- Lain-lain
Tarikan Kedesaan di Luar Bandar China Jadi Trend Pelancong
Elemen seperti sungai kristal, hutan buluh nan subur dan ketenangan kehidupan kampung merupakan semua ramuan yang menjadikan Sanwan sebagai tempat percutian luar bandar yang menambat hati pelancong.
Bagi masyarakat China yang tinggal di kawasan bandar yang moden dan maju, persekitaran pastoral di Provinsi Jiangxi di timur China ini dianggap sebagai gaya yang hidup asing tetapi menarik, dan menyaksikan lebih banyak pakej tarikan pelancongan yang ditawarkan oleh penduduk kampung.
“Orang ramai menginginkan perubahan daripada pelancongan biasa, terutamanya (mengelak) dari tempat pemandangan sesak yang menjadi trend di media sosial,” kata Xiao Xing, yang mengendalikan inap desa milik keluarga di Sanwan.
Katanya, berbanding mengunjungi tempat mengambil foto yang tular, ramai pelawat kini datang bersama keluarga dan rakan-rakan hanya untuk bersiar-siar di kawasan luar bandar dan menikmati rentak kehidupan yang lebih perlahan.
Sejak sekian lama dibayangi oleh kawasan tumpuan pelancong yang ikonik, kawasan luar bandar China kini berada di puncak perhatian. Tatkala penduduk kota ingin ‘berehat sebentar’ daripada kehidupan hiruk-pikuk dan hutan bandar, kampung yang tenang seperti Sanwan telah menjadi magnet pelancongan, menawarkan keamanan, keaslian dan kadar yang lebih perlahan.
Semasa cuti panjang lima hari sempena Hari Pekerja lalu, pelancongan luar bandar, yang pernah menjadi segmen khusus, berkembang pesat di seluruh negara.
“Pasaran perjalanan percutian Hari Pekerja tahun ini berkembang pesat dalam pelbagai bidang, dengan kedua-dua penggunaan yang dinaik taraf dan trend pemacu permintaan rasional,” kata Fang Zeqian, penganalisis industri di Institut Penyelidikan Ctrip.
Jelasnya, peningkatan 'pelancongan terbalik' adalah ketara, menarik lebih ramai pelawat ke bandar-bandar kecil dan destinasi luar bandar serta mengurangkan tekanan ke atas kawasan tumpuan tradisional melalui pengalaman yang berbeza.
Mengambil Bandar Ji'an, ibu kota Perbandaran Sanwan sebagai contoh. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bandar itu telah membangunkan lebih daripada 200 ‘kampung indah’ dan lebih 30,000 model halaman luar bandar.
Kini, ia mempunyai lebih daripada 150 tapak pelancongan luar bandar gred A peringkat provinsi, sekali gus memperlihatkan momentum yang melonjak di sebalik pelancongan luar bandar.
Pelancong menonton pertunjukan seni rakyat di Kampung Zhuquan, Kaunti Yinan, Provinsi Shandong di timur China pada 4 Mei 2025. (Xinhua/Wang Yanbin)
Menurut jangkaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, pelancongan luar bandar di serata China telah menerima lebih 707 juta kunjungan pada suku pertama tahun ini, iaitu peningkatan 8.9 peratus dari tahun ke tahun. Jumlah hasil daripada pelancongan luar bandar telah mencapai RMB412 bilion (sekitar AS$57.21 bilion), iaitu kenaikan 5.6 peratus.
Sementara itu, tempat mencari ketenangan yang dahulunya diburu oleh pengembara domestik, kini turut menjadi tumpuan oleh pelawat antarabangsa. Dasar pengecualian visa China telah membuka pintu kepada lebih ramai pelancong untuk menerokai pengalaman asli di luar laluan pelancongan yang dilalui dengan baik di bandar-bandar peringkat pertama seperti Beijing dan Shanghai.
Memetik Pentadbiran Imigresen Kebangsaan, sejak dasar bebas visa transit 240 jam dilaksanakan, angka pelawat antarabangsa yang tiba di pintu masuk China telah meningkat, dengan peningkatan 40.2 peratus dalam ketibaan asing menjelang akhir Mac 2025.
