Rombongan BFSU Jalankan Praktikal di Malaysia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 22 Ogos 2023

Satu rombongan dari Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) telah menjalankan latihan praktikal lapan hari di Kuala Lumpur dan Melaka dari 20 hingga 28 Julai. Rombongan tersebut memfokuskan tinjauan mereka pada tema "Penyelidikan Penyebaran dan Strategi Konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan di Malaysia".

Sasaran kerja mereka adalah untuk meneliti tahap pemahaman dan penyebaran konsep saranan China tersebut dalam pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Ini dilakukan melalui sesi temu bual dengan pakar sejarah sosial, budaya, pendidikan dan media tempatan. Komunikasi dengan rakyat tempatan juga membolehkan rombongan memahami secara mendalam perihal integrasi budaya China dan Malaysia. Mereka memberikan cadangan strategik untuk mempromosikan penyebaran konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan di peringkat global.

Semasa menjalankan tinjauan di Kuala Lumpur, rombongan telah menemu bual dua profesor dari Fakulti Undang-undang dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, serta Kuik Cheng Kang selaku ketua pengarang Media Chinese International Limited (Malaysia) yang juga ketua pengarang Sin Chew Daily.

Jadual di ibu kota merangkumi lawatan ke Muzium Negara Malaysia, Dataran Merdeka serta tapak sejarah dan budaya yang lain. Mereka berkesempatan menemu bual beberapa penduduk Kuala Lumpur, dan mengedarkan soal selidik kepada khalayak umum.

Di Melaka pula, ahli rombongan melawat kampung nelayan dan sekolah rendah, bertemu bual dengan guru besar sekolah dan ahli parlimen, memerhatikan warisan budaya tidak ketara, dan menilai sentimen rakyat. Agenda di kota kuno ini umpama jendela bagi rombongan BFSU memahami keadaan pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan tempatan. Mereka juga dapat mengkaji status kesedaran orang di kawasan sepanjang Laluan Sutera Maritim terhadap konsep komuniti berkongsi nasib.

Tahun ini genap sedekad sejak China menyarankan pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan. Ketua rombongan, Profesor Gao Jinping dari Institut Kewartawanan dan Komunikasi Antarabangsa BFSU memandang penting tinjauan untuk menentukan tahap penerimaan saranan itu di negara-negara lain.

Tinjauan pihaknya mendapati bahawa integrasi berbilang budaya yang sudah sekian lama wujud di Malaysia telah mencipta suasana yang baik untuk penyebaran dan pembentukan komuniti berkongsi nasib yang disarankan. Pembinaan bersama "Jalur dan Laluan" antara China dan Malaysia juga mempunyai asas yang baik dari segi pendapat umum. Sama ada orang Melayu atau orang Cina, ahli akademik atau ahli politik, pengiktirafan mereka terhadap pembinaan bersama "Jalur dan Laluan" adalah sangat tinggi. Namun begitu, pemahaman mereka tentang konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan masih perlu ditingkatkan lagi.

Dou Yiming, kaunselor sepenuh masa dari Institut Pengajian Asia dan Institut Pengajian Afrika BFSU yang juga mengetuai rombongan, menyebut bahawa projek praktikal di luar negara yang diatur untuk pelajar BFSU adalah manifestasi jelas tentang penekanan BFSU terhadap "pendidikan melalui praktik". Melalui latihan praktikal di luar negara, pelajar boleh menggunakan bahasa untuk memahami dan berkomunikasi dengan lebih baik, di samping menggunakan bahasa sebagai medium untuk menyebarkan suara belia China dan menceritakan kisah China dengan baik.

Projek "Penyelidikan Penyebaran dan Strategi Konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan di Malaysia" dikemukakan oleh Institut Pengajian Asia BFSU, diketuai oleh Profesor Gao Jinping dari Institut Kewartawanan dan Komunikasi Antarabangsa BFSU dan Dou Yiming, kaunselor sepenuh masa dari Institut Pengajian Asia dan Institut Pengajian Afrika BFSU.

Ahli-ahli rombongan terdiri daripada pelajar dari jurusan bahasa Melayu, kewartawanan dan komunikasi, bahasa Hausa, bahasa Inggeris dan lain-lain. Projek ini adalah salah satu projek BFSU yang paling awal dijalankan di bawah "Projek Praktikal Pelajar di Luar Negara; Tamadun Global dan Tanggungjawab Belia 2023".

Pada tahun 2023, BFSU akan menghantar sejumlah 43 rombongan yang terdiri daripada lebih 500 pensyarah dan pelajar untuk menjalankan praktikal di luar negara di lima benua.

Video

Berita Berkaitan