Ekspo China-Eurasia Kesembilan akan Berlangsung di Urumqi pada 25 Hingga 29 Jun

(CRI)Rabu 10 Jun 2026

Ekspo China-Eurasia edisi kesembilan bakal diadakan di Urumqi, ibu kota Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China dari 25 hingga 29 Jun 2026.

Demikian dimaklumkan dari sidang akhbar yang dianjurkan Kementerian Perdagangan China pada Selasa.

Pegawai dari kementerian berkenaan berkata, setakat ini sebanyak 27 buah negara dan wilayah serta organisasi antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka dalam ekspo tersebut.

Selain itu, kira-kira 2,000 syarikat dan institusi telah berdaftar.

Naib Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Perdagangan Luar Kementerian Perdagangan China, Deng Bo berkata, ekspo kali ini mempunyai kawasan pameran seluas 140,000 meter persegi.

Di samping itu, enam zon akan didirikan, masing-masing mengkhususkan kerjasama pelaburan, kuasa produktif kualiti baharu, industri unggul yang istimewa, pembangunan hijau, integrasi budaya dan pelancongan, serta kerjasama Jalan Sutera.

Naib Ketua Setiausaha Kerajaan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, Zhou Chao menjelaskan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, Rusia dan Thailand akan buat pertama kalinya mendirikan pavilion dalam ekspo kali ini.

Dalam pada itu, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, ekonomi altitud rendah, dan pengeluaran bioteknologi akan menjadi fokus ekspo kali ini, selain hasil inovasi teknologi terkini akan dipamerkan.

Sepanjang ekspo kali ini, lebih 80 acara termasuk pelancaran produk baharu, perdagangan rentas sempadan dan sesi menarik pelaburan akan diadakan.

Video

Berita Berkaitan