Xizang Capai Kejayaan Ekonomi, Sosial yang Luar Biasa Dalam Lebih 60 Tahun

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 12 Ogos 2025

Pelancong menikmati pemandangan nan indah Pusingan Besar Guoguotang Sungai Zangbo Yarlung di kampung Dexing, kaunti Metok di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China. (Foto oleh Zhang Yuanming)

Pelancong menikmati pemandangan nan indah Pusingan Besar Guoguotang Sungai Zangbo Yarlung di kampung Dexing, kaunti Metok di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China. (Foto oleh Zhang Yuanming)

Tahun ini genap enam dekad tertubuhnya Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China. Wang Junzheng, setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) Xizang dan Gama Cedain selaku timbalannya merangkap pengerusi Kerajaan wilayah itu pada baru-baru ini dalam satu sidang media oleh Pejabat Maklumat Majlis Negara telah membentangkan pencapaian pembangunan sosial dan ekonomi luar biasa Xizang.

Pada 2024, KDNK wilayah itu mencapai RMB276.5 bilion (AS$38.52 bilion), iaitu 155 kali ganda berbanding 1965 dalam harga tetap.

Jelas Wang, sementara wilayah itu mengambil masa selama 50 tahun untuk mencapai RMB100 bilion yang pertama dalam KDNK, pencapaian RMB100 bilion yang kedua pula dicapai dalam hanya tempoh enam tahun.

Sejak 2021, usaha yang berterusan telah mengembangkan lagi ekonomi Xizang selain turut menambah baik kualiti dan kecekapan pertumbuhan. Industri moden seperti tenaga bersih, pelancongan kebudayaan dan industri ringan dataran dilihat telah menyediakan asas buat sistem industri moden.

Petunjuk ekonomi utama wilayah itu telah menduduki antara kadar pertumbuhan yang tertinggi di dalam negara buat beberapa tahun secara berturut-turut, dengan KDNK wilayah itu dijangka melangkaui RMB300 bilion tahun ini, sekali gus mencapai RMB100 bilion yang ketiganya.

Infrastruktur Xizang juga telah bertambah baik dengan signifikan. Menjelang penghujung 2024, jumlah panjang landasan kereta api dan jalan yang beroperasi masing-masing adalah 1,359 kilometer dan 124,900 kilometer, manakala laluan udara antarabangsa dan domestik pula mencapai 183. Pada masa sama, empat grid kuasa utama juga telah digunakan, dengan grid utama kini meliputi semua kaunti, daerah dan bandar di wilayah itu.

Tambah Wang, kesemua pembangunan itu secara signifikannya telah menyelesaikan halangan infrastruktur sejak sekian lama, sekali gus memberikan momentum penting buat pembangunan wilayah yang berkualiti tinggi.

Xizang mempunyai sejarah yang panjang dan budaya yang menakjubkan, di samping landskap semula jadi yang unik dan sumber budaya yang kaya.

Ia juga merupakan pusat yang penting terhadap perlindungan keunikan budaya negara China dan destinasi pelancongan global yang utama, mempunyai peranan memberangsangkan dalam pembangunan industri pelancongan budaya, seterusnya menyaksikan pertumbuhan rancak pada tahun-tahun mutakhir.

Gama pula berkongsi bahawa pada 2024, nilai output keseluruhan industri budaya Xizang meningkat sebanyak 23.8 peratus. Wilayah itu menerima 63.89 juta pengunjung antarabangsa dan domestik, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 15.8 peratus. Secara lebih spesifik, angka pelancong masuk pula mencanak naik sehingga 188.2 peratus. Pada separuh pertama tahun ini, Xizang mengalu-alukan lebih 32.18 juta pengunjung, yang mewakili kenaikan sebanyak 11.7 peratus berbanding tahun terdahulu.

Imej memperlihatkan petugas telekomunikasi sedang melaksanakan tugasnya di kampung Sangba, bandar Nyingchi di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 27 Mac 2025. (Foto oleh Lu Qihui)

Imej memperlihatkan petugas telekomunikasi sedang melaksanakan tugasnya di kampung Sangba, bandar Nyingchi di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 27 Mac 2025. (Foto oleh Lu Qihui)

Sementara itu, taraf kehidupan telah bertambah baik secara drastik. Pada 2024, pendapatan boleh guna per kapita penduduk bandar di Xizang telah mencapai RMB55,444, iaitu 121 kali ganda berbanding 1965. Pendapatan boleh guna per kapita penduduk luar bandar pula mencecah RMB21,578, iaitu 199 kali ganda berbanding 1965.

Xizang mencapai kemenangan komprehensif ke atas kemiskinan, dan berjaya menokhtahkan kemiskinan mutlak. Pendidikan telah menjadi keutamaan, dengan wilayah itu menerajui seluruh negara dalam menyediakan program pendidikan yang dibiayai awam selama 15 tahun, iaitu dari peringkat tadika sehingga sekolah menengah tinggi.

Satu sistem penjagaan kesihatan awam yang komprehensif menawarkan pemeriksaan kesihatan yang percuma kepada semua petani dan penternak, menyumbang kepada jangka hayat penduduk di situ sehingga 72.5 tahun. Pembandaran yang dipercepatkan telah mengubah penempatan kepada pekan moden.

Dalam tempoh 60 tahun sejak penubuhan wilayah autonomi itu, khususnya untuk tempoh lima tahun kebelakangan, Xizang telah secara aktif memajukan program dan projek berkaitan sara hidup yang pelbagai.

Menurut Gama lagi, masyarakat dari segenap lapisan kumpulan etnik telah menyaksikan perubahan transformatif dalam kehidupan harian mereka, seperti mengubah daripada membawa air di dalam baldi kepada menikmati air yang mengalir; daripada lampu minyak kepada lampu elektrik; daripada jalan kotor kepada jalan raya berturap; dan daripada yurt (khemah mudah alih) kepada perumahan moden.

Semasa tempoh Pelan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025), wilayah autonomi itu dan kerajaan pusat telah merancang untuk memperuntukkan RMB24.65 bilion untuk menyokong 28 kategori projek pembangunan sosial wilayah. Setakat ini, sebanyak RMB23.678 bilion telah dilaburkan dalam projek tersebut.

Satu inisiatif sara hidup telah dilaksanakan secara berkesan, termasuk bekalan oksigen dan pemanasan yang dikawal secara berpusat di kawasan beraltitud tinggi, penyelesaian isu kekurangan air bermusim di zon desa dan pertanian, menambah baik kebolehpercayaan bekalan tenaga dan liputan komprehensif jalur lebar optik gentian dan jaringan 4G.

Terletak di Dataran Qinghai-Xizang, dikenali sebagai ‘bumbung dunia’ dan ‘menara air Asia’, Xizang berfungsi sebagai penghalang keselamatan ekologi yang utama buat China. Persoalannya, bagaimana wilayah itu boleh menjaga persekitaran ekologi unik dataran itu sambil melindungi keajaiban semula jadi dan biodiversitinya?

Imej memaparkan tapak projek pengembangan stesen pengubah Lhasa ±400 kilovolt di kaunti Lhundrup, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 6 Jun 2025. (Foto oleh Xu Zhijun)

Imej memaparkan tapak projek pengembangan stesen pengubah Lhasa ±400 kilovolt di kaunti Lhundrup, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 6 Jun 2025. (Foto oleh Xu Zhijun)

Xizang telah mengadaptasi sistem perlindungan ekologi yang sangat ketat mengikut undang-undang. Ia telah menjunjung utuh dasar untuk menolak penerimaan atau pengenalan projek dan perusahaan yang tinggi dalam penggunaan tenaga namun rendah dalam kecekapan, dengan tegas melarang sebarang projek yang terdedah kepada pencemaran di dataran tinggi.

Wilayah tersebut secara aktif mempromosikan pembinaan taman negara dan memajukan projek penanaman semula hutan di pergunungan utara dan selatan Lhasa, ibu kota wilayah itu. Zon-zon garis merah pemuliharaan ekologi telah digariskan untuk lebih daripada 50 peratus daripada kawasan tanah di rantau ini, dengan kawasan perlindungan dari semua jenis dan peringkat kini mencakupi 37.95 peratus daripada kawasan tanahnya.

Pembangunan rendah karbon juga telah diusahakan secara aktif. Pada 2024, lebih daripada 99 peratus elektrik di Xizang telah dijana daripada tenaga bersih, iaitu paling tinggi dalam semua wilayah di China. Penggunaan tenaga bukan fosil di wilayah itu melebihi 55 peratus daripada pengguna tenaga keseluruhan, menempatkan ia antara yang teratas dalam tenaga hijau negara.

Hari ini, persekitaran semula jadi Xizang merupakan antara yang terbaik dipelihara di dunia. Wang berkata, pihaknya memegang utuh prinsip ‘air jernih dan gunung subur adalah aset yang tidak ternilai, begitu juga ais dan salji’, berterusan berfungsi sebagai pelindung untuk menjadikan Dataran Qinghai-Xizang sebagai khazanah ekologi yang dikongsi oleh manusia dan menyumbang kepada pembinaan masa depan yang dikongsi bersama oleh setiap hidupan di Bumi.

Video

Berita Berkaitan