- Lain-lain
Rencana Global Times: Benarkah China “Menghimpit” Jalan Pengindustrian Negara Asia?
Seorang sarjana Barat dalam rencana ulasan yang diterbitkan oleh The Straits Times Singapura baru-baru ini, mendakwa China telah merosakkan “model angsa terbang” yang dahulunya menyaksikan negara maju memindahkan industri intensif buruh ke negara-negara yang lebih lewat membangun.
Pengarang menganggap, dengan mengekalkan industri peringkat rendah dan menengah sambil memajukan diri dalam sektor-sektor peringkat tinggi, China telah menutup jalan pengindustrian negara-negara Asia lain. Bersandarkan teori “China squeeze”, rencana itu menggambarkan China sebagai sebuah “gergasi ekonomi” yang “memonopoli keuntungan dan cuma meninggalkan ruang yang kecil untuk pihak lain”.
“Model angsa terbang” yang dimaksudkan diusulkan oleh ahli ekonomi Jepun Kaname Akamatsu pada 1932. Teori itu membandingkan pembangunan ekonomi serantau dengan formasi penerbangan angsa berbentuk V. Ketua angsa, yang mewakili negara maju, memindahkan industri dan teknologi yang matang kepada negara kurang membangun yang menyusul di belakang, membawa kepada pembahagian kerja dan penaiktarafan industri di seluruh rantau, selangkah demi selangkah.
Teori tersebut mulai diterima pakai secara meluas selepas Perang Dunia II, ketika berlakunya kebangkitan Jepun dan “Empat Harimau Asia”. Namun, dewasa ini, sesetengah sarjana Barat telah menggunakan “model angsa terbang” ini untuk menghuraikan landskap perindustrian Asia, menyifatkan kegagalan China mengundurkan diri dengan serta-merta dari industri-industri peringkat rendah yang matang sebagai faktor perosaknya. Terdapat juga tuduhan bahawa China mendominasi peringkat rendah dan tengah sambil memonopoli industri peringkat tinggi.
Sebenarnya, lihat saja pertumbuhan ekonomi di Asia, sudah cukup untuk menyangkal tuduhan seumpama. Jika benar China “menghimpit” pembangunan jirannya, syer sektor perkilangan serta pertumbuhan eksport negara-negara tersebut sepatutnya merosot. Namun realiti menunjukkan sebaliknya. Eksport sektor perkilangan negara lewat membangun di Asia seperti Vietnam, Kemboja dan Bangladesh terus-menerus berkembang, kebanyakannya pada kadar yang pesat.
Pada 2025, KDNK Vietnam tumbuh sebanyak 8.02 peratus, dengan tambahan nilai sektor perkilangan mewakili 24.53 peratus. Sektor perkilangan juga dianggap penjana utama yang memungkinkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.11 peratus di Indonesia tahun lepas, manakala di Malaysia, ia menduduki 22.1 peratus KDNK, jauh lebih tinggi daripada purata global. Pada tahun sama, eksport pakaian Kemboja meningkat 16.88 peratus, iaitu paling tinggi bagi mana-mana pengeksport pakaian utama Asia. Melihat kepada prestasi sebenar sektor perindustrian negara-negara ini, di manakah bukti masing-masing telah “dihimpit”?
Satu lagi fakta yang sering terlepas perhatian: sektor perkilangan China semakin saling hubung dengan negara-negara terbabit dalam cara-cara baharu. Sebagai pengeluar huluan terbesar di dunia bagi bahan tekstil, kasut dan input berkaitan, China telah lama mengekalkan syer yang besar dalam eksport komponen tersebut ke negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Fabrik yang digunakan oleh kilang-kilang Vietnam datangnya dari provinsi Zhejiang di timur China. Tapak yang digunakan oleh kilang kasut Bangladesh dihasilkan di provinsi Fujian di tenggara China. Zip yang digunakan oleh kilang beg Kemboja pula berasal dari Yiwu, sebuah bandar di Zhejiang. Penaiktarafan sektor perindustrian China tidak menghalang proses pengindustrian negara lain. Sebaliknya, negara berkenaan dibantu berintegrasi dalam rangkaian pengeluaran serantau yang cukup besar skalanya, sekali gus memberikan peluang untuk sama terlibat dalam pembahagian kerja global yang dahulunya sukar dibayangkan berlaku.
Dalam rangkaian bekalan dan pengeluaran Asia ini, peranan China bukanlah untuk menghimpit pihak lain, tetapi membolehkan mereka merealisasikan potensi.
Pada 2025, nilai keseluruhan perdagangan antara China dan ASEAN naik 8 peratus kepada 7.55 trilion yuan. Untuk lima tahun berturut-turut, China dan ASEAN berstatus rakan dagang terbesar satu sama lain. Lebih daripada 60 peratus perdagangan bilateral melibatkan barang perantaraan, yang bermakna dalam usaha negara ASEAN memajukan sektor perkilangan, bahan mentah, komponen dan produk separa siap diimport dari China dalam kuantiti yang begitu besar.
Pembahagian kerjanya jelas: China membekalkan barang perantaraan, ASEAN menguruskan pemprosesan dan pemasangan, akhirnya produk yang siap dihantar ke pasaran dunia. Pada masa yang sama, syarikat China membuka kilang di negara-negara ASEAN, membawa masuk modal, teknologi, kemahiran pengurusan dan sokongan rantaian bekalan – semuanya amat diperlukan oleh negara lewat membangun untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menaiktarafkan sektor perindustrian.
Perbuatan menggambarkan pembangunan China sebagai satu “rintangan” kepada jirannya, bercambah daripada cara pemikiran hasil tambah sifar. Pandangan ini menganggap “pai” pengindustrian global sebagai sesuatu yang tetap, maka setiap potongan tambahan yang dimakan oleh sesebuah ekonomi mengurangkan bahagian yang dapat dinikmati oleh pihak lain.
Pada hakikatnya, penaiktarafan sektor perindustrian China terus-menerus menjadikan seluruh pai itu semakin besar. China perlu mengimport lebih banyak sumber serta produk pertanian dan barang asas dari ASEAN. Syarikat China yang melebarkan sayap ke seberang laut memerlukan lebih banyak barang dan perkhidmatan dari merata Asia. Pertumbuhan eksport ASEAN ke China yang berterusan dengan jelas mencerminkan permintaan yang luar biasa tinggi, dijana oleh penaiktarafan sektor perindustrian China.
Integrasi yang mendalam dengan sistem perkilangan terbesar dunia ialah jalan pintas ke arah pengindustrian, bukannya suatu rintangan.
- China Perluas, Naik Taraf Penggunaan Barang Pengguna
- Xi Pengerusikan Simposium Bersama Wakil Bukan PKC Mengenai Hala Tuju Ekonomi
- Ekonomi China Catat Pertumbuhan Kukuh
- Perdagangan Tanah Besar China–Hong Kong Meningkat Enam Kali Ganda
- Industri Pos China Kekalkan Pertumbuhan Stabil
- Ekonomi China Kekal Stabil pada Januari hingga April 2026
- Era AI, OPC Bagai Cendawan Tumbuh Lepas Hujan
- Penggunaan Perkhidmatan Jadi Titik Pertumbuhan Baharu Semasa Cuti Hari Pekerja 2026
- Ekonomi Marin China Catat RMB2.6 Trilion Suku Pertama 2026
- Kontena China, Pemangkin Industri Baharu




