- Lain-lain
Permainan Mesra Warga Emas Suntik Keceriaan Pasca Persaraan
![]() |
Warga emas bermain di sebuah pusat perkhidmatan penjagaan warga emas di Kaunti Yunhe, Bandar Lishui, Provinsi Zhejiang di timur China pada 10 November 2023. (Xinhua/Xu Yu) |
Seawal pukul 7 pagi setiap hari, warga emas yang cergas sudah mula berada di kebun sebuah kawasan perumahan di daerah Gongshu, Hangzhou, Provinsi Zhejiang, timur China. Chen Zuxing, 81, baru-baru ini mula menzahirkan minatnya terhadap permainan mesra warga emas dan menjadikan ia sebagai rutin untuk bermain di luar sekiranya cuaca baik.
Ruang tamu milik warga emas itu dipenuhi dengan permainan berkait kesihatan dan pendidikan yang dibeli oleh cucunya, Chen Jiaqi.
Difahamkan, permainan yang dimilikinya merangkumi alat latih pingpong dan kit permainan strategi gegelang kenyal sehingga set baling gelung dan bola refleks tinju. Kesemua permainan tersebut telah membawa senyuman dan keceriaan pada hari-hari pasca persaraan atuknya.
“Alat latih pingpong ini adalah yang saya sangat perlukan,” ujar Chen Zuxing, yang menempatkan peralatan itu di tengah-tengah ruang tamunya untuk berlatih.
Beliau yang menggemari sukan sedari usia muda berkata bahawa pada masa dahulu, bermain pingpong agak sukar kerana perlu mengumpulkan peserta dan mempunyai tempat. Tetapi, kini beliau boleh bermain pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja di dalam rumah bagi memastikan tubuhnya kekal aktif.
“Seiring dengan usia atuk yang semakin meningkat, saya mahu membelikan beliau permainan yang boleh menghiburkannya dan pada masa sama memastikan dia terus aktif,” ulas Chen Jiaqi lanjut tentang motivasinya.
Katanya, barang-barang yang dibeli adalah melalui secara dalam talian, lengkap dengan video panduan, selain turut secara peribadi membimbing atuknya tentang cara penggunaan.
“Gajet-gajet kecil ini lebih berkesan daripada produk tambahan kesihatan,” Chen Zuxing berseloroh. Tambah beliau, menggerakkan tangan dan melatih otak adalah seratus kali lebih baik berbanding dengan hanya duduk di rumah menonton televisyen atau menatal telefon pintar.
Dengan lebih ramai warga emas memberi tumpuan terhadap produk sedemikian, perniagaan turut sama berkembang. Di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, pasar borong terbesar untuk komoditi kecil di provinsi Zhejiang, peniaga aktif menambah permainan kraf dan kit pemasangan yang direka untuk pelanggan lanjut umur.
“Permainan tentang pendidikan direka untuk warga emas dan turut memberi nilai emosi,” ujar Zhang Yan, yang telah mengoperasikan perniagaan permainan di pasar itu selama bertahun-tahun. Katanya, peluang telah semakin terbuka sejak ‘ekonomi perak’ ditekankan dalam laporan kerja kerajaan China selama dua tahun berturut-turut.
“Apabila warga emas menenun raga atau beg, mereka bukan sahaja menghasilkan sesuatu, tetapi juga menambah baik koordinasi tangan-mata-otak,” kata Zhang.
Chen Meijun, naib presiden persatuan industri permainan Yiwu berkata permainan yang memfokuskan warga emas adalah jauh daripada sekadar mengisi masa lapang. Jelasnya, permainan tersebut memenuhi keperluan warga emas termasuk kesihatan, teman, kepuasan hati.
Pasar itu kini menawarkan pilihan permainan mesra warga emas yang luas yang sangat berguna dan direka secara terperinci.
“Ramai warga emas menilai tinggi kualiti kehidupan dan pemenuhan spiritual, dan mereka sanggup membayar untuk permainan yang boleh memberikan mereka kegembiraan, manfaat kesihatan dan hubungan sosial,” kata Chen Meijun lagi.
- China Promosi Model Penjagaan Warga Emas Inovatif
- Gansu Terus Mengoperasikan ‘Kereta Api Perak’ Dengan Perkhidmatan Tersuai
- Dron Hantar Makanan Hangat Buat Warga Emas di Kawasan Pergunungan Zhejiang
- China Bakal Dorong Pelancongan Mesra Warga Emas, Tawar Lebih Banyak Kereta Api Khusus
- Xi Sampaikan Salam kepada Warga Emas di Ambang Pesta Chongyang
- Golongan Warga Emas, Salah Satu Tumpuan Pentadbiran Xi
- Xi Sampaikan Salam kepada Warga Emas di Ambang Pesta Chongyang
- Dasar ‘Ekonomi Perak’ China Pamer Potensi Perniagaan Sangat Besar
- “Emas” Pulangan Jaga “Warga Berambut Perak”
- Gen Z Suntik Kedinamikan kepada Industri Jagaan Warga Emas