Pelancong antarabangsa menikmati kehidupan yang tenang di tempat-tempat seperti Kampung Dongsheng, Perbandaran Liuyin di Daerah Beibei di Chongqing.
“Ini bukan seperti yang saya bayangkan di luar bandar China, (bukan sahaja) terdapat kemudahan dan keselesaan, tetapi juga hubungan yang asli dengan alam semula jadi,” kata pengunjung dari Vietnam, Nguyen Mai Anh ketika memetik strawberi dan turut menzahirkan kekaguman pada gabungan kemudahan moden dan daya tarikan semula jadi di kampung itu.
Kumpulan pelancong Vietnam ini menandakan satu lagi gelombang pelawat antarabangsa berikutan penerimaan pertama kumpulan pelancong asing di kampung itu pada Mac.
“Pada masa lalu, pelancong asing kebanyakannya melawat kawasan bandar di China. Kini, mereka lebih menginginkan untuk menerokai kawasan luar bandar dan mengalami tarikan uniknya,” kata Fu Xiaoyun, seorang pegawai dengan pihak berkuasa perbandaran.
Sejak awal tahun ini, Liuyin telah menjadi tuan rumah kepada lebih 80 kumpulan pelancongan domestik dan antarabangsa, menarik lebih 20,000 pengunjung, termasuk lebih 6,000 dari luar negara.
Empat ladang strawberi di kampung itu sahaja telah menyumbang kira-kira RMB200,000 kepada pendapatan penduduk tempatan, manakala semasa percutian panjang Hari Pekerja, inap desa telah laris ditempah sepenuhnya.
Bagi sesetengah pelancong antarabangsa, kawasan luar bandar China telah menjadi tempat percutian di mana mereka kembali berulang kali.
Jerry Grey, 67, warga Australia, merupakan salah seorang pelawat tetap ke Kampung Yakou, Bandar Zhongshan di Wilayah Guangdong, China Selatan.
“Ini sudah tentunya tempat yang indah, tiada kilang, tiada bangunan pencakar langit, hanya tanah asli,” katanya, yang melawat perkampungan selatan China sebanyak sekali atau dua kali setiap tahun.
Tambah Grey, dia gemar menjelajah China terutama kawasan luar bandar kerana mendapati bahawa dia boleh memperoleh pengalaman baharu setiap kali berkunjung di kampung.
Seorang pewaris pengendali kereta api kuda tempatan (kanan) mengucapkan selamat tinggal kepada pelancong asing di Kampung Sideng di Pekan Shaxi, Daerah Jianchuan, Provinsi Yunnan barat daya China, 19 April 2025. (Xinhua/Hu Chao)
Pelancongan luar bandar China mendapat pujian antarabangsa. Pada November 2024, Pertubuhan Pelancongan Sedunia PBB mengiktiraf tujuh kampung China sebagai Kampung Pelancongan Terbaik dalam pemilihan 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kampung Cina mendapat penghormatan kepada 15.
Kampung-kampung ini, tersebar di timur, tengah dan barat China, adalah contoh dalam kepelbagaian geografi, budaya, dan pembangunan mereka, mempamerkan kemajuan mengagumkan China dalam pembangunan pelancongan luar bandar.
Ledakan pelancongan luar bandar yang melanda seluruh China adalah di sebalik strategi penggiatan semula luar bandar yang menyeluruh, yang memberi nafas baharu kepada perkampungan yang dahulunya tidak berseri dan telah mengubahnya menjadi destinasi yang meriah.
“Kawasan luar bandar kini menawarkan bukan sahaja pemandangan yang indah tetapi juga infrastruktur yang baik, sekali gus menjadikan tempat makan, penginapan dan hiburan menjadi mudah,” kata Ma Pin, pelancong dari Fujian yang melanjutkan perjalanannya di Sanwan untuk pengalaman yang lebih santai dan mesra harga.
