Penggemar Makanan Banjiri Tianshui, Cari Malatang ‘Viral’

Penggemar Makanan Banjiri Tianshui, Cari Malatang ‘Viral’
Malatang gaya Tianshui, provinsi Gansu. (People’s Daily Online/Wang Wenjia)

Malatang Tianshui dari provinsi Gansu di barat laut China, menjadi ‘viral’ di media sosial dalam negeri akhir-akhir ini, menarik kebanjiran pelancong yang mendambakan hidangan stimbot pedas yang lazat lagi mengecurkan air liur ini.

Carian mengenai perjalanan ke Tianshui telah melonjak ketara. Data daripada syarikat pembekal khidmat pelancongan gergasi China, Tongcheng Travel menunjukkan bahawa setakat Khamis, carian mengenai bandar itu melambung sebanyak 186 peratus sepanjang minggu lalu, dan terus-menerus meningkat. Bulan lepas, tempahan untuk hotel dan destinasi tarikan pelancong di Tianshui naik 40 peratus tahun ke tahun, menurut laporan yang disiarkan Trip.com pada Selasa.

Malatang gaya Gansu, dengan aroma harum minyak cili yang dipadankan dengan mi istimewa dipotong lebar-lebar, amat popular kebelakangan ini hinggakan menarik penggemar makanan dari serata negara. Sajian pedas yang melalikan lidah pemakan, cukup digemari kerana perisa yang menepati selera dan warna yang menjadi santapan mata.

Namun, agak berbeza dengan kuisin Sichuan, satu lagi tempat di barat daya China yang terkenal kerana stimbot, rahsia cita rasa malatang Tianshui ialah ramuan istimewa yang digunakan, iaitu lada biji Maiji dan lada Gangu. Kedua-dua ramuan ini ialah keluaran khas industri pertanian tempatan.

“Saya tak pernah sangka suatu hari Tianshui akan jadi ‘selebriti Internet’ dalam industri katering dan pelancongan kerana malatang, memandangkan bandar ini dulunya terkenal sebagai laluan penting di Jalan Sutera purba dan juga tapak warisan budaya yang kaya dengan sejarah di barat laut China,” ujar Wang Kaixuan, mahasiswa berumur 23 tahun dari Tianshui, dalam satu temu bual pada hari Ahad.

Maklum Zhang Yi, CEO Institut Penyelidikan iiMedia pula, tahun 2023 merekodkan hampir 4.9 bilion perjalanan oleh pelancong domestik, dengan jumlah perbelanjaan sekitar 5 trilion yuan.

“Seiring ledakan pelancongan yang dilihat dalam pasaran tempatan, boleh diyakini lebih banyak lokasi pelancongan (yang seumpama) akan muncul di China pada tahun 2024,” katanya.

Untuk lebih memudahkan pelancong menikmati sajian yang enak-enak, kerajaan tempatan bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bas khas, tetapi juga produk pertanian istimewa, laluan pelancongan butik bertemakan budaya, serta keluaran tempatan yang sangat halus. Ini akan membolehkan pengunjung merasai sendiri pesona budaya tempatan sambil menjamu selera.

Video

Berita Berkaitan