Sorotan Statistik Pencapaian Sosioekonomi China 2022 (6)

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 30 Disember 2022
Sorotan Statistik Pencapaian Sosioekonomi China 2022

Pada tahun 2022, suasana antarabangsa yang pesat berubah menyukarkan usaha mengekalkan perkembangan stabil di China. Bagi rakyatnya, tahun 2022 dilihat sebagai tahun yang amat mencabar. Namun, titisan keringatnya telah membuahkan hasil. Mengimbas kembali tahun 2022, China tetap meraih banyak pencapaian penting yang patut dibanggakan dalam bidang sosioekonomi. Mari lihat sorotannya melalui sepuluh statistik.

Output Bijirin Lebihi 650 Bilion Kilogram Lapan Tahun Berturut-turut

Output bijirin China pada tahun 2022 mencatatkan 686.530 bilion kilogram, meningkat 0.5%, iaitu 3.68 bilion kilogram. Output bijirin tahunan melebihi 650 bilion kilogram untuk lapan tahun berturut-turut.

Jumlah Bungkusan Dikendalikan Lebihi 100 Bilion

Menurut statistik Biro Pos Negara (SPB), jumlah bungkusan dikendalikan telah melebihi 100 bilion pada 1 Disember, iaitu tujuh hari lebih awal berbanding tahun lepas.

52,000 Kawasan Kediaman Lama Mula Dibaiki

Menurut statistik Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Desa China (MOHURD), dari Januari hingga Oktober, sebanyak 52,100 kawasan kediaman lama mula dibaiki dan diubah suai di seluruh negara, memberi manfaat kepada 8.5925 juta isi rumah.

Bangunan Hijau Baharu Duduki Lebih 90%

Statistik MOHURD menunjukkan bahawa, setakat separuh tahun 2022, keluasan bangunan hijau baharu menduduki lebih 90% daripada jumlah keluasan bangunan yang baru dibina pada tahun 2022. Jumlah keluasan bangunan hijau telah meningkat kepada lebih 2 bilion meter persegi pada tahun 2021 daripada 4 juta meter persegi pada tahun 2012.

Pencen Terus Dinaikkan Sebanyak 4%

Pencen merupakan jaminan kewangan bagi warga emas. Meskipun dipengaruhi tekanan ekonomi dan wabak COVID-19, faedah persaraan terus dinaikkan. Pada tahun 2022, pencen dinaikkan sebanyak 4% berbanding tahun 2021, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kehidupan rakyat. 

Output dan Jualan Kenderaan Tenaga Baharu Lebihi 6 Juta

Kenderaan tenaga baharu keluaran China kini semakin penting di pasaran dunia. Menurut data Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), dari Januari hingga November, output kenderaan tenaga baharu mencatatkan 6.253 juta manakala jualan 6.067 juta, iaitu meningkat sekali ganda berbanding masa sama tahun lepas.

Hampir 9,000 Perusahaan Pembuatan Canggih

Pada tahun 2021, nilai tambah industri pembuatan China menyumbang hampir 30% daripada jumlah keseluruhan dunia. Banyak yang tercapai dalam pembuatan canggih seperti 5G, rel berkuasa elektrik, jentera pembinaan, kenderaan tenaga baharu, perkakas rumah dan lain-lain, dan muncul sekumpulan perusahaan kecil dan sederhana yang berupaya. Didorong siri polisi, perusahaan kecil dan sederhana terus bertambah. Sejak kumpulan perusahaan pertama mendapat pengiktirafan negara, kini sebanyak 8,997 perusahaan serupa telah mengetengahkan diri. Purata bilangan paten ciptaan berkesan yang dipegang oleh setiap perusahaan mencecah 15.7.

Lebih 2.2 Juta Stesen Rangkaian 5G Dibina

Menurut Kertas Putih Pembangunan Jalur Lembar China 2022, China berjaya membina rangkaian 5G terbesar dan paling canggih di dunia dari segi teknologi. Setakat akhir bulan September, sebanyak 2.2 juta stesen rangkaian 5G siap dibina dan beroperasi. Rangkaian 5G meliputi semua kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang penting.

Kapasiti Terpasang Penjanaan Tenaga Baharu Lebihi 100 Juta Kilowatt

Data menunjukkan bahawa dari Januari hingga November, kapasiti terpasang bagi penjanaan tenaga boleh baharu telah bertambah sebanyak 28.15 juta kilowatt berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 113.69 juta kilowatt. Perkembangan penjanaan elektrik selaras dengan trend pembangunan hijau.

Skala Ekonomi Digital Catat AS$7.1T

Kertas Putih Ekonomi Digital Global (2022) yang dikeluarkan Akademi Pengajian Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT) baru-baru ini menunjukkan bahawa skala ekonomi digital China mencatatkan 7.1 trilion dolar, menduduki tempat kedua di dunia. Di samping itu, Internet perindustrian telah disepadukan sepenuhnya ke dalam 45 kategori utama ekonomi negara, dan skalanya telah melebihi satu trilion. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan