AS Umum Tarif Tambahan 25 Peratus ke atas Produk India

(CRI)Khamis 07 Ogos 2025

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Rabu untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus terhadap produk India yang dieksport ke AS.

Tindakan itu dilakukan dengan alasan India "mengimport minyak dari Rusia secara langsung atau tidak langsung", sekaligus menyaksikan India berdepan kadar tarif keseluruhan mencecah 50 peratus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih pada hari yang sama, Trump menyatakan bahawa tindakan dan dasar kerajaan Rusia terus menjadi "ancaman luar biasa" kepada keselamatan dan dasar luar AS.

Sehubungan itu, tindakan mengenakan tarif tambahan ke atas India adalah "perlu dan sesuai", sekali gus bertujuan untuk menangani keadaan darurat negara yang tercetus disebabkan konflik Rusia-Ukraine.

Berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump pada 31 Julai lalu, AS akan mula mengenakan tarif 25 peratus ke atas produk India yang dieksport ke negara itu mulai 7 Ogos.

Dengan pengumuman tarif tambahan pada 6 Ogos ini, kadar tarif baharu bagi produk India yang dieksport ke AS kini meningkat kepada 50 peratus.

Video

Berita Berkaitan