- Lain-lain
Patung Ivan dan Manara Hakko Ichiu, Mana Patut Dihancurkan?

3 September ialah "Hari Peringatan Kemenangan Perang Menentang Militarisme Jepun dan Tamatnya Perang Dunia Kedua" di Rusia. Di bandar Khabarovsk, Rusia, sebuah monumen telah didirikan baru-baru ini. Bahagian utama monumen itu ialah patung seorang askar Kesatuan Soviet setinggi 15 meter, memegang senapang dan digambarkan sedang menghancurkan batu tanda sempadan "Empayar Jepun Besar " yang mempunyai corak bunga kekwa di bawah kakinya. Patung askar itu dinamakan “Ivan” oleh penduduk tempatan, nama yang sering digunakan untuk mewakili askar Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua.
Sehari sebelum perasmian monumen tersebut, Konsulat Jeneral Jepun di Khabarovsk telah menuntut agar ‘batu tanda sempadan’ itu dialihkan, dengan alasan corak bunga kekwa ialah simbol Keluarga Diraja Jepun. Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi juga menyatakan bahawa corak bunga kekwa ialah simbol Jepun dan pihaknya sama sekali tidak dapat menerima kewujudan sebuah monumen yang menggambarkan kemusnahan corak tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Zakharova memberi kenyataan balas pada 6 September bahawa tuntutan pihak Jepun itu "sama seperti menuntut angin berhenti bertiup dan matahari berhenti bersinar". Beliau juga berkata: "Tanah kami dijaga oleh nenek moyang kami, sejarah kami berdasarkan fakta, dan memori kami terpahat pada monumen.
Tambah beliau, jika Tokyo memandang rendah sejarahnya sendiri, maka penyakit itu tidak sepatutnya merebak ke negara lain.
Sebelum ini, kerajaan Jepun juga kerap kali cuba menghalang pembinaan patung untuk memperingati mangsa “hamba seks” oleh tentera Jepun, yang didirikan atas inisiatif pertubuhan kalangan rakyat Korea Selatan di Kanada, Jerman, New Zealand dan beberapa negara lain.
Ironinya, semakin banyak patung dan monumen militarisme dipulihkan di Jepun.

Di Miyazaki, Jepun, terdapat sebuah menara batu yang dibina pada tahun 1940. Bahagian hadapan badan menara batu itu masih mengekalkan slogan penting dari zaman militarisme Jepun, iaitu "Hakko Ichiu", yang memperlihatkan niat Jepun untuk menakluki seluruh dunia.
Selepas Perang Dunia Kedua, inskripsi tersebut serta patung dewa perang Jepun di menara itu pernah dibuang atas arahan markas tentera bersekutu di Jepun. Namun, kedua-duanya dipulihkan semula pada tahun 1960-an. Jepun kemudian menjenamakan semula menara itu sebagai "Menara Keamanan", dengan mentafsirkan semula maksud "Hakko Ichiu" sebagai “dunia sebagai satu keluarga”.
Wartawan Kumpulan Media China (CMG) mengunjungi menara tersebut pada bulan lalu. Ukiran askar yang memegang senapang, pesawat pejuang dan unsur-unsur lain dalam menara tersebut jelas menunjukkan bahawa monumen tersebut tidak mencerminkan tema keamanan.
Pegawai kerajaan tempatan memberitahu bahawa batu-batu untuk membina menara itu disumbangkan secara sukarela dari seluruh dunia. Bagaimanapun, wartawan CMG mendapati terdapat batu yang terukir “Tembok Besar China, Pasukan Tada”. Berdasarkan catatan sejarah, daripada lebih 1,700 batu yang diguna untuk membina menara tersebut, majoritinya disediakan oleh tentera Jepun dari pelbagai negara yang dicerobohi.
Selain batu Tembok Besar di Beijing dan istana Dinasti Ming di Nanjing, terdapat juga batu yang dibawa dari Semenanjung Korea, Singapura dan Filipina.
Menara Hakko Ichiu merupakan contoh tipikal bagaimana Jepun menafikan sejarah pencerobohan dan memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan dunia. Oleh itu, masyarakat antarabangsa patut memberi tekanan kepada kerajaan Jepun supaya merobohkan menara tersebut serta menolak ideologi militarisme, selain mengembalikan batu-batu tersebut kepada negara asal masing-masing.
- Rizab Mata Wang Asing Jepun Susut Empat Bulan Berturut‑turut
- China Peringati Kemenangan Perang Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia
- 173,000 Tan Air Tercemar dari Loji Nuklear Fukushima Dilepas ke Laut
- Jumlah Import Nadir Bumi Jepun Merosot 80 Peratus
- 'Neo-militarisme' Jepun Mesti Dibendung Tegas
- China Kecam Tindakan Jepun Berkaitan Yasukuni Jinja
- Kementerian Luar Rusia Tolak Bantahan Jepun Berkenaan Lawatan Putin ke Pulau Iturup
- Arkib dan Testimoni Baharu Dedahkan Operasi Unit 731 Jepun
- Tindakan Kerajaan Jepun Perkuat Perisikan dan Ketenteraan Undang Kritikan Kumpulan Sivik
- Pendirian PM Jepun Berhubung "Tiga Prinsip Tanpa Nuklear" Tidak Jelas




