Setiausaha Agung ASEAN: Perlunya Perkongsian ASEAN-China Lebih Kukuh

Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn menyampaikan ucapan pada Forum Jakarta 2026, sempena ulang tahun kelima perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China di Jakarta, Indonesia, 22 Jun2026. (Xinhua/Zulkarnain)

Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn menyampaikan ucapan pada Forum Jakarta 2026, sempena ulang tahun kelima perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China di Jakarta, Indonesia, 22 Jun2026. (Xinhua/Zulkarnain)

Perlunya perkongsian yang lebih kukuh antara ASEAN dan China tatkala dunia bergelut ketidakpastian yang makin ketara, ujar Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn di Jakarta, Isnin.

Berucap pada Forum Jakarta 2026, sempena ulang tahun kelima perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China, Kao menggesa kedua-dua pihak memperdalam kerjasama untuk mendorong keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan di rantau ini malahan lebih luas lagi.

Ujarnya, hubungan ASEAN-China telah menampakkan kemampuan yang konsisten untuk berubah dan menjadi lebih dinamik. China dan ASEAN kekal rakan dagang utama satu sama lain, terbukti dengan perdagangan bilateral melebihi 1 trilion dolar AS pada 2025.

Antara yang dititikberatkan oleh Kao dalam ucapannya termasuk ketegangan geopolitik yang kian rumit, fragmentasi ekonomi yang makin cepat, tekanan iklim yang bertambah kuat dan kemajuan teknologi mendahului kebanyakan rangka kerja tadbir urus. Berlatarbelakangkan keadaan semasa ini, ikatan perkongsian yang lebih kukuh antara ASEAN dan China “bukan sahaja dikehendaki – tetapi perlu.”

Memandang ke hadapan, Kao menggariskan lima perkara yang harus menjadi fokus: keamanan dan kestabilan, transformasi dan inovasi digital, kerjasama tenaga, ketahanan terhadap ancaman transnasional, dan ketersambungan antara rakyat.

Sebuah perkongsian yang lebih teguh dan produktif mestilah memandang ke hadapan, praktikal, inklusif dan berteraskan rakyat, kata Kao.

Duta China ke ASEAN Wang Qing pula menyatakan, China dan ASEAN jiran dekat yang berkongsi masa depan. Hanya apabila kedua-duanya bahu-membahu barulah dapat pembangunan yang sihat dan stabil dilakar bersama.

Selain melihat komitmen terhadap keterbukaan dan kerjasama sebagai suatu kemestian, Wang menyeru kedua-dua pihak mempercepat pelaksanaan Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0, membina sebuah pasaran bersama serantau yang lebih terbuka, di samping memperkasakan keselamatan makanan dan tenaga serta kestabilan rantaian bekalan melalui kerjasama yang saling menguntungkan.

Beliau mahu melihat kedua-dua belah memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan, respons iklim, tenaga bersih, ekonomi biru dan pertanian, agar setiap lapisan rakyat di seluruh rantau dapat menikmati manfaat daripada pembangunan dan pemodenan yang inklusif.

Video

Berita Berkaitan