Keterlibatan HKSAR dalam Pelaksanaan BRI Makin Dalam

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 15 Ogos 2023

Gambar ini menunjukkan hadirin Forum Kemuncak BRI ke-7 sedang berunding. (China News Service/Li Zhihua)

Gambar ini menunjukkan hadirin Forum Kemuncak BRI ke-7 sedang berunding. (China News Service/Li Zhihua)

“Tahun ini ulang tahun kesepuluh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Selama sepuluh tahun ini, pelaksanaan BRI telah menyaksikan pencapaian yang cemerlang. Keterlibatan Hong Kong dalam pelaksanaan BRI juga membuahkan hasil yang luar biasa.” Demikian kata Guo Lanfeng dari Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC).

Baru-baru ini, NDRC bersama jabatan lain mengadakan persidangan dengan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), menyokong Hong Kong terlibat dan menyumbang dalam pelaksanaan BRI secara menyeluruh. Menurut Guo, Hong Kong selaku pintu untuk menjangkau pasaran dunia yang didukung oleh China, mempunyai potensi yang besar untuk turut serta dengan lebih lanjut dalam pelaksanaan BRI.

Sejak BRI dikemukakan, pihak-pihak di HKSAR terus memberi perhatian dan aktif menyahut, memperkasa peranannya sebagai nod dan platform penting. Hong Kong menjadi peserta, penyumbang dan juga penerima manfaat dalam pelaksanaan BRI. Kebelakangan ini, aktiviti bagi mempromosikan penyertaan Hong Kong dalam pelaksanaan BRI diadakan secara berturut-turut, menyuntik lagi momentum baharu kepada pertumbuhan ekonomi wilayah pentadbiran khas itu.

SERLAHKAN KELEBIHAN HONG KONG

Lebih 80 syarikat dan pembekal perkhidmatan profesional Hong Kong bersama 13 perusahaan milik negara dan swasta dari Tanah Besar China telah mengadakan lebih 140 pertemuan bersemuka satu lawan satu pada Mainland Enterprises Partnership Exchange and Interface Programme. Program anjuran Biro Perkembangan Perdagangan dan Ekonomi Hong Kong (HKTDC) bersama Persatuan Perusahaan China di Hong Kong (The Hong Kong Chinese Enterprises Association), menarik 170 ahli profesional yang meliputi pelbagai bidang seperti pelaburan dan pembiayaan, kewangan hijau, insurans, seni bina dan kejuruteraan, perakaunan, perundangan, konsultan dan sebagainya.

Dalam pelaksanaan BRI, perkhidmatan profesional secara menyeluruh antara kelebihan Hong Kong yang paling menonjol. “Hong Kong mempunyai perkhidmatan profesional yang menyeluruh dan pelbagai, telah menjadi pilihan utama bagi perusahaan milik negara dan swasta dari Tanah Besar China.”

Kata Algernon Yau Ying-wah, Setiausaha HKTDC, perusahaan milik kerajaan pusat adalah penyumbang penting dalam pelaksanaan BRI. Program yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk menggalakkan penjalinan hubungan antara perusahaan milik kerajaan pusat serta syarikat lain dengan pembekal perkhidmatan profesional Hong Kong supaya menyerlahkan kelebihan Hong Kong, membuka lebih banyak peluang kepada sektor berkenaan dan bersama-sama menjayakan BRI.

PERDALAM KERJASAMA

Kilang pemprosesan garam di Indonesia, projek ladang solar seluar 1,000 hektar di Mexico, dermaga pelbagai guna di Turki antara 680 lebih projek yang dipaparkan pada Halaman BRI di portal HKTDC yang menjangkau dari Asia Tenggara ke Afrika, dari Amerika ke Timur Tengah, merangkumi bidang tenaga, teknologi, perkilangan dan pertanian. Keterlibatan Hong Kong dalam pelaksanaan BRI semakin mendalam.

Menurut Margaret Fong Shun-man, Pengarah Eksekutif HKTDC, Hong Kong akan memainkan peranan yang lebih besar dalam BRI, terutamanya berkaitan pembiayaan dan menggalakkan kerjasama perdagangan antarabangsa. Katanya, pihaknya dapat menyambungkan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau (GBA) dengan BRI melalui 13 jabatan di Tanah Besar China serta 47 dewan perniagaan Hong Kong China di seluruh dunia.

FOKUSKAN PASARAN BAHARU

“Setakat ini, lebih 150 negara atau wilayah terlibat dalam BRI, membentuk 40% daripada KDNK global dan 45% daripada perdagangan barangan dunia,” kata Ketua Eksekutif HKSAR, John Lee Ka-chiu dalam satu forum bertema BRI baru-baru ini. Menurutnya, BRI mempunyai potensi perkembangan yang besar dan Hong Kong takkan terlepas peluang itu. Pihaknya akan lebih giat mempromosi Hong Kong di negara-negara yang turut serta dalam BRI.

Sejak 2016, kerajaan HKSAR menganjurkan forum kemuncak BRI setiap tahun, menarik 33,000 peserta. Seramai 6,000 pegawai kerajaan dari lebih 80 negara atau wilayah menghadiri forum tahun lepas.

Forum Kemuncak BRI ke-8 akan berlangsung pada 13 hingga 14 September tahun ini. John Lee memaklumkan, selain daripada pasaran tradisional iaitu ASEAN, forum tahun ini juga memberi fokus kepada pasaran Asia Barat.

Algernon Yau Ying-wah pula berkata, pihaknya akan mempromosikan perkhidmatan profesional Hong Kong di pasaran baharu seperti Asia Barat, Asia Tengah serta Eropah Tengah, sekali gus mengusahakan perkembangan GBA dan juga BRI.

Video

Berita Berkaitan