Syarikat EV China Bergemerlapan di Bangkok

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 02 April 2024
Syarikat EV China Bergemerlapan di Bangkok
Pengunjung melihat MG Cyberster semasa Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke-45 di Bangkok, Thailand, 27 Mac 2024. (Xinhua/Wang Teng)

Penghasil kenderaan elektrik (EV) dari China menyinar di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) ke-45 berikutan kualitinya yang tinggi, reka bentuk inovatif dan harga yang kompetitif.

Pameran awam selama 12 hari yang akan melabuhkan tirainya pada Ahad ini itu turut mengumpulkan kira-kira 49 jenama kereta utama untuk tatapan pelanggan, dengan sekurang-kurangnya 20 model baharu sempena acara tersebut.

MG Cyberster iaitu roadster sukan elektrik berhud dengan dua tempat duduk turut dilancarkan oleh MG Motor pada pameran itu, iaitu yang pertama dalam kalangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), sekali gus memikat hati peminat kereta.

MG Motor, yang dimiliki oleh SAIC Motor, memasuki pasaran Thailand pada 2019 dan menyaksikan EV keluaran tempatan pertamanya dilancarkan di negara Asia Tenggara itu November lalu.

"Sebagai salah satu jenama China yang terawal memasuki Thailand, kami telah melancarkan kesemua jenis produk daripada kenderaan berkuasa bahan api kepada EV di pasaran Thailand untuk memenuhi permintaan pelanggan," kata Xu Yin, Presiden MG Sales (Thailand).

Sebagai pemain baharu, pembuat kereta China seperti Geely's Zeekr dan Xpeng turut membuat penampilan baharu masing-masing pada pameran itu dan memperkenalkan EV terbaru kepada pelanggan Thailand.

Ketua Zeekr bagi rantau Asia Tenggara, Alex Bao berkata bahawa syarikat itu kini berkembang pada peringkat global dan telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Laos, Myanmar, Thailand, Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain.

"Penerimaan pengguna Thai terhadap EV telah meningkat dengan ketara pada tahun-tahun ini, jadi memasuki Thailand adalah langkah penting untuk mengembangkan pasaran luar negara dan Thailand akan berfungsi sebagai ibu pejabat serantau untuk syarikat kami," katanya.

Penganjuran BIMS turut disifatkan sebagai platform yang mudah bagi kedua-dua pempamer dan pelanggan kereta.

Krienyot, warga Thai berusia 68 tahun bersama-sama isterinya kelihatan sangat teruja tatkala melihat semakin banyak jenama EV China memasuki Thailand, yang memberi mereka lebih banyak pilihan.

Untuk rekod, beliau sudah memiliki sebuah kereta BYD yang teknologi bateri canggih, dengan ciri-ciri dan nilai pulangan dikatanya sebagai sangat impresif.

"Kami menikmati kereta itu kerana prestasinya yang tinggi. EV lebih menjimatkan dan bateri boleh memandu sehingga 600 kilometer dengan hanya sekali cas sahaja," kata Krienyot.

Tambahnya, beberapa kereta di pameran permotoran itu lebih pintar berbanding yang dibayangkan, dan Krienyot turut bercadang untuk membeli sebuah lagi jenama EV Cina pada pameran permotoran itu.

Thailand telah menjadi pangkalan pengeluaran kereta utama di Asia Tenggara sejak sekian lama berikutan faktor rantaian perindustrian dan kelebihan geografinya. Negara Asia Tenggara itu sedang berusaha untuk menukar kira-kira 30 peratus daripada pengeluaran kenderaan tahunannya kepada EV menjelang 2030.

Memetik Jabatan Pengangkutan Darat Thailand, lebih 80 peratus kenderaan elektrik bateri (BEV) yang baru didaftarkan di negara itu pada tahun lepas adalah jenama China.

Naib presiden bagi Industri dan Pembangunan Perniagaan Persatuan EV Thailand, Suroj Sangsnit berkata bahawa terdapat kini semakin banyak jenama EV China di Thailand, dan ia menambah rakan kongsi rantaian bekalan serta meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Thailand.

“Pembuat EV China berperanan penting dalam menjadikan Thailand sebagai hab EV utama di ASEAN,” katanya.

Video

Berita Berkaitan