Duta Besar Mahu Perluas Festival Gastronomi Malaysia ke Luar Beijing

Oleh: Ahmad Syukri Azmi

Foto Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad semasa sidang media selepas program Festival Gastronomi Malaysia 2025 di Beijing, ibu negara China pada 11 Jun 2025. (People’s Daily Online/Wang Jing)

BEIJING, 12 Jun – Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, menyatakan hasrat untuk memperluaskan program Festival Gastronomi Malaysia ke luar Beijing pada tahun hadapan, susulan kejayaan penganjuran edisi pertama pada 2024 dan edisi kedua yang berlangsung di sini pada Rabu.

Mengulas pertanyaan wartawan People’s Daily Online dalam sidang media berkenaan, beliau menjelaskan bahawa China merupakan sebuah negara yang besar dan wujud keperluan untuk mengembangkan program itu ke bandar-bandar lain.

Norman turut menyatakan bahawa sebahagian besar hubungan ekonomi Malaysia–China tertumpu di kawasan selatan China seperti Fujian dan Guangdong, justeru memberikan asas yang kukuh untuk mempelbagaikan lagi pelaksanaan program ini.

Foto Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad menyampaikan ucapan perasmian program Festival Gastronomi Malaysia 2025 di Beijing, ibu negara China pada 11 Jun 2025. (People’s Daily Online/Wang Jing)

“Perdagangan antara Malaysia dan China sebenarnya lebih besar daripada apa yang dapat kita lihat. Sebahagian besar perdagangan itu melibatkan negara ketiga seperti Singapura dan Thailand.

“Oleh itu, kami mahu memperkenalkan Malaysia secara terus kepada pembeli di provinsi lain, sekali gus membolehkan kami membina hubungan logistik yang lebih langsung,” katanya lagi.

Difahamkan, lebih 300 tetamu hadir ke festival berkenaan, termasuk Duta Besar negara-negara asing di China serta wakil kerajaan China, bagi menikmati lebih 20 jenis juadah dari pelbagai negeri di Malaysia, iaitu skala penganjuran yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.

Foto Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) di China, Hussain Ibrahim Mohamed Ibrahim Alhammadi sedang cuba membuat ‘teh tarik’, minuman terkemuka Malaysia semasa Festival Gastronomi Malaysia 2025 di Beijing, pada 11 Jun 2025. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Duta Besar Brunei ke China, Pehin Dato Rahmani Basir (kanan) dan Setiausaha Agung Forum Boao untuk Asia, Zhang Jun sedang menyaksikan demonstrasi masakan Malaysia oleh cef undangan dari Malaysia. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Duta Besar Brunei ke China, Pehin Dato Rahmani Basir (kanan) dan Setiausaha Agung Forum Boao untuk Asia, Zhang Jun (kiri) sedang menyaksikan demonstrasi masakan Malaysia oleh cef undangan dari Malaysia. (People’s Daily Online/Wang Jing)

“Kita mahu menunjukkan bahawa walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil, setiap negerinya memiliki rasa dan tradisi masakan yang berbeza.

“Justeru, budaya makanan Malaysia mencerminkan keunikan masyarakatnya iaitu Melayu, Cina, India, serta komuniti asli, yang bersama-sama membentuk identiti gastronomi yang tersendiri dan turut mendapat pengiktirafan dunia,” ujar Norman.

Juadah Laksa Nyonya, hidangan gabungan warisan masakan Melayu dan Cina, turut disajikan pada Festival Gastronomi Malaysia 2025 di Beijing, pada 11 Jun 2025. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Juadah Laksa Nyonya, hidangan gabungan warisan masakan Melayu dan Cina, turut disajikan pada Festival Gastronomi Malaysia 2025 di Beijing, pada 11 Jun 2025. (People’s Daily Online/Wang Jing)

Tambah beliau, pihak Kedutaan juga bersetuju untuk menjadikan festival itu sebagai salah satu program utama dalam usaha mendekati komuniti antarabangsa dan tempatan di China untuk menerokai budaya Malaysia melalui diplomasi kulinari, selain sebagai platform bagi pengenalan awal kepada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Memperincikan lanjut mengenai kempen pelancongan tersebut, Aaron Gan Chai Heng, Pemangku Pengarah Pelancongan Malaysia di Beijing, berkata pihaknya menyasarkan segmen keluarga di pasaran China, khususnya selepas melihat permintaan daripada pelajar tempatan di China yang ingin melancong bersama ibu bapa ke luar negara termasuk Malaysia bagi mempelajari perbezaan budaya dan sejarah.

Video

Berita Berkaitan