Pembangunan Desa Pingle: Daya Hidup Sekuntum Bunga

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 April 2023
Pembangunan Desa Pingle: Daya Hidup Sekuntum Bunga
Seorang pelukis sedang mencipta lukisan peony pada kipas di komuniti Pingle, bandar Luoyang, pada 11 April 2023. (foto: Du Mingming/People.cn)

Berapa banyaknya daya hidup "sekuntum bunga"?

Di Komuniti Pingle yang digelar sebagai "kampung lukisan peony pertama China" di bandar Luoyang, provinsi Henan, petani membawa cangkul semasa musim berkebun dan memegang berus cat pada masa lapang. Kebanyakan mereka mempunyai kemahiran unik dalam melukis peony. Bunga peony yang mereka gambarkan cantik, anggun dan mewah, laris dijual baik dalam mahupun luar negara.

Mendiang Guo Tai'an boleh dikatakan bapa lukisan bunga peony Pingle, kerana beliaulah orangnya yang memperkenalkan bentuk seni istimewa ini kepada umum. Semasa Pesta Bunga Peony Luoyang dianjurkan buat julung kalinya pada 1983, Guo Tai'an yang masih guru seni pada masa itu menghasilkan lukisan bunga peony yang cukup mengagumkan, dipuji ramai orang. Setelahnya, dengan bantuan Guo Tai'an, sebilangan besar petani yang menggemari seni dan lukisan di kampung tersebut mula berjinak-jinak dengan berus cat. Guo Tai'an kemudian membaktikan dirinya untuk mengajar mereka dan menubuhkan akademi kaligrafi dan lukisan pertama di kampung itu.

Guo Xiaowei yang berusia 72 tahun hari ini juga pernah belajar di bawah bimbingan Guo Tai'an. Sekarang, Guo Xiaowei telah menjadi tokoh "veteran" terkenal dalam lukisan bunga peony di kampung itu. Lukisan-lukisannya menjadi koleksi orang ternama dari semua lapisan masyarakat. Untuk mewarisi budaya lukisan peony, Guo Xiaowei menyampaikan segala pengalaman dan kemahiran melukis kepada pelajarnya. Kini, para pelajarnya telah mengembangkan sayap hingga ke provinsi-provinsi lain, membawa budaya lukisan peony ke seluruh pelosok negara.

Pada 2011, Taman Kreatif Lukisan Bunga Peony China di kampung itu dibuka secara rasmi. Pada masa yang sama, tanda dagangan "kampung lukisan peony pertama China" juga didaftarkan. Taman ini meliputi kawasan seluas 90 mu (36.4 hektar), dengan galeri seni seluas lebih 4,600 meter persegi, 168 set studio artis dan pangkalan lakaran 25 mu (10.1 hektar). Taman ini diiktiraf sebagai tempat pemandangan peringkat AAA negara China.

Adik Guo Tai'an, Guo Taisen yang juga salah seorang petani yang pernah berguru dengan mendiang abangnya itu berkata, "orang di Pingle suka bunga peoni, melukis bunga peoni, juga mendapat kekayaan dan keternamaan melalui bunga peoni. Kini, kami telah mencapai matlamat untuk menjana 100 juta yuan (64.3 juta ringgit) setahun."

Pada masa ini, taman kreatif Pingle telah memupuk lebih 1,000 pelukis, membuka lebih 150 kedai dalam talian di Taobao, dan membentuk pasukan strim langsung e-dagang yang profesional. Hasil keluaran dan jualan tahunan produk lukisan bunga peony dari sini melebihi 500,000 keping, membawa pendapatan keseluruhan sebanyak 120 juta yuan (77.2 juta ringgit).

Selain itu, taman ini juga membina sekolah latihan lukisan peony, yang menganjurkan lebih daripada 2,800 sesi setiap tahun. Komuniti Pingle bukan sahaja menjadi platform untuk mewarisi budaya lukisan peony, tetapi juga satu teladan pembangunan desa yang menggalakkan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan