Kilang Ulat Sutera Pintar Hidupkan Semula Serikultur di Kampung Zhongfan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 02 September 2025
Kilang Ulat Sutera Pintar Hidupkan Semula Serikultur di Kampung Zhongfan

Terletak di kampung Zhongfan, pekan Chashui, Qianshan, provinsi Anhui di timur China, sebuah kilang ulat sutera pintar kini sedang mentransformasi tradisi penternakan ulat sutera yang bersejarah berdekad-dekad lamanya.

Serikultur telah berakar umbi di kampung itu, namun kaedah tradisional mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada cuaca dan tenaga kerja, sekali gus menjadikan industri tersebut berisiko tinggi.

Selepas Zhongfan terkeluar daripada kancah kemiskinan pada 2016, usaha untuk menghidupkan semula sektor ulat sutera tradisional kampung itu menjadi fokus utama, dan memberikan cabaran sukar buat ketua Parti, Yang Hongqi.

“Untuk memperkenalkan peralatan dan bengkel moden memerlukan sekurang-kurangnya RMB20 juta (AS$2.8 juta) modal permulaan, iaitu satu angka yang sangat besar pada ketika itu,” imbas Yang.

Berbanding memilih kaedah automatik sepenuhnya, kampung itu tercenderung memilih kaedah separa automatik, sekali gus mencipta fasiliti penternakan ulat sutera moden yang turut mengurangkan perbelanjaan sambil mengekalkan penglibatan tenaga manusia dalam proses-proses utama.

“Kilang ulat sutera tersebut telah mencapai penternakan ulat sutera pintar yang pintar, berasaskan suapan, dan sepanjang tahun, sekali gus keluar daripada kekangan kaedah tradisional,” jelas Yang.

Tambah beliau yang mempunyai pengalaman selama empat dekad dalam penternakan ulat sutera, pada masa lalu, kerja-kerja memetik daun mulberi dan memberi makan kepada ulat sutera disifatkan sebagai sangat menjerihkan.

“Sekarang, kami hanya perlu mengawasi peralatan dan memberi makanan mengikut jadual yang ditetapkan. Penternakan ulat sutera kini bulan lagi kerja yang memenatkan,” kata Yang.

Dengan menggunakan model perniagaan yang menyepadukan petani, fasiliti penternakan ulat sutera, syarikat dan cawangan Parti kampung, taman industri ulat sutera kampung itu membekalkan larva ulat sutera berkualiti tinggi dalam enam kumpulan setiap tahun kepada lebih 150 keluarga tempatan dan penternak profesional, secara tidak langsung meningkatkan pendapatan isi rumah sebanyak RMB6,000 secara purata.

“Sebelum ini, kami hanya mampu menternak sehingga tiga kumpulan sahaja setahun. Kini, boleh meningkatkan sehingga enam kumpulan, secara efektif menggandakan pendapatan kami,” kongsi salah seorang penduduk kampung.

Pada 2024, kilang tersebut telah memacu pendapatan kolektif kampung itu sebanyak RMB180,000 dan mewujudkan peluang pekerjaan buat lebih 20 penduduk.

Di sebalik pengeluaran kokun, industri serikultur tempatan kini berkembang ke bidang-bidang baharu. Produk seperti mulberi kering, teh daun mulberi dan cendawan telah bercambah di samping produk sedia ada di pasaran, sekali gus mengembangkan rantai industri tersebut.

Melihat ke hadapan, Yang berkata bahawa kampung itu berhasrat untuk mempromosi agropelancongan dengan lawatan sambil belajar, aktiviti amali dan pesta berasaskan ulat sutera.

“Kami akan terus menerokai potensi produk-produk istimewa, termasuk cendawan dan teh daun mulberi bagi menjadikan Zhongfan sebagai pangkalan terkenal untuk industri ulat sutera tersebut,” tambah beliau lagi.

Video

Berita Berkaitan