang
- Sambutan Tahun Baharu Etnik Tarik Pelancong Asing
- Foto: Pasar Qingyun Tarik Pelancong Musim Sejuk ke Guiyang
- Pertemuan Digital dengan Wang Yangming di Guizhou
- “Pesta Maolong” Etnik Yilao Disambut dengan Tarian Naga
- Daerah Wulong Diselubungi Kabut, Awan
- Bahagian Utama Jambatan HK-Zhuhai-Macau Lulus Pemeriksaan
- Jambatan Jiefang Warnai Pemandangan Malam Tianjin
- Wartawan Eurasia Rasai Debaran pada Ketinggian 370 Meter di Guizhou
- Jambatan Laut Terpanjang di Guangxi Terbentuk
- Jambatan Besar Liuzhi di Barat Daya China Mula Pembinaan
- Jambatan Besar Tianmen Sedang Dibina di Guizhou
- Jambatan Tertinggi Dunia di Guizhou Hampir Siap
- Guizhou, “Muzium Jambatan Dunia”




