Industri Buluh Berkembang Subur di Anji

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 21 Ogos 2025

Imej hutan buluh di kaunti Anji, bandar Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Kang Fengying)

Imej hutan buluh di kaunti Anji, bandar Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Kang Fengying)

Mempunyai hutan buluh seluas 1.08 juta mu (72,000 hektar), industri buluh di kaunti Anji, bandar Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China telah menyaksikan perkembangan yang subur. Hari ini, penduduk Anji menyuntik daya hidup baharu ke dalam industri menerusi inovasi, kreativiti dan ketukangan.

Baru-baru ini, lebih daripada 30 pakar dan pegawai kerajaan dari Pertubuhan Rotan dan Buluh Antarabangsa (INBAR), serta negara-negara seperti Nepal dan Indonesia telah mengadakan kunjungan ke atas Syarikat Zhejiang Zhuguan Ecological Technology untuk mendalami tentang membru minuman keras daripada rebung buluh.

Nie Zhongping selaku pengerusi syarikat itu berkata bahawa rebung buluh dituai sekitar penghujung April, iaitu apabila hujan kerap turun dan pertumbuhannya berada pada fasa kemuncak. Selepas dipotong, ia kemudiannya akan melalui fasa penapaian awal, dan rebung yang segar akan ditambah dua kali pada kadar 1:1 pada selang yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, lima pusingan penapaian akan dilakukan dalam tempoh setahun. Setiap pusingan akan menghasilkan pati minuman keras, yang kemudiannya digabungkan dalam produk akhir minuman keras buluh. Difahamkan, ia memerlukan 10 kilogram rebung buluh untuk mendapatkan hanya 0.5 kilogram minuman keras.

Sisa daripada penapaian pula akan digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan papan perabot hiasan. Ujian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Buluh Kebangsaan China menunjukkan bahawa kesemua papan tersebut bersifat bebas formaldehid, tahan kulapuk, ringan dan kuat, menggunakan hanya separuh daripada pelekat yang biasa, namun mampu mencapai 60 peratus kekuatan yang lebih.

Yu Wenji, seorang ahli akademik dari Akademi Sains Kayu Antarabangsa merangkap ketua pakar di Akademi Perhutanan China berkata bahawa Syarikat Zhejiang Zhuguan Ecological Technology telah membuat penemuan baharu susula berjaya memproseskan semua rebung buluh dan menggunakan teknologi kepunyaan sendiri untuk menghasilkan minuman keras tanpa bahan tambahan, pencemaran dan bijiran.

Secara tidak langsung, ia mencerminkan satu pencapaian dalam industri buluh global – iaitu menggunakan buluh untuk menggantikan bijiran.

Imej menunjukkan lampu buluh yang dihasilkan oleh Syarikat Zhenjiang Fenghui Bamboo and Wood. (Foto oleh Chen Maoying)

Imej menunjukkan lampu buluh yang dihasilkan oleh Syarikat Zhenjiang Fenghui Bamboo and Wood. (Foto oleh Chen Maoying)

Zhang Mingzhong yang dilahirkan pada 1969, mula bekerja di kilang kertas selepas menamatkan pengajian dari sekolah menengah teknik. Namun, selepas kilang itu ditutup, dia telah berusaha secara kendiri.

Untuk rekod, buluh telah menjadi industri tradisional sejak sekian lama di Anji. Pada ketika itu, kilang filamen buluh terdapat di merata tempat, dan lebihan buluh yang banyak turut menimbulkan masalah. Melihat isu tersebut sebagai peluang, Zhang menubuhkan sebuah syarikat untuk mengumpul sisa dan menjadikan ia sebagai pelet bahan api biojisim yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘kayu bahan api’. Ia menjadi produk eksport popular buat seketika, tetapi apabila Anji menutup kilang filamen buluh secara berperingkat-peringkat, ia kemudiannya menjadikan pembuatan kayu bahan api sebagai tidak lagi berdaya maju.

Zhang kemudiannya menubuhkan Syariakt Zhejiang Yaozhu Technology. Memanfaatkan pengalaman dalam kilang kertas, dia mula menerokai kaedah untuk mengasingkan selulosa, hemiselulosa dan lignin daripada buluh menggunakan kaedah fizikal. Namun begitu, sebagai seorang yang hanya berpendidikan sekolah teknik, ia turut membawa maksud bahawa dia memerlukan masa yang panjang untuk bermula, selain sokongan kewangan yang signifikan.

Pada 2021, inovasi Zhang untuk kaedah dan sistem pengekstrakan serabut buluh mesra alam telah mendapat kelulusan paten penciptaan oleh Pentadbiran Harta Intelek Kebangsaan China. Setelah ditaksir oleh pakar teknologi tersebut, dia berjaya mendapatkan pembiayan, sekali gus menyelesaikan cabaran kewangan.

Meskipun Zhang telah menyelesaikan masalah pada peringkat pengekstrakan, tetapi terdapat satu lagi kesukaran, yakni buluh tersebut pertamanya perlu ditatal menjadi helaian kertas yang nipis. Pemprosesan secara manual adalah perlahan, menggunakan tenaga pekerja yang intensif dan tidak konsisten, manakala langkah pemfilamen awal turut menimbulkan satu lagi cabaran utama. Zhang, dengan kebijakannya, telah mendapatkan paten untuk peranti tatal pada 2022, diikuti pada 2023 untuk satu lagi peranti pemfilamen serabut buluh sekunder.

Imej memperlihatkan sebuah bangunan yang dihiasi dengan buluh di Syarikat Zhejiang Zhujing Culture and Tourism Development di kaunti Anji, bandar Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Chen Maoying)

Imej memperlihatkan sebuah bangunan yang dihiasi dengan buluh di Syarikat Zhejiang Zhujing Culture and Tourism Development di kaunti Anji, bandar Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Chen Maoying)

Dengan mesin-mesin yang disepadukan, satu barisan pengeluaran automatik buluh ke serabut telah dirintis pada tahun lalu. Selepas melalui penyesuaian, ia mencapai pengeluaran besar-besaran pada tahun ini, dengan menghasilkan 30 tan serabut buluh setiap hari.

“Daripada 2.5 tan buluh, kami boleh mengekstrak 1 tan serabut. Kos pengeluaran adalah hanya RMB1,500 (AS$208.80) setiap tan, manakala harga pasaran adalah RMB6,000. Permintaan jauh melebihi bekalan,” jelas Zhang.

Produk terbitan tersebut malah menambah nilai yang lebih. Sebagai contoh, fabrik serabut buluh untuk stoking dijual pada harga RMB18,000 setiap tan, untuk pakaian pada harga RMB120,000, dan pelitup muka perubatan pada harga RMB200,000. Air dikitar semula dalam proses itu, dengan tiada air buangan yang dijana, dan setiap bahagian buluh dimanfaatkan sepenuhnya.

Syarikat Zhejiang Banzhu Stationery telah membangunkan pensil buluh sebagai pengganti kepada kayu. Bekerjasama dengan institusi penyelidikan untuk menangani cabaran teknikal, syarikat itu melancarkan pensil buluh pertama pada tahun Mei lalu, dan produk itu terus disambar oleh pembeli dari Jepun.

Sisa daripada pengeluaran pensil buluh pula digunakan sebagai bahan mentah oleh Syarikat Anji Zhudi New Materials Technology, iaitu terletak di tingkat bawah Syarikat Zhejiang Banzhu Stationery. Di taman perindustrian itu, setiap tingkat membentuk rantai huluan-hiliran, sekali gus mewujudkan pengeluaran kitaran sebagai satu piawaian di Anji.

Video

Berita Berkaitan