- Lain-lain
Kopi Yunnan Kini Mengukir Nama Dalam Peta Kopi Global
Seorang pekerja menunjukkan biji kopi di sebuah ladang penanaman kopi di Pu’er, Provinsi Yunnan, di barat daya China. (People’s Daily Online/Liang Zhiqiang)
Setiap cangkir kopi mewakili inti pati tempat kelahirannya. Misalnya, Brazil terkenal dengan rasa tebalnya yang kaya; Jamaica yang penuh tenaga; dan Ethiopia yang penuh segar.
Kini, Yunnan yang terletak di barat daya China telah menambah satu lagi babak baharu dalam naratif global tersebut. Ia menawarkan perisa China yang unik, dan kini semakin mendapat tumpuan di pentas global.
Evolusi tersebut dapat dilihat semasa berlangsungnya Pertandingan Kopi Hijau Yunnan Permata yang Pertama 2025 atau (Program Perintis CoE Yunnan) di Baoshan, Provinsi Yunnan. Ia merupakan penanda aras baharu apabila buat pertama kalinya program berkaitan CoE telah diadakan di Yunnan.
Daripada 144 penyertaan, 19 sampel kopi telah mendapat markah lebih 87 mata, sekali gus melayakkan mereka sebagai berkelas dunia setelah melalui permarkahan yang ketat oleh juri antarabangsa.
Biji kopi dengan markah tertinggi, yang dihasilkan di Lincang, Provinsi Yunnan, telah menerima bidaan sebanyak RMB13,000 (AS$1,813.65) sekilogram, secara tidak langsung memecahkan rekod dan menetapkan penanda aras bagi jualan kopi China.
Dimulakan di Brazil pada 1999, CoE telah membentuk semula industri kopi dengan menggabungkan pertandingan dengan mekanisme lelongan yang terbuka. Maklumat mengenai varieti biji kopi, kaedah pemprosesan, penentuan harga dan pengeluar boleh dilihat secara terbuka.
Seorang wanita menjual biji kopi menerusi penstriman langsung di daerah Longyang, Baoshan, Provinsi Yunnan, di barat daya China. (People’s Daily Online/Liang Zhiqiang)
Semasa pertandingan berlangsung, setiap kopi yang dipilih secara berhati-hati telah melalui penilaian yang rapi iaitu pemanggangan, pengisaran, penimbangan dan pembruan di tapak, diikuti dengan beberapa ujian pencawanan.
Sebarisan juri yang terdiri lebih daripada 12 orang telah melakukan penilaian pada setiap sampel dari segi kebersihan, kemanisan, keasidan, rasa mulut dan kerumitan perisa. Petani dari Brazil, Oliveira yang mendapat markah cemerlang sebanyak 90 mata, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
Dalam tempoh dua dekad yang lalu, pertandingan CoE telah dianjurkan di lebih daripada 10 negara, menyerlahkan pengeluar kopi baru muncul di Honduras dan Costa Rica. Ia secara tidak langsung mengembangkan peta global tentang kawasan pengeluar kopi yang bernilai, dan meningkatkan pendapatan petani serta piawaian kualiti.
Untuk menghasilkan kopi yang berkualiti tinggi, ia memerlukan gabungan ideal antara keadaan semula jadi serta pemupukan yang cermat dan teliti. Kawasan kopi terbaik secara kebiasaannya adalah di pergunungan pada ketinggian lebih 1,000 meter, dengan perbezaan suhu antara siang dan malam yang ketara, selain dengan jelas membezakan musim kering dan basah.
Terletak di jalur keemasan global untuk pengeluaran kopi, Yunnan memiliki sejarah penanaman kopi selama lebih seabad dan kini menghasilkan 98 peratus kopi di China daripada output keseluruhan. Dengan kemajuan terkini dalam penambahbaikan varieti, amalan pertanian yang diselaraskan, dan teknologi pemprosesan, ia sekali gus telah membawa Yunnan ke hadapan.
Sebagai contoh, perkadaran biji kopi gred istimewa meningkat daripada 40 peratus pada 2022 kepada 70 peratus pada 2024, manakala kadar pemprosesan mendalam melonjak daripada 60 peratus kepada 85 peratus. Kesemua ciri-ciri itu telah membantu kopi Yunnan menjadi contoh kualiti yang premium.
Pelawat mencuba kopi di Pesta Antarabangsa untuk Industri Kopi Kunshan 2025 di Provinsi Jiangsu, timur China pada 16 Mei 2025. (People’s Dialy Online/Dongfang Xu)
Dianggap sebagai komoditi global, kopi mempamerkan inti pati penyatuan peradaban dari serata benua. Di China, ia menjadi semakin popular pada tahun-tahun kebelakangan ini. Shanghai telah mengatasi New York dan London untuk menjadi bandar paling banyak kedai kopi di dunia.
Dalam kalangan generasi muda, kopi ibarat telah menjadi ritual sosial dan simbol gaya hidup.
Adaptasi budaya ini mencerminkan etos yang lebih luas dalam tamadun China, iaitu prinsip keharmonian tanpa keseragaman, keterbukaan terhadap pengaruh global, terjalin dengan lancar ke dalam konteks China yang tersendiri.
Melihat ke hadapan, Yunnan bersedia untuk mengukuhkan lagi peranannya dalam industri kopi global dengan mempertingkatkan teknik penanaman, mengembangkan pasaran, membina jenama, dan memupuk inovasi merentas rantaian bekalan, mewujudkan kitaran murni di mana kualiti melahirkan nilai, dan nilai memacu keuntungan.
Pastinya, dengan usaha yang berterusan, kopi Yunnan akan membentuk lagi persepsi global terhadap budaya kopi China.
- Dulu "Makanan Asing", Kini Jadi "Produk Istimewa" China
- Kopi Yunnan Tarik Perhatian Global Menerusi Penaiktarafan Kualiti, Inovasi
- Kafe Bergerak Jadi Trend di Kawasan Luar Bandar China
- Dari Yunnan ke Dunia: Bagaimana Kopi China Terus ke Pentas Global
- Biji Kopi Tempatan Semakin Popular di China
- Yunnan Masuk Musim Tuai Kopi 74 Kilometer Persegi
- Kedai Kopi Kampung Dorong Pembangunan Luar Bandar di Hainan
- Permintaan Kopi Mendadak, Yunnan Buka Jurusan Sarjana Muda Sains Kopi di Universiti
- Trend Baharu Kedai Kopi, Teh, Pacu Penggunaan Katering China
- Budaya Minum Kopi China Tersendiri Tengah Terbentuk