Xi Pengerusikan Mesyuarat Pemimpin SCO ke-25, Tekankan Kerjasama Keselamatan dan Ekonomi

(CRI)Isnin 01 September 2025
Xi Pengerusikan Mesyuarat Pemimpin SCO ke-25, Tekankan Kerjasama Keselamatan dan Ekonomi

Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) telah berkembang menjadi pertubuhan serantau terbesar di dunia melibatkan keanggotaan 26 buah negara, kerjasama dalam lebih 50 bidang dan jumlah kuantiti ekonomi mencecah USD30 trilion (RM126 trilion), sekali gus mengukuhkan pengaruhnya di arena antarabangsa.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping ketika berucap dan mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara SCO ke-25 di Pusat Konvensyen dan Pameran Meijiang di Tianjin pada pagi Isnin.

Menurut Xi, kerjasama Inisiatif Jalur & Laluan (BRI) merupakan pemacu penting pembangunan serantau.

"Sasaran perdagangan China dengan negara-negara SCO melebihi USD2.3 trilion (RM9.72 trilion) telah berjaya dicapai lebih awal. Manakala, pengoperasian laluan pengangkutan antarabangsa mencecah 14,000 kilometer, dengan lebih 110,000 kereta api kargo China-Eropah telah beroperasi," kata Xi.

Beliau menambah, usaha perlu diperkasakan secepat mungkin bagi melancarkan Pusat Tindak Balas Ancaman Keselamatan dan Pusat Narkotik Kawalan Dadah SCO.

Malah beliau juga mencadangkan agar Bank Pembangunan SCO ditubuhkan dengan kadar segera bagi mengukuhkan sokongan kewangan untuk kerjasama keselamatan dan ekonomi antara negara anggota.

"Marilah kita bersama membina landskap dunia yang multipolar yang sama rata dan teratur, dan mendorong globalisasi ekonomi yang inklusif dan menguntungkan demi mekanisme tadbir urus global yang lebih adil dan saksama" kata beliau.

Video

Berita Berkaitan