- Lain-lain
Industri Pelancongan yang Berkembang Maju di Xizang Manfaat Penduduk Tempatan
Foto sudut udara yang diambil menggunakan dron pada 19 Julai 2025 ini memperlihatkan pemandangan Gunung Sapukonglagabo di kaunti Biru, bandar Nagqu, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China. Gunung Sapukonglagabo dengan ketinggian puncak utamanya mencapai 7,000 meter di atas paras laut, dikatakan menjadi kegemaran bagi pelancong dengan pemandangan bersalji yang mengagumkan, glasier yang menakjubkan dan kepelbagaian hidupan liar. (Xinhua/Jigme Dorje)
Pada tahun-tahun mutakhir ini, pelancongan di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China telah mengalami ledakan susulan daripada dasar-dasar sokongan dan usaha penjenamaan yang strategik.
Pada masa sama, industri itu juga semakin menarik penyertaan dalam kalangan petani dan penggembala tempatan. Secara tidak langsung, ia membolehkan golongan tersebut untuk mendapatkan pekerjaan yang dekat dengan rumah dan meningkatkan pendapatan, sambil menikmati manfaat pembangunan berkualiti tinggi.
Dengan infrastruktur pengangkutan yang bertambah baik secara berterusan, lebih ramai pengunjung kini menuju ke kawasan pemandangan Sapu di kaunti Biru, bandar Nagqu, untuk menghayati keunikan gunung yang dilitupi salju dan tasik glasier.
“Pada bulan Julai lalu, kawasan pemandangan Sapu secara rasminya diterima sebagai tarikan pelancong bertaraf 4A peringkat kebangsaan, iaitu taraf kedua tertinggi dalam sistem penilaian pelancongan negara. Di sebalik kejayaan tersebut adalah penaiktarafan komprehensif dalam fasiliti dan perkhidmatan pelancongan,” ujar Tenzin Dargye, seorang pemandu pelancong di kawasan pemandangan itu.
Pada September lalu, terowong Shargang La telah disempurnakan dan dibuka kepada kegunaan awam, sekali gus mengubah apa yang dahulunya digelar sebagai ‘pintasan berbahaya pertama ke Xizang’, kepada jalan raya utama, sekali gus menandakan pembukaan penuh lebuh raya kebangsaan G349.
“Jumlah kenderaan dan pelancong telah meningkat lebih dua kali ganda,” kata Tashi, seorang penduduk di kaunti Banbar, bandar Qamdo.
Satu siri projek pengangkutan utama tempatan telah diluluskan dan dilancarkan, dengan jaringan jalan yang lebih luas pada pelbagai peringkat, seterusnya memberi manfaat dan kemudahan ketara buat penduduk kampung setempat.
“Daging yak dan kulat beluncas, iaitu ramuan penting dalam perubatan tradisional Cina, kini boleh dihantar keluar (kampung) dengan cepat, dan dijual pada harga yang baik, membolehkan kami mendapatkan pendapatan lebih lumayan,” ujar seorang penduduk tempatan.
Infrastruktur yang ditambah baik juga telah memudahkan penduduk kampung untuk mengakses perkhidmatan perubatan dan pendidikan di pekan kaunti itu.
Kampung Puyu 1 di pekan Banbar yang terletak lebih 50 kilometer daripada pusat pekan Banbar, mempunyai tarikan semula jadi nan unik termasuk gua ais yang besar. Pada awal 2024, kerajaan kaunti Banbar mendermakan 50 buah motosikal luar jalan raya kepada kampung itu, menyokokng pembangunan program pelancongan yang menggabungkan penerokaan ais dan salji menggunakan motosikal itu, melibatkan kesemua 149 isi rumah kampung.
“Dengan adanya motosikal ini, pendapatan tahunan saya telah melangkaui RMB10,000 (sekitar AS$1,393.36),” ujar Phuntsok, seorang lagi penduduk kampung.
Di bawah pelbagai insentif dasar, kaunti Bandar telah menerima lebih 300,000 kunjungan pelancong pada tahun lalu, seterusnya menjana hasil pelancongan sebanyak RMB34.54 juta, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 225.84 peratus.
