Di Puncak Salji Golog, Buku Pembuka Jalan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 15 Oktober 2026

Golog di provinsi Qinghai, barat laut China, terletak di ketinggian purata lebih 4,200 meter. Lokasi ini menjadikannya kawasan autonomi etnik dengan altitud purata paling tinggi di negara ini. Di tempat altitud tinggi dan persekitaran sejuk ini tersergamnya Gunung Amne Machin yang berpuncak sajli, namun persekitaran sedemikian turut mengundang cabaran unik bagi pembangunan pendidikan di Golog.

“Dari segi keadaan semula jadi, Golog merupakan salah satu tempat paling mencabar antara 30 kawasan autonomi etnik di China,” kata Lu Ning, timbalan pengarah biro pendidikan tempatan. Altitud tinggi, kekurangan oksigen dan populasi yang tinggal berselerak, sejak sekian lama lagi menghambat pembangunan pendidikan asas di sana. Akibatnya, pendidikan di Golog pernah tergolong antara yang paling lemah baik di peringkat provinsi mahupun negara. Bagi penduduk tempatan, pendidikan antara aspek kehidupan yang paling menjadi perhatian.

Pada 2010, Simposium Pusat Kelima tentang Usaha Berkaitan Xizang menetapkan Shanghai sebagai bandar penyedia sokongan kepada Golog. Untuk mengatasi halangan geografi di penara, Golog memperkenalkan sebuah model inovatif dengan mengendalikan sekolah di luar kawasan setempat, dengan membuka sekolah menengah untuk pelajar Golog di Xining, ibu provinsi Qinghai, yang altitudnya agak rendah. Pada 2019, Sekolah Menengah Etnik Xining Golog siap dibina dan mula menerima pendaftaran pelajar.

“Kami mahu membuka potensi setiap pelajar melalui pendidikan, supaya sinar harapan terpancar di mata dan tersemainya impian di sanubari mereka,” ujar Tian Zhe, pengarah Pejabat Xining Kerajaan Rakyat Bandar Shanghai yang mengetuai kumpulan perhubungan pasukan keenam pegawai yang ditugaskan untuk menyokong Qinghai.

Beliau yang juga timbalan setiausaha jawatankuasa Parti setempat merangkap timbalan gabenor Golog, memaklumkan bahawa pihaknya telah giat memperkenalkan falsafah pendidikan, sumber dan program maju dari Shanghai serta tempat-tempat lain di China.

Berpandukan pendekatan ini, sekolah terbabit bekerjasama dengan anggota fakulti Konservatori Muzik Shanghai untuk menubuhkan orkestra alat tiup belia etnik Tibet pertama China, yang kemudiannya telah membuat persembahan di Pusat Seni Pentas Negara di Beijing. Sekolah itu juga telah memperkenalkan kursus-kursus termaju meliputi kecerdasan buatan, inovasi sains dan teknologi, serta sains uji kaji. Dengan memanfaatkan pendidikan sains dan teknologi berkualiti tinggi, mereka berupaya mengecilkan jurang pendidikan antara kawasan timur China dan kawasan etnik minoriti di barat.

Pada Jun 2024, Presiden Xi Jinping mengunjungi Sekolah Menengah Etnik Xining Golog semasa lawatannya di provinsi Qinghai. Beliau menzahirkan harapan agar para pelajar dapat menghargai suasana positif sekolah itu. Mereka juga dinasihati supaya rajin mencari peluang untuk membina kerjaya yang cemerlang.

Zeng Qiang, pengetua Sekolah Menengah Etnik Xining Golog, mengenang kembali kumpulan pertama graduan sekolahnya yang menduduki peperiksaan kemasukan universiti, atau gaokao, pada 2022. Ketika itu, lebih 60 peratus calon diterima masuk program peringkat siswa. Pada sesi gaokao 2026 yang selesai baru-baru ini, angka itu naik kepada 84.17 peratus. Usaha bertahun lamanya telah membawa suatu loncatan bersejarah dalam pembangunan pendidikan di Golog.

Memetik Presiden Xi lagi, beliau menekankan betapa perlunya memastikan kanak-kanak di kawasan miskin menerima pendidikan yang baik, sebagai satu tugas mendesak dalam perjuangan menghapuskan kemiskinan dan mengejar pembangunan. Ia juga dianggap cara yang penting untuk memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi.

Zeng berkata, pengalamannya sejak datang ke Qinghai di bawah program bantuan tersebut telah memberinya pemahaman lebih mendalam akan peri pentingnya akses kepada sumber pendidikan yang pelbagai di samping persekitaran pendidikan yang elok.

“Ramai ibu bapa yang jarang-jarang sekali meninggalkan padang rumput dan gunung kecuali bagi menghantar anak-anak ke Xining untuk bersekolah,” katanya. “Apabila seorang anak berjaya melangkah keluar dari kawasan gunung, ini juga bermakna seluruh keluarganya berpeluang melihat dunia yang lebih luas.”

Antara tumpuan dalam pengelolaan sekolah, keutamaan diberikan kepada pemupukan perkembangan menyeluruh para pelajar dari segi moral, intelek, fizikal, estetika, dan juga pendidikan pekerja.

“Kami berharap para pelajar berpeluang melangkah keluar dari kawasan gunung dan melihat dunia yang lebih luas, agar mereka boleh mendapatkan pemahaman yang lebih jelas dan menyeluruh tentang pembangunan dan pemodenan China,” kata Zou Hong’en, setiausaha agung kumpulan perhubungan pasukan keenam pegawai yang dihantar untuk menyokong Qinghai.

Dikenali sebagai “Menara Air China”, Sanjiangyuan di Qinghai merupakan kawasan punca Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Lancang.

“Saya berharap para pelajar dapat menjadi umpama air dari Sanjiangyuan, mengalir bebas sambil berbakti kepada negara,” ujar Yang Wenbo, naib pengetua Sekolah Menengah Etnik Xining Golog. “Seperti kata-kata galakan Presiden Xi, saya berharap mereka rajin mencari peluang untuk membina kerjaya yang cemerlang.”

Video

Berita Berkaitan