- Lain-lain
Membina Hab Penyelidikan Antartika Moden: Pasukan China Di Sebalik Stesen Qinling
Foto memperlihatkan pemandangan Stesen Qinling China di Antartika.
Berlatarbelakangkan ais dan salji di Pentas Ais Ross, Antartika, terletaknya Stesen Qinling China bak bahtera kelabu yang gah, dengan dilengkapi sistem mikrogrid, fasiliti tenaga hidrogen dan jaringan komunikasi.
Stesen Qinling merupakan stesen penyelidikan kelima China dalam benua itu, sekali gus memenuhi jurang dalam keberadaan saintifik negara di kawasan Laut Ross. Ketika ini, 32 individu yang terlibat dalam pembinaan masih berada di tapak di sepanjang musim sejuk, melaksanakan tugas-tugas pemasangan kawasan luar dan pemasangan elektromekanik, sambil menjamin pengoperasian dan penyelenggaraan stesen tersebut.
Usaha pembinaan kutub China bermula sekitar awal 1990-an, iaitu apabila pasukan daripada China Railway Group, China Construction Technology Consulting Group dan syarikat-syarikat lain memulakan pengembaraan biasa masing-masing ke Antartika. Dalam tempoh tiga dekad lalu, mereka telah pergi ke Antartika lebih daripada 20 kali, dengan stabil memajukan jejak langkah saintifik China di sempadan paling selatan Bumi.
Stesen Qinling terletak di Pulau Inexpressible, yang purata suhunya berlegar sekitar negatif 20 darjah Celsius dan mampu mencapai sehingga negatif 45 darjah Celsius. Angin kencang di pulau itu pula direkodkan bertiupan lebih daripada 100 hari setiap tahun.
Bagi mendepani keadaan ekstrim tersebut, stesen itu menggunakan pendekatan pembinaan bermodul, pasang siap yang inovatif sejak daripada permulaan, dengan modul fungsian dan struktur keluli yang dihasilkan di China, dihantar ke selatan, dan dipasang di tapak seperti blok bangunan, yang bersedia untuk digunakan sejurus ia siap.
Ketua pasukan, Luo Huangxun sedang bertugas di Stesen Qinling China di Antartika.
Di Antartika, kerja-kerja kimpalan disifatkan sebagai mustahil. Justeru, semua struktur keluli akan dibautkan.
“Malah, memutar skru di sini juga adalah satu cabaran. Anda perlu memanaskan sarung tangan, memakainya semula dan ulangi proses semula proses berkali-kali,” imbas Xie Shuaishuai, seorang pemasang muda yang lahir selepas tahun 2000.
Pembinaan Stesen Qinling secara rasminya bermula pada 16 Disember 2023 semasa Ekspedisi Antartika ke-40 China. Kurang daripada 30 hari, struktur keluli bangunan utama telah lengkap dibina. Dalam tempoh 60 hari, pembinaan utama telah dilaksanakan. Projek tersebut telah melakar lima rekod dalam pembinaan stesen Antartika, iaitu tenaga kerja paling ramai, volum paling banyak dalam pengurusan bahan, bangunan tunggal terbesar dibina, keadaan paling sukar yang dihadapi, dan pencapaian pembinaan paling pantas.
Apabila ekspedisi Antartika ke-41 berlepas pada 1 November 2024, lebih daripada 100 pembina dari China Railway Group dan China Construction Technology Consulting Group telah menyertai misi tersebut.
“Kebanyakan mereka telah menyertai semasa ekspedisi ke-40, dan terdapat juga yang telah terlibat dalam lebih daripada 40 projek Antartika,” kata ketua pasukan, Luo Huangxun.
Untuk Luo, beliau telah menyertai pasukan pembinaan pada 2007. Dalam tempoh 18 tahun yang lalu, beliau telah menyelesaikan 13 projek Antartika, yang kadang-kalanya menghabiskan sehingga 17 bulan berturut-turut di benua itu.
Selepas 29 hari yang melelahkan, pelayaran 7,750 batu nautika, ekspedisi itu tiba di pangkalan penyelidikan China, Stesen Zhongshan pada 30 November 2024. Di situ, telah bermulanya proses pemunggahan, menyaksikan kren beroperasi secara berterusan sejurus anggota kru membentuk rantai manusia untuk mengalih barangan satu persatu. Kurang daripada lima hari, hampir 6,000 tan kargo telah dibawa ke darat.
Seterusnya, operasi pembinaan mula sepenuhnya. Menurut Luo, pada kali ini, pihaknya memperkenalkan kaedah pembinaan paling maju ke Antartika, dengan menyepadukan reka bentuk, pembuatan, pengangkutan dan pemasangan di tapak.
Struktur utama stesen Qinling China sedang dalam pembinaan.
“Antartika terlalu jauh dan kapasiti pengangkutan sangat terhad. Sebarang masalah di luar jangkaan akan mengganggu jadual,” jelas Zheng Di, pengurus projek di China Railway Construction Engineering Group.
Bagi mengatasi masalah tersebut, pasukan itu menggunakan model maklumat pembinaan (BIM) untuk memperhalusi reka bentuk dan melaksanakan simulasi pelan pembinaan yang dioptimumkan.
Salah satu contohnya adalah sistem elektromekanik stesen tersebut, yang memerlukan lebih daripada 100,000 meter saluran paip. Dengan membahagikan sistem ke dalam unit bermodul menerusi simulasi digital, pasukan itu berjaya mengurangkan kerumitan dan mendorong kecekapan sebanyak 72 peratus.
Kini, sistem tenaga itu sudah hampir siap sepenuhnya, meliputi turbin angin, panel solar, penyimpanan bateri, pengeluaran dan penyimpanan hidrogen, serta penjanaan tenaga minyak hidrogen.
“Kesemua sistem yang boleh diperbaharui itu akan menyediakan bekalan tenaga yang mampan buat Stesen Qinling,” ujar Zheng. Malah, waima pada malam kutub yang panjang, ia boleh membekalkan tenaga sekurang-kurangnya untuk 14 hari berturut-turut dengan tenaga pada 30 kilowat.
Tales of Cities | Bunga Api, Ketukangan, Transformasi Pintar Tianjin
Dua Dekad "Hijau itu Emas": Kampung Aojiao Bukti Laut Biru Bawa Kemakmuran
Keindahan Musim: Berakhirnya Musim Panas
Festival Budaya Indonesia Diadakan di Beijing
Fahami Peradaban China dengan Presiden Xi: Saya Teringin Untuk Pergi ke Dunhuang Lagi
- Pasukan Ekspedisi Antartika ke-40 China Bersedia Untuk Pulang
- Kapal Ekspedisi Saintifik Xuelong-2 Lawat Thailand
- China Lancar Ekspedisi Air Hulu Glasier Sungai Kuning
- China Selesaikan Ekspedisi Antartika Ke-41
- Pasukan Ekspedisi Dapatkan Semula Pelampung Tambatan Bawah Permukaan Ekologi Antartika Pertama China
- Saintis China dan Asing Bakal Mulakan Ekspedisi Baharu di Gua Terpanjang Asia
- Ekspedisi China Jumpa Pelbagai Haiwan di Antartik
- Pasukan Ekspedisi Antartika ke-40 China Berlepas untuk Penyelidikan Saintifik
- Pembinaan Stesen Ekspedisi Saintifik China di Antartika Berjalan Lancar
- China akan Bina Stesen Penyelidikan Saintifik Baharu di Antartika
- Pasukan Ekspedisi Artik Ke-13 China Tiba di Kutub Utara