- Lain-lain
China, Denmark Komited Intensifkan Perkongsian Strategik Komprehensif

China bersedia mempergiat kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Denmark, memulakan rundingan mengenai versi baharu Pelan Kerja Bersama Hijau, meluaskan kerjasama kedua-dua pihak dalam sektor pendidikan, kebudayaan, pelancongan, belia dan sukan, supaya menyumbang kepada peningkatan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara, selain mengintensifkan perkongsian strategik komprehensif China-Denmark.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Denmark, Lars Lokke Rasmussen di Copenhagen, pada Khamis.
Wang berkata hubungan China-Denmark mengekalkan perkembangan sihat dan mampan. China merupakan rakan dagangan terbesar Denmark di Asia, sementara kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara melakarkan hasil yang amat memuaskan pada beberapa tahun lalu.
Dalam pertemuan itu, Wang turut menyuarakan komitmen China untuk memperkasakan kerjasama dengan Denmark dalam penyelidikan sains dan inovasi, pengangkutan perkapalan hijau, kesihatan dan perubatan.
Beliau turut menyatakan bahawa China dan Eropah adalah kawan, bukan lawan. Oleh itu, kerjasama harus menjadi asas dan hala tuju perkembangan hubungan China-Eropah.
Wang turut menzahirkan harapan agar Denmark dapat memainkan peranan membina dalam mempromosikan perkembangan hubungan Eropah-China secara sihat dan stabil.

Sementara itu,Rasmussen pula menyatakan bahawa sebagai rakan strategik komprehensif, China dan Denmark memiliki kepentingan bersama yang meluas.
Ujarnya, syarikat-syarikat Denmark mempunyai keyakinan tinggi terhadap prospek pembangunan China dan bersedia untuk terus meneroka pasaran China dalam jangka panjang.
Beliau turut menzahirkan hasrat pihaknya untuk memperkukuh komunikasi dan koordinasi dengan China melalui platform seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempertahankan multilateralisme dan mengekalkan perdagangan bebas demi menangani pelbagai cabaran global.




