Pemansuhan Sistem GPA Terima Pelbagai Maklum Balas

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 08 Januari 2024

(foto/IC)

(foto/IC)

Pembaharuan rintis membabitkan sistem penggredan di Universiti Peking dan beberapa institut pengajian tinggi (IPT) lain di China kini mendapat perhatian dan dibincangkan secara meluas dalam kalangan mahasiswa.

Meskipun sebilangan besar penuntut di IPT lebih cenderung kepada penilaian yang tidak spesifik berhubung pencapaian akademik mereka berbanding menggunakan markah, namun masih terdapat sebilangan yang bimbang akan kesannya terhadap permohonan mereka sekiranya ingin melanjutkan pelajaran.

Untuk rekod, Pusat Pengajian Sains Hayat Universiti Peking pada Rabu mengumumkan untuk memulakan pembaharuan rintis bagi menukarkan sistem penggredan semasa daripada markah atau gred purata (GPA) serta sistem ranking, dan sebaliknya memberikan penilaian gred huruf A, B, C, D atau F mengikut prestasi pelajar.

Sebagai penunjuk utama penilaian mahasiswa di China, GPA merupakan rujukan penting bagi mereka untuk memohon program sarjana luar negara atau pasca siswazah domestik. Dengan tekanan sistem penilaian yang tinggi, ramai pelajar terperangkap dalam persaingan yang tidak sepatutnya, semata-mata untuk meningkatkan sedikit mata peperiksaan.

Wang Shiqiang, bekas naib dekan pusat pengajian itu berkata bahawa pembaharuan tersebut bertujuan memberikan lebih banyak masa kepada pelajar untuk meningkatkan kebolehan mereka dengan menghadiri lebih banyak aktiviti luar.

"Kami beranggapan bahawa pelajar menyerap ilmu dengan baik apabila mereka memperoleh 85 mata atau lebih tinggi dalam sesuatu subjek. Mereka tidak perlu menghabiskan tenaga untuk mencapai 95 markah," kata beliau.

Mahasiswa perlu memahami pengetahuan kedua-dua sains hayat dan mata pelajaran lain seperti matematik serta sains komputer, dan kebanyakan mereka turut mula menjalankan eksperimen di makmal ketika masih bersekolah.

Tang Ping, timbalan setiausaha parti di institut itu berkata bahawa pelajar keletihan kerana mengejar GPA tinggi dan hampir tidak mempunyai masa untuk mengikuti latihan sosial atau kursus yang menarik minat mereka.

"Banyak masa dihabiskan untuk menyemak soalan peperiksaan dari tahun-tahun terdahulu atau menulis surat kepada pensyarah untuk memohon markah yang lebih tinggi," kata Tang.

Menurut tinjauan prapelaksanaan sistem baharu, kira-kira 88 peratus pelajar di pusat pengajian itu menyokong sistem penilaian lima gred baharu.

"Sistem penggredan baharu ini melegakan saya dan ia bermakna saya dapat mengimbangi penyelidikan saintifik dan kerja sekolah dengan lebih baik."

“Tidak kira sama ada saya melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara, saya akan mempunyai lebih banyak rancangan sandaran untuk masa depan," kata Ma Qiwei, seorang penuntut di situ.

Selain Universiti Peking, beberapa IPT lain iaitu Universiti Tsinghua, Universiti Normal China Timur dan Universiti Shanghai-Tech juga telah mencuba sistem penggredan baharu itu.

Namun demikian, memandangkan GPA merupakan faktor penting dalam memilih pelajar dari segi anugerah, pendidikan lanjut di luar negara dan cadangan pasca siswazah, terdapat sebilangan mahasiswa bimbang tentang kesan pemansuhan sistem GPA.

"Menggantikan GPA dengan sistem gred huruf boleh diterima dalam institut itu sahaja, tetapi beberapa IPT lain tidak mengiktiraf sistem penggredan baharu ini dan IPT di luar negara hanya menerima GPA," kata Chen.

Wang, bekas naib dekan berkata bahawa pihak sekolah akan menyediakan sijil untuk pelajar yang memohon pengajian pasca siswazah di luar negara bagi menjelaskan sistem penggredan baharu mereka.

"Apabila kumpulan pertama pelajar berjaya menerima tawaran daripada universiti di luar negara dengan kaedah penilaian baharu, keraguan pelajar akan berkurangan," katanya.

Fan Xiudi, pengarah Pusat Penyelidikan Penilaian Pendidikan Universiti Tongji di Shanghai pula menyatakan pandangan bertentangan iaitu tidak bersetuju dengan pemansuhan menyeluruh sistem GPA.

Jelasnya, elemen positif yang boleh didapati dalam sistem baharu itu ialah pelajar tidak akan tewas dalam persaingan sengit untuk meningkatkan jumlah mata yang kecil, namun pelaksanaan sistem penilaian yang kurang jelas mungkin menjejaskan usaha untuk memupuk bakat-bakat cemerlang.

"Adalah penting untuk membina asas yang kukuh dalam memupuk bakat inovatif yang luar biasa."

“Bagi mahasiswa untuk memberi perhatian terhadap perkara-perkara kecil, ia menunjukkan sikap saintifik dan semangat penyelidikan mereka yang berdedikasi," katanya.

Video

Berita Berkaitan