Presiden Comores: Kerjasama China-Afrika Sama Menang

(CRI)Selasa 05 September 2023

Presiden Comores, Azali Assoumani menyifatkan hubungan perdagangan antara Afrika dengan China sebagai sangat erat, dan kawasan perdagangan bebas Afrika bakal meningkatkan lagi hubungan perdagangan tersebut.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi bergilir Kesatuan Afrika (AU) turut menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama dengan syarikat China dan menganggap kerjasama sebelum ini sebagai teladan.

Azali berkata demikian ketika menerima wawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Untuk rekod, terdapat dua perkara yang penting berlaku di benua Afrika mutakhir ini iaitu Sidang Kemuncak BRICS ke-15 di Afrika Selatan yang menyaksikan BRICS menerima beberapa negara anggota baharu sekali gus memberikan isyarat positif kepada dunia.

Manakala, ketika berlangsungnya sidang dialog pemimpin China-Afrika sejurus selepas Sidang Kemuncak BRICS, Presiden China Xi Jinping mengemukakan tiga langkah untuk menyediakan pelan China terhadap integrasi pengindustrian Afrika dan pembangunan pemodenan di benua itu.

Ketika mengulas mengenai BRICS, Azali berpendapat bahawa peluasan BRICS akan memberi galakan kepada negara-negara Selatan Global dan membantu untuk memacu pembangunan Afrika.

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 konsep kerjasama China-Afrika anjuran Presiden Xi Jinping. Saya menghargai konsep tersebut.

“Xi merupakan pemimpin yang hebat. Beliau mempunyai pandangan multilateral dan turut mahu memperluas rakan kerjasama. Inilah konsep menang-menang,” ujar beliau.

Azali berkata, China tetap menjadi rakan kerjasama bagi Afrika dan pihaknya komited memelihara hubungan rakan kerjasama dengan China.

“Segelintir negara menganggap China mempunyai banyak masalah kerana mereka tidak memahami hubungan kerjasama tersebut.

“Negara-negara Afrika patut berkhidmat untuk kepentingan rakyat di benua ini, dan bukan pihak yang lain.

“Segelintir orang pula menganggap bahawa China bukan negara Afrika dan tiada hubungan dengan Afrika. Ini kerana mereka cemburu kerjasama antara China dengan Afrika, dan sebenarnya mereka yang mahu mengadakan kerjasama seumpama itu dengan Afrika,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, sekarang masih belum terlambat bagi pihak-pihak tersebut untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara Afrika, tetapi prasyaratnya adalah kerjasama itu perlu mirip dengan kerjasama cara China, iaitu menghormati rakyat dan negara Afrika, menandatangani perjanjian kerjasama menang-menang dan mara ke depan bersama-sama.

Ketika menyentuh tentang tiga inisiatif yang dikemukakan oleh Presiden Xi, iaitu Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), Azali menyifatkan ketiga-tiga inisiatif tersebut sebagai sangat bermanfaat.

“Sesebuah negara memerlukan tenaga dari luar ketika mewujudkan kebebasan sumber tenaga. Itulah mengapa hubungan antara kami dengan China begitu baik,” jelasnya.

Video

Berita Berkaitan