Xi Mahu Hunan Perkasa Pembaharuan dan Inovasi

(CRI)Jumaat 22 Mac 2024
Xi Mahu Hunan Perkasa Pembaharuan dan Inovasi

Provinsi Hunan perlu terus memperkasa usaha ke arah membangunkan ‘tanah tinggi’ bagi sektor pembuatan canggih, ‘tanah tinggi’ inovasi teknologi yang mempunyai daya saing teras serta ‘tanah tinggi’ pembaharuan dan pintu terbuka di kawasan pedalaman.

Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping ketika mengadakan tinjauan di provinsi Hunan baru-baru ini.

Beliau juga mahu Hunan menjadi pelopor dalam usaha memacu pembangunan kawasan bahagian tengah serta Jalur Ekonomi Sungai Yangtze.

Setelah mendengar laporan kerja yang dibentangkan Jawatankuasa PKC di provinsi Hunan dan kerajaan tempatan pagi tadi, beliau memberi penghargaan terhadap prestasi yang dicapai Hunan dalam pelbagai aspek.

Xi berkata inovasi sains dan teknologi merupakan faktor teras bagi memajukan kuasa produktif kualiti baharu. Justeru, usaha hendaklah dilipatganda untuk menggerakkan inovasi perindustrian menerusi inovasi teknologi.

Beliau menegaskan bahawa dalam usaha memperkasa pembaharuan, tumpuan perlu diberi kepada masalah yang mengekang pembentukan paradigma pembangunan baharu dan pembangunan berkualiti tinggi, masalah yang wujud dalam persekitaran pembangunan dan kebajikan rakyat serta masalah yang menjejaskan keadilan sosial.

Antara perkara lain yang turut diberi penekanan termasuk usaha memacu pembangunan kawasan luar bandar secara menyeluruh, menggalas misi baharu dalam aspek budaya dan memperkasa pembangunan Parti.

Video

Berita Berkaitan