Pelaburan China Perkuat Rantai Bekalan EV Indonesia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 04 Julai 2025

Nota: Artikel terbitan Xinhua ini diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online

Permulaan projek mega bateri kenderaan elektrik (EV) baharu di Indonesia telah menjadi satu peristiwa penting, khususnya dalam rantai bekalan EV negara itu yang pesat bertumbuh, didorong oleh pelaburan China.

Usahasama

Pecah tanah projek tersebut yang dilakukan pada Ahad lalu itu telah disaksikan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Karawang, Jawa Barat. Ia merupakan usahasama dengan China yang bernilai hampir AS$6 bilion, dan meliputi rantai bekalan lengkap, daripada perlombongan nikel dan pemprosesan, kepada pengeluaran, pembuatan dan penggunaan semula bahan mentah bateri.

Ketika ini, Indonesia merupakan pengeluar nikel terbesar di dunia dan mempunyai rizab logam terbesar, iaitu komponen utama dalam bateri EV.

Projek tersebut dilaksanakan secara bersama-sama oleh pelombong milik negara Indonesia, PT Aneka Tambang Tbk, syarikat pemegangan pelaburan milik negara, PT Indonesia Battery Corporation dan Syarikat Ningbo Contemporaru Brunp Lygend dari China.

“Permulaan projek ini membuktikan tentang kesungguhan para pemimpin kami dalam bekerjasama dengan rakan kongsi kami dan rakan dari China. Kami boleh bekerja bersama-sama dalam satu program yang boleh dikatakan gergasi, iatu satu permulaan yang luar biasa,” ujar Prabowo ketika menyampaikan ucapannya pada acara itu.

Menurut Bahlil Lahadalia, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, projek tersebut diunjurkan untuk mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan, dan menyumbang hampir AS$42 bilion secara tahunan kepada KDNK negara.

Beliau berkata, kapasiti loji tersebut mampu membantu dalam pengeluaran bateri untuk 300,000 kenderaan, yang berpotensi mengurangkan import bahan api sehingga sekitar 300,000 kiloliter setiap tahun.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (tengah) menghadiri upacara pecah tanah projek mega bateri EV utama di Karawang, Jawa Barat, Indonesia, pada 29 Jun 2025. (Xinhua/Zulkarnain)

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (tengah) menghadiri upacara pecah tanah projek mega bateri EV utama di Karawang, Jawa Barat, Indonesia, pada 29 Jun 2025. (Xinhua/Zulkarnain)

Peralihan Hijau

Kerajaan Indonesia telah secara aktif mempromosi industri nikel untuk meningkatkan kerancakan di peringkat kebangsaan, dan membina satu ekosistem buat industri bateri EV. Cita-cita tersebut juga sejajar dengan komitmen jangka panjang Indonesia untuk mencapai pelepasan sifat bersih menjelang 2060.

Fahmy Radhi, pakar ekonomi tenaga dari Universiti Mada Gadjah berkata transformasi tersebut lebih daripada peralihan tenaga. Ia membuka pintu kepada teknologi bersih, menggalakkan pembangunan infrastruktur hijau, dan menyediakan laluan strategik agar Indonesia menjadi negara industri tenaga bersih.

Beliau turut menekankan tentang kepentingan dalam memastikan pelaburan tersebut tidak terhenti di peringkat peleburan, dengan menyatakan bahawa proses itu perlu dilaksanakan sehingga ke peringkat pengeluaran produk akhir seperti bateri EV dan EV itu sendiri.

Ketika ini, Indonesia menempatkan sembilan pengeluar EV, tujuh fasiliti pengeluar bas elektrik, dan 63 kilang EV bertayar dua dan tiga.

Rakan Penting

Kukuh Kamara, setiausaha agung Persatuan Industri Automotif Indonesia menekankan tentang peranan penting perkongsian dengan negara-negara yang berpengalaman dalam pembangunan EV, khususnya China.

“Dari proses perlombongan kepada bateri yang bersedia untuk digunakan, di situ terdapatnya proses yang besar,” ujarnya.

Kumara berkata, pengembangan industri yang berkait dengan rantai bekalan EV bukan sahaja memperkukuh keupayaan hiliran Indonesia, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan mempromosi pemindahan pengetahuan.

“China terkenal dengan kekuatannya dalam industri komponen EV. Kami menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk belajar daripada rakan-rakan China,” kata beliau, sambil memberitahu matlamat utama mereka adalah untuk membangunkan jenama auto Indonesia sendiri, kilang tempatan dan keupayaan teknikal yang asli.

Jelas Kumara, firma China telah memainkan peranan penting dalam membawa masuk teknologi, modal, dan akses pasaran ke Indonesia, khususnya dalam penyepaduan rantai bekalan dan bateri EV.

Sebagai pembuat kenderaan China pertama yang melabur dan menubuhkan sebuah kilang di Indonesia, SAIC-GM-Wuling (SGMW) telah membantu 17 perusahaan China dalam rantai bekalan auto untuk menerokai ke dalam ekonomi terbesar ASEAN, membangunkan lebih daripada 100 pembekal tempatan dalam tempoh tujuh tahun yang lalu.

Orang ramai mengambil foto kereta EV Wuling Air di kilang pengeluaran Wuling di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada 8 Ogos 2022. (Xinhua/Xu Qin)

Orang ramai mengambil foto kereta EV Wuling Air di kilang pengeluaran Wuling di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada 8 Ogos 2022. (Xinhua/Xu Qin)

Pembuat kereta China tersebut telah menyumbang dalam memupuk sektor EV Indonesia yang sendiri. Pada November lalu, Institut Ketukangan Moden Kenderaan Tenaga Baharu China-Indonesia, iaitu sebuah pangkalan latihan yang dibangunkan secara bersama oleh Kolej Vokasional Bandar Liuzhou China, Institut Latihan Industri Anand Indonesia dan subsidiari SGMW Indonesia telah dirasmikan di Indonesia.

“Apa yang penting dalam pelaburan China adalah kesanggupan yang tulus untuk melaksanakan pemindahan teknologi dan program pembangunan manusia menerusi penyelidikan bersama, pertukaran pelatih dan pakar, dan latihan vokasional,” kata Christine Susanna Tjhin, pemilik bersama dan pengarah komunikasi strategik dan penyelidikan di Institut Gentala, sebuah firma perundingan bebas.

Video

Berita Berkaitan