- Lain-lain
China Lancar Makmal Laut, Kaji Ekosistem Pantai

Foto dron bertarikh 10 Julai 2026 ini memaparkan platform di laut untuk eksperimen terkawal di lokasi berkaitan ekosistem pantai, selepas ditempatkan di Laut Kuning di perairan pesisir Rongcheng, provinsi Shandong, timur China. (IOCAS melalui Xinhua)
China pada Jumaat lalu melancarkan sebuah platform di laut untuk eksperimen terkawal di lokasi berkaitan ekosistem pantai. Ini menandakan masuknya satu fasa baharu penyelidikan ekologi pantai yang sistematik, pintar dan terbuka di negara ini.
Dibangunkan oleh Institut Oseanologi Akademi Sains China (IOCAS), kemudahan itu ditempatkan di Laut Kuning di perairan pesisir Rongcheng, provinsi Shandong, timur China. Kemudahan akses terbuka seumpama terbesar di China, ia meliputi keluasan 2,000 meter persegi dengan zon eksperimen 30,000 meter persegi, direka untuk menyokong pelbagai kajian ekologi dalam suasana marin sebenar.
“Pada asasnya, platform ini ialah sebuah makmal yang dipindahkan ke laut,” kata Sun Xiaoxia, penyelidik IOCAS merangkap ketua pasukan pembangunan platform tersebut.
“Dalam keadaan air laut sebenar, kami dapat mengawal faktor utama seperti suhu, nutrien dan oksigen terlarut dengan tepat, membolehkan pemantauan berterusan sepanjang kitaran, di samping mengatasi halangan teknikal antara pemerhatian laut semula jadi dan eksperimen terkawal dalam bangunan.”
Dilengkapi dengan modul pemantauan automatik, pengawalan air serta sokongan ekosistem mesokosmos dan logistik, platform itu membolehkan kawalan tepat pemboleh ubah seperti suhu, nutrien dan oksigen terlarut, membantu penyelidik meniru senario seperti pemanasan, pengasidan dan eutrifikasi lautan dalam persekitaran marin sebenar.
Memetik Sun lagi, kini amat penting untuk memahami bagaimana ekosistem pantai bertindak balas kepada trend iklim jangka panjang dan juga peristiwa ekstrem.
Perairan pantai China, tempat tertumpunya kebanyakan aktiviti ekonomi marin dan pelabuhan, juga titik panas untuk bencana dan risiko ekologi. Kawasan ini terutamanya menghadapi tekanan akibat perubahan iklim, pengaruh dari darat dan kegiatan manusia.
“Dengan kemudahan biasa, penyelidik hanya dapat mengumpul data di waktu dan keratan rentas tertentu, manakala makmal eksperimen di darat gagal mensimulasikan interaksi kompleks antara pelbagai spesies dan proses di laut sebenar,” jelas Sun.
Makmal baharu ini terletak di kawasan marikultur tipikal di utara China, menawarkan keadaan yang sesuai untuk kajian ekosistem secara semula jadi dan terkawal. Penyelidik boleh menjalankan eksperimen berasaskan senario melibatkan kapasiti angkut, ketahanan ekologi, gelombang haba marin serta hipoksia, untuk mengenal pasti nilai ambang risiko dan mengoptimumkan pengurusan akuakultur.
Selain industri akuakultur, ia juga mampu menyediakan sokongan teknikal untuk pencegahan bencana, pemuliharaan bersasaran tepat dan pengurusan kesihatan pantai, ujar Sun.
Platform berkenaan direka untuk kolaborasi antarabangsa secara terbuka dan menyediakan akses kepada institusi penyelidikan global, sekali gus memudahkan usaha sama untuk menangani cabaran persekitaran marin yang mendesak, katanya lagi.

Foto bertarikh 10 Julai 2026 ini memaparkan platform di laut untuk eksperimen terkawal di lokasi berkaitan ekosistem pantai, selepas ditempatkan di Laut Kuning di perairan pesisir Rongcheng, provinsi Shandong, timur China. (IOCAS melalui Xinhua)

Foto dron bertarikh 10 Julai 2026 ini memaparkan platform di laut untuk eksperimen terkawal di lokasi berkaitan ekosistem pantai, selepas ditempatkan di Laut Kuning di perairan pesisir Rongcheng, provinsi Shandong, timur China. (IOCAS melalui Xinhua)
- Xi Sampaikan Hadiah kepada Pemenang Anugerah Sains dan Teknologi Tertinggi China
- Burung Seriwang Asia Tumpuan Pemerhati Burung di Huangshan
- Tak Sempat ke Gim, Guru Bina Basikal Senam Sendiri
- Shenzhen Teroka Jalan Sendiri Lindung Biodiversiti Bandar
- Penyelidik China Kemuka Teori Baharu Pulsar Milisaat Dibentuk
- Canggih! Automasi Lipat Gandakan Kecekapan Menyemai
- Xi Seru Mobilisasi Seluruh Masyarakat dalam Usaha Penghijauan
- Rimbunan Bakau Perindah Landskap Bandar di Quanzhou
- Sistem Pintar Majukan Pertanian di Penara, Lhasa
- Industri Teknologi Tinggi China Catat Pertumbuhan Kukuh Awal 2026




