- Lain-lain
China Perluaskan Usaha Untuk Pacu Kerjasama E-Dagang Global
![]() |
Komoditi yang diimport sedang dikendalikan di gudang terikat di Jinhua, Provinsi Zhejiang, timur China. (People’s Daily Online/Yang Meiqing) |
Pelbagai produk – daripada buah-buahan kering Asia Tenggara dan kopi Afrika kepada teh hitam Eropah – kini telah membanjiri kedai-kedai di China, tampil lebih segar dengan harga yang lebih mampu milik, dipacu oleh pengembangan e-dagang rentas sempadan.
Dengan sektor e-dagang rentas sempadan China yang semakin bertumbuh, perkongsian globalnya turut sama diperkukuh. China telah menjalinkan kolaborasi E-dagang Jalan Sutera dengan 35 negara.
Domain-domain e-dagang di serata kerjasama rentas sempadan kini semakin mendapat momentum, dengan para perusahaan peringkat global semakin melihat pasaran China sebagai penting dalam pertumbuhan sektoral.
Apakah ciri-ciri unik dan trend baharu muncul bagi platform e-dagang utama di China? Bagaimanakah kecerdasan buatan (AI) mampu memperkuat perusahaan untuk ke peringkat global?
Itu adalah topik yang menjadi perbualan ketika berlangsungnya Syarahan Dalam Talian E-dagang Jalan Sutera untuk ASEAN pada baru-baru ini. Ketika berlangsungnya syarahan tersebut, para peserta mendengar dengan tekun sambil menyalin nota, sementara pada skrin besar pula terdapat terjemahan masa nyata dalam bahasa Cina, Inggeris, Vietnam dan Thailand.
Platform dan syarikat China juga semakin pesat memperluas operasi masing-masing hingga ke taraf antarabangsa. Pendahulu rentas sempadan seperti AliExpress, TikTok Shop dan Temu telah mendapat pengiktirafan global, sekali menarik gelombang ‘peminat e-dagang’ untuk mencontohi model kejayaan China.
Husna, seorang mahasiswi Universiti Putra Malaysia, merupakan salah seorang yang datang ke China untuk mempelajari e-dagang.
Baru-baru ini, pemudi tersebut menyertai program latihan vokasional bahasa Cina dan e-dagang rentas sempadan di Institut Vokasional Perniagaan dan Ekonomi Guangxi di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China.
Difahamkan, program tersebut menawarkan kursus berkaitan operasi media baharu, analisis data perniagaan, dan pengurusan kedai rentas sempadan, sambil menyediakan pengalaman secara amali dalam mengendalikan sesi penstriman langsung di platform TikTok. Dalam tempoh yang pendek sahaja, Husna telah berjaya menjual permainan berjenama terkenal di TikTok.
Sebagai salah satu inisiatif utama di bawah rangka kerja Jalur dan Laluan, E-dagang Jalan Sutera telah menjadi platform baharu untuk kerjasama ekonomi pelbagai hala dan dua hala. Antara pelbagai program istimewanya, siri Syarahan Dalam Talian E-dagang Jalan Sutera telah menganjurkan 108 sesi sejak pelancarannya pada 2020, yang memanfaatkan lebih daripada 80 negara. Sesi bertema yang disesuaikan untuk Eropah Timur dan Tengah, Amerika Latin, Afrika dan ASEAN telah membantu untuk memperbesar kumpulan bakat e-dagang menerusi kedua-dua sesi dalam dan luar talian.
Bagi ramai pengeksport tradisional, menyertai platform e-dagang rentas sempadan China dan mendakapi transformasi digital disifatkan sebagai langkah yang berdaya maju untuk mengakses pasaran global.
“Perniagaan secara terus dengan pelanggan UK atau Belgium langsung tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini,” ujar Eugene, seorang usahawan dari Uzbekistan.
Syarikat Eugene yang pada awalnya meragui platform digital akhirnya menyertai platform e-dagang bisnes-ke-bisnes global, Alibaba.com pada tahun lalu. Pasukannya dengan segera melancarkan penyenaraian produk pelbagai bahasa dalam bahasa Inggeris, Rusia dan Arab pada platform tersebut.
Dalam tempoh bulan yang pertama sahaja, dia menerima pesanan percubaan AS$1,200 daripada pelanggan dari Britain. Tidak lama selepas itu, satu rantai pasar raya Belgium membuat pesanan bernilai AS$9,000, yang kemudiannya disusuli dengan permintaan ulangan, dengan amaun yang berganda.
“Kami kini bersedia untuk menerima pesanan daripada pelanggan di United Kingdom, Hungary, Rusia dan negara-negara lain, dengan pesanan oleh Eropah meliputi 65 peratus daripada keseluruhan jualan,” ujar Eugene.
Sektor e-dagang China yang sangat sinonim dengan inovasinya, model perniagaan yang pelbagai dan saiz pasaran yang sangat besar – sedang memainkan peranan yang semakin aktif dalam mempromosi kerjasama global.
Setakat ini, China telah mewujudkan perkongsian E-dagang Jalan Sutera China dengan 35 negara, membangunkan pelbagai jenama kerjasama, mewujudkan 120 pavilion dalam talian dan fizikal, membina 65 pangkalan pemerolehan di 19 negara, selain mengadakan lebih daripada 100 sesi latihan e-dagang menerusi Syarahan Dalam Talian E-Dagang Jalan Sutera, sekali gus memajukan kerjasama e-dagang dengan lebih signifikan.
Pada tahun ini, Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) telah melancarkan satu kempen e-dagang, yang menyaksikan 18 kawasan bertaraf provinsi dan 8 platform e-dagang utama telah mengemukakan 40 inisiatif kerjasama. Negara-negara rakan kongsi turut diundang untuk memilih ‘menu’ projek yang tersuai dengan keperluan masing-masing, sekali gus mewujudkan kerjasama yang cekap dan bersasar.
Hasilnya sangat signifikan. Syarahan Dalam Talian E-dagang Jalan Sutera untuk ASEAN yang diadakan di Guangxi menampilkan sesi latihan amali dan latihan fizikal luar negara yang pertama, sekali gus menerima pujian daripada lebih seribu peserta ASEAN.
Festival Beli-belah Dalam Talian Produk Berkualiti Afrika telah membantu untuk melahirkan lebih daripada produk laris. Qingdao, Guangxi dan Provinsi Hunan juga telah membantu negara-negara rakan kongsi E-dagang Jalan Sutera dari Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), ASEAN, dan Afrika untuk mendirikan pavilion kebangsaan dalam talian dan fizikal yang baharu.
“Inti patinya terletak di dalam penggunaan e-dagang sebagai alat yang memfokuskan terhadap keterangkuman dan saling untung, dan matlamat kami adalah untuk memudahkan rakan kongsi global,” ujar He Yongqian, jurucakap MOFCOM, sambil memberitahu bahawa pihaknya ingin terus mengembangkan import berkualiti tinggi, produk istimewa dan berganding bahu untuk membina pasaran e-dagang global yang dikongsi bersama.
![]() |
Foto menunjukkan reruai TikTok Shop semasa berlangsungnya Ekspo E-dagang Rentas Sempadan Lembangan Sungai Kuning 2025. (People’s Daily Online/Zhang Jingang) |
- China Percepat Kerjasama E-Dagang Global
- Sektor E-dagang China Kekal Mantap
- Sektor E-dagang Rentas Sempadan China Catat Pertumbuhan Kukuh
- Perdagangan Global Bersepadu Dorong Pembangunan E-dagang Rentas Sempadan di Zhengzhou
- China Terus Memacu Pengimportan Produk Berkualiti
- E-dagang Buka Pasaran Lebih Luas Buat Produk Istimewa Xizang
- Jualan Runcit Dalam Talian China Meningkat 7.2 Peratus pada 2024
- Golongan Muda Terajui Trend Penggunaan Digital
- Diplomat Laos: E-Dagang Rentas Sempadan Permudah Pertukaran Laos-China
- Jumlah Terminal IoT China Dijangka Lebihi 3 Bilion