AS Tolak Sertai Penilaian Berkala Sejagat PBB Mengenai Hak Asasi Manusia

(CRI)Jumaat 29 Ogos 2025

Misi Tetap Amerika Syarikat (AS) ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada Khamis telah memaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), bahawa AS tidak akan menyertai pusingan keempat Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang dijadualkan pada 6 November depan.

Jurucakap OHCHR, Ravina Shamdasani mengesahkan perkara tersebut kepada Agensi Berita Xinhua.

Katanya, pihaknya amat kesal dengan keputusan AS untuk tidak mengambil bahagian dalam proses semakan penilaian ini yang melibatkan semua negara anggota PBB.

Beliau berkata, OHCHR akan terus berinteraksi dengan AS, masyarakat sivil, ahli akademik dan komuniti perniagaan dalam isu hak asasi manusia.

UPR merupakan mekanisme penting yang diwujudkan pada 2007 bagi menilai perlaksanaan komitmen dan kewajipan hak asasi manusia oleh semua negara anggota secara berkala dan setara.

Sejak pusingan pertama dilancarkan pada tahun 2008, sebanyak 193 negara anggota PBB telah menjalani tiga pusingan penilaian, dan pusingan keempat bermula pada tahun 2022.

AS telah menyertai penilaian sebanyak tiga kali yang masing-masing pada tahun 2010, 2015 dan 2020.

Dalam pusingan ketiga, wakil daripada 116 buah negara bersama-sama dengan agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengeluarkan 347 buah kritikan dan cadangan terhadap hak asasi manusia di AS.

Video

Berita Berkaitan