Pada penghujung 2023, kaunti Biru secara rasminya ditakrifkan sebagai zon demonstrasi pelancongan holistik peringkat wilayah autonomi. Pada Julai lalu, 14 tarikan pelancong, termasuk kawasan pemandangan Sapu, telah diiktiraf sebagai kawasan pemandangan 4A kebangsaan.
Bagi mempromosi penggunaan pelancongan dan budaya, Xizang telah menggalakkan penyepaduan persembahan dan warisan budaya tidak ketara ke kawasan pemandangan.
Wilayah autonomi tersebut turut melaksanakan sebuah projek untuk memupuk sektor pelancongan dan budaya yang tersendiri, bagi mempromosi penyepaduan mendalam antara pelancongan dan sektor lain seperti sukan, pertanian, pengangkutan dan perdagangan, dengan mewujudkan kawasan pemandangan yang premium, koridor pelancongan kebudayaan, dan kaunti-kaunti berfokuskan pelancongan.
“Untuk menjamin pemandangan indah yang berkekalan, kita perlu melindungi persekitaran ekologi kawasan pemandangan,” kongsi Jamyang, salah seorang anggota jawatankuasa tetap dan ketua jabatan publisiti jawatankuasa PKC kaunti Biru.
Untuk memperluas penyertaan perlindungan ekologi, kaunti tersebut menubuhkan 36 tempat di kawasan pemandangan Sapu untuk perlindungan ekologi perhutanan, pemuliharaan air dan penyelenggaraan lebuh raya, sekali gus mengatasi isu pengambilan kerja sambil menjaga alam sekitar.
Tenzin Dargye, penduduk asal kaunti Biru yang juga merupakan pelajar lulusan Kolej Teknikal Vokasional Xizang pada 2021, telah memilih untuk pulang ke kampung halaman dan berkhidmat sebagai pemandu pelancong.
“Menceritakan tentang kisah-kisah kampung halaman saya kepada lebih ramai orang memberikan saya satu kepuasan,” jelasnya.
Sejak 2017, jabatan pelancongan dan kebudayaan kaunti Biru telah menggalakkan penduduk tempatan untuk menjadikan rumah terbiar kepada hotel B&B, yang menyediakan tempat penginapan dan perkhidmatan hidangan makanan buat pelancong. Difahamkan, kaunti itu melaburkan sebanyak RMB2.26 juta dalam kerja-kerja menghiasi hotel B&B, peralatan oksigen dan bekalan penginapan.
Di kawasan pemandangan ‘tasik tiga warna’, hotel B&B yang pertama telah dibuka di kampung Puyu 1 pada penghujung 2022. Hari ini, terdapat tujuh hotel B&B yang beroperasi, dengan setiap isi rumah mendapat pendapatan tambahan sebanyak RMB50,000 hingga RMB100,000 setahun.
Di sebalik Banbar dan Biru, transformasi yang serupa turut pesat dilaksanakan di serata Xizang. Di kawasan pemandangan bandar Nyingchi, hotel-hotel B&B yang memelihara suasana kampung Tibet tradisional dilihat popular dalam kalangan pelancong, dan pendapatan per kapita tahunan penduduk tempatan turut melangkaui RMB20,000.
- Xizang Capai Kemajuan Besar Pembangunan Sosioekonomi dalam 60 Tahun Lalu
- Landskap Pergunungan Lhasa Terserlah Kehijauan
- Teknologi Buka Sempadan Baharu Buat Pasaran Pelancongan China
- Ledakan Industri B&B di Zhejiang Saksi Pendapatan Lebih RMB10 Bilion Pada 2024
- Tradisi Tenunan Apron Makmur di Xizang
- Xi Terima Kunjungan Ketua Agama Xizang
- Trend Percutian “Tak Menyakitkan” Ubah Landskap Pelancongan China
- Xinjiang Keluarkan Rancangan Pembangunan Industri Kebudayaan dan Pelancongan Baharu
- Hari Pelancongan China : Keajaiban Pemandangan yang Anda Tidak Boleh Terlepas
- Penduduk Merata China Nikmati Awal Musim Panas