Presiden Xi Siarkan Artikel di Media Mesir

(CRI)Selasa 01 September 2026

Artikel Presiden China, Xi Jinping bertajuk "Meraikan 70 Tahun Perpaduan, China dan Mesir Mulakan Perjalanan Baharu" diterbitkan dalam akhbar Al-Ahram, Al-Akhbar dan Al-Gomhuria pada Selasa, menjelang lawatan rasmi beliau ke Mesir.

Artikel itu memetik Xi sebagai berkata hubungan diplomatik China dengan Mesir yang terjalin sejak 70 tahun lalu menandakan bermulanya kerjasama persahabatan antara China dengan negara-negara Arab dan Afrika.

Malah, hubungan China-Mesir yang terjalin sejak tujuh dekad lalu dengan mengharungi pelbagai perubahan dalam landskap antarabangsa telah menjadi suri teladan bagi kerjasama kolektif antara China dengan negara-negara Arab dan Afrika.

Hubungan itu juga menjadi contoh baik kepada negara-negara membangun dalam membina kehidupan bersama secara harmoni serta bekerjasama dengan rapat.

Pada masa yang sama, China dan Mesir juga perlu memperkukuh rasa saling percaya, menyokong kepentingan teras serta perkara yang menjadi keprihatinan utama masing-masing.

Ini termasuk mempererat interaksi dan kerjasama dalam pelbagai bidang dan peringkat supaya dapat memastikan persahabatan kedua-dua negara terus diwarisi dari generasi ke generasi.

Menurut Xi, China dan Mesir perlu memperkukuh penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing, memajukan pelaksanaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti serta meneroka potensi kerjasama dua hala.

Ini juga merangkumi usaha memperluas kerjasama dalam bidang yang substantif, sekali gus menyuntik momentum berterusan ke arah kerjasama yang saling menguntungkan.

Kedua-dua negara juga perlu memperkasakan kerjasama dan pertukaran dalam bidang pendidikan, pelancongan, teknologi, kesihatan, sukan dan arkeologi, selain mempererat ikatan persahabatan antara rakyat.

Usaha itu akan menyuntik momentum baharu kepada perkembangan perkongsian strategik komprehensif China-Mesir serta menggembleng kekuatan lebih besar bagi memajukan pembinaan komuniti berkongsi nasib insan.

Xi turut menekankan mengenai pentingnya mengamalkan multilateralisme sebenar, memperkukuh kerjasama pelbagai hala serta bersama-sama melaksanakan empat inisiatif global bagi memelihara keamanan dan kestabilan dunia serta keadilan antarabangsa.

Beliau turut berharap kedua-dua negara dapat memperluas kesan limpahan daripada kerjasama bilateral, di samping memanfaatkan kedudukan strategik Mesir yang menjadi penghubung dunia Arab dan mudah menjangkau ke seluruh benua Afrika.

Video

Berita Berkaitan