- Lain-lain
Xi Bertemu Presiden Indonesia Prabowo di Shenzhen

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto di Shenzhen pada Jumaat, sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33.
Dua pemimpin bersama-sama mengumumkan pelancaran rundingan mengenai perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Xi berkata China dan Indonesia perlu memperkukuh komunikasi strategik dan meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, sekali gus melonjakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara ke tahap lebih tinggi.
Beliau menyeru supaya kedua-dua negara memikul tanggungjawab sezaman, dan terus berperanan sebagai kuasa penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan serta menggalakkan kemajuan umat manusia.
Xi menyatakan bahawa China bersedia memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dengan Indonesia di bawah pelbagai rangka multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), APEC dan China-ASEAN.
China komited menyokong ASEAN dalam mengukuhkan perpaduan dan autonomi strategik, kata beliau sambil menyuarakan kesediaan bersinergi dengan Indonesia untuk menjaga keselamatan dan pembangunan serantau, memperkasa solidariti dan pengukuhan Selatan Global serta menyumbang kepada penambahbaikan tadbir urus global.
Sementara itu, Prabowo berkata perkongsian strategik antara Indonesia dan China bertambah kukuh, menyaksikan kepercayaan politik antara kedua-dua negara terus meningkat, kerjasama ekonomi membuahkan hasil yang memberangsangkan dan pembangunan bersama dalam sektor maritim mencapai kemajuan positif.
Beliau turut meluahkan kesediaan Indonesia untuk memperdalam kerjasama dengan China, selain komited menyediakan persekitaran perniagaan yang boleh dipercayai, stabil dan boleh diramal kepada perusahaan China.

- Peng, Pasangan Pemimpin Ekonomi APEC Kunjungi Pameran Kebudayaan di Shenzhen
- Xi, Trump Sepakat Rangka Pelan Tindakan Perkukuh Hubungan China-AS
- Presiden Xi: Untuk Lihat 50 Tahun di China, Datang ke Shenzhen
- Setiap Negara Kecil, Ekonomi Pesat Membangun Perlu Dilayan Sama Rata - PM Anwar
- Xi Seru Bina Komuniti Asia Pasifik yang Bersolidariti, Terbuka, Inovatif dan Inklusif
- Xi Seru Anggota APEC Perkukuh Empat Teras Utama Komuniti Asia-Pasifik
- Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 Dirasmikan di Shenzhen
- Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 Keluarkan Inisiatif Shenzhen, Seru Bina Kemakmuran Bersama di Asia-Pasifik
- Xi Anjur Jamuan Malam di Shenzhen, Sambut Kedatangan Tetamu Yang akan Menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33
- PM Malaysia Anwar Ibrahim Tiba di Shenzhen