Menurut Xiao, peluang untuk penduduk tempatan juga berkembang seiring dengan pelancongan. Penduduk kampung mencari peranan baharu sebagai pemilik rumah tumpangan, pemilik kedai dan pemandu pelancong semasa ledakan itu, yang memberikan masyarakat luar bandar perubahan wajah dan nafas baharu dalam kehidupan.
Namun, perubahan ini tidak dapat jelas dilihat di mana-mana selain di Kampung Guizhu di Guangdong. Kampung itu pernah menjadi kawasan terpencil yang dilanda kemiskinan dalam senarai provinsi. Hanya tiga tahun yang lalu, lalu lintas berjalan kaki pada siang hari jarang berlaku.
“Anda boleh berjalan selama sejam dan tidak (akan dapat) melihat seorang pun," kata ketua Parti kampung Li Xiaolong.
Ia yang dahulunya terbatas oleh infrastruktur yang runtuh dan kemudahan yang sedikit itu telah mengalami perubahan wajah yang dramatik susulan terdapat pelaburan lebih daripada RMB10 juta melalui dana pembangunan luar bandar.
Jalan berturap kini melalui tebing sungai yang dihidupkan semula di mana platform yang indah menawarkan pemandangan panoramik serta kemudahan awam seperti plaza kebudayaan dan jalan hijau. Kini, ia telah menjadi sensasi media sosial, menarik ribuan pelawat saban minggu.
Pelancong menikmati pemandangan musim bunga di Kampung Zhonghua, Daerah Beibei, Chongqing barat daya China, 19 Mac 2025. (Foto oleh Qin Tingfu/Xinhua)
Rumah ladang yang pernah ditinggalkan telah dilahirkan semula sebagai inap desa, kafe dan pub desa. Dengan kemudahan baharu yang menarik minat pelancong yang mantap, pendapatan kolektif kampung itu melonjak daripada hanya RMB174,700 pada 2021 kepada RMB853,800 pada 2024, iaitu satu lonjakan menakjubkan yang menunjukkan kesan ekonomi sebenar daripada pemacuan pemulihan luar bandar China.
Ketua jabatan pengurusan pelancongan di Universiti Pengajian Antarabangsa Jilin, Liu Li percaya bahawa usaha kerajaan untuk menambah baik infrastruktur luar bandar telah meningkatkan daya tarikan pelancongan luar bandar dengan ketara.
Katanya, anggota pengurusan pelancongan profesional dilihat semakin menyertai sektor ini, dengan menggunakan kepakaran dan pemikiran inovatif mereka untuk membangunkan pelbagai produk dan pengalaman pelancongan, meningkatkan kualiti dan standard perkhidmatan pelancongan luar bandar.
Memandang ke hadapan, pakar percaya bahawa pelancongan luar bandar di China bersedia untuk pertumbuhan yang berterusan.
Lyu Jun, ahli jawatankuasa pakar kebangsaan pembinaan sains pelancongan, menyatakan bahawa sektor itu memasuki fasa pembangunan berkualiti tinggi, didorong oleh dasar, kuasa pasaran dan pengaruh budaya.
- China Tambah Baik Dasar Bayaran Balik Cukai Perlepasan
- China Optimumkan Dasar Rebat Cukai untuk Pengembara Asing
- Cuti Panjang Hari Buruh Bakal Saksi Ledakan Pelancongan
- Pasaran Hotel Rangkaian China Catat Pertumbuhan Stabil Pada 2024
- Pemulangan Cukai Segera Lebarkan Sayap ‘China Travel’
- Kafe Bergerak Jadi Trend di Kawasan Luar Bandar China
- Evolusi Lapangan Terbang, Daripada Tempat Transit, Kini Jadi Destinasi Pelancong
- Pelancongan Teh Jadi Tumpuan di Kaunti Autonomi Dong Sanjiang
- Jumlah Pelancong Asing ke Heng Dian Naik 1,000%
- Pelancongan di Bandar Peringkat Rendah Semakin Popular